Volkswagen dedah T-ROC sebagai model konsep terbaharu SUV

By  |  0 Comments

Volkswagen T-ROC3

Direka sebagai ‘gambaran SUV Volkswagen masa hadapan’, Volkswagen telah mengumumkan bakal memperkenalkan konsep T-ROC di Geneva Motor Show yang bakal bermula minggu depan.

Merupakan kenderaan crossover coupe tiga pintu dengan bumbung yang boleh dibuka, T-ROC merupakan SUV yang berada di bawah Tiguan tetapi mempunyai gaya pemanduan urban seperti Golf.

Bagi penampilan yang lebih menarik, T-ROC ini disimbahi Blue-Splash Metallic sebagai warna kerangkanya dengan bentuk jeriji sarang lebah tiga dimensi yang turut dipadankan dengan lampu utama LED. Ia juga dipadankan dengan sentuhan aluminium dan hitam berkilat, lampu pencahayaan siang (DRL) LED, lampu isyarat LED dan rim aloi bersaiz 19 inci yang membaluti tayar 245/45.

Volkswagen T-ROC4

Bumbung berwarna hitam yang boleh dibuka dengan garisan gelap memberikan pantulan bayang bagi menyerlahkan penampilannya. T-ROC juga kelihatan sedikit rendah dengan pemilihan C-pillar tetapi agak garang penampilannya.

Pada bahagian belakang, elemen C-pillar turut jelas kelihatan daripada bahagian bonet hingga ke spoiler bumbung. Malah spoiler bumbung dan cermin belakang juga banyak membentuk gaya coupe pada T-ROC turut membuatkan kenderaan ini cukup elegan. Lampu belakang LED dengan bentuk tiga dimensi turut menyerlahkan lagi gaya T-ROC.

Diproduksi berdasarkan platform Modular Transverse Matrix (MQB), secara keseluruhannya, T-ROC berukuran 4,179mm panjang, 1,831mm lebar dan 1,501mm tinggi.

Volkswagen T-ROC10

Kenderaan ini turut dipadankan dengan tempat duduk balutan kulit “Adamantium Dark”, kekemasan dalaman berwarna Blue-Splash Metallic mendominasi ruang dalaman dan meter kluster instrumen bersaiz 12.3 inci. Malah ia juga menerapkan konsep tablet sebagai skrin paparan infotainmen yang boleh diubah letak.

Papan pemuka dengan reka letak melintang dengan kekemasan yang minimal. Elemen pada bahagian sentral juga disimbahi warna yang sama. Boleh dikatakan T-ROC mengadaptasi rekaan kabin model Up! dan Beetle.

Lain-lain elemen yang terdapat pada T-ROC ialah kamera undur dan sistem kawalan suhu.

Dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat silinder TDI yang mampu memberikan kuasa maksimum 184 hp dan tork 380Nm. Juga dipadankan dengan transmisi DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4MOTION. T-ROC ini mampu dipacu daripada titik sifar hingga ke 100km/j dalam masa 6.9 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicatatkan ialah 210km/j.

T-ROC boleh dipandu dalam tiga mod pemanduan iaitu “Street”, “Offroad” dan “Snow”.

Berkenaan dengan penjimatan bahan api, Volkswagen mendakwa, T-ROC mampu mencapai 4.9 liter untuk setiap 100km. Manakala pelepasan karbon dioksida (CO2) pula tercatat 129g/km.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *