Volvo Concept Estate penuh bergaya

By  |  0 Comments

Volvo Concept Estate_1

Volvo sememangnya sentiasa tidak kering idea untuk memberikan imej yang penuh menakjubkan pada rekaan model baharu dan kenderaan konsepnya. Maka, bagi meraih perhatian umum tanpa henti, selepas mendedahkan kenderaan konsep XC Coupe di Detroit Motor Show pada Januari lalu, kini tibalah pula giliran Volvo Concept Estate pula.

Bakal memenuhi sudut pentas pameran di Geneva Motor Show pada awal minggu hadapan, Volvo Concept Estate telah mengadaptasikan rekaan yang penuh bergaya, bukan sekadar wagon empat pintu berkonsep tradisional. Malah melalui rekaan dan teknologi yang diterapkan ini juga akan diimplemenkan pada model baharu SUV XC90 dan beberapa lagi model Volvo yang akan datang.

Volvo Concept Estate_11

Bagi rekaan luarannya, ia diinspirasi berdasarkan Volvo 1800 yang pernah diproduksi pada pertengahan tahun 70-an di mana ketika itu model tersebut menjadi ikonik bagi Volvo sendiri.

Rekaan hadapannya diperkemaskan dengan konsep jeriji terapung dan diapit pula dengan lampu pencahayaan siang berbentuk T. Volvo Concept Estate juga tampil dengan bumbung berkaca penuh, rim aloi bersaiz 21 inci, lampu belakang yang penuh stylish, sistem paip ekzos berkembar dan kekemasan bahagian belakang yang nampak rendah bagi memberikan profil rekaan yang lebih anggun.

Selain mementingkan imej luaran, rekaan kabin juga tidak dipinggirkan. Volvo Concept Estate tampil dengan rekaan yang bercitarasa tinggi. Kebanyakan butang kawalan telah disingkirkan kecuali bagi kawalan suara, butang amaran bahaya dan butang pemanas cermin tingkap. Di mana butang-butang yang ‘ditiadakan’ ini telah diubah gayanya menjadi seperti tablet dengan skrin sesentuh yang terletak di bahagian tengah papan pemuka. Ini merupakan orientasi gaya baharu ciptaan Volvo yang tampil dengan kelainan tersendiri.

Volvo Concept Estate_3

Dengan peranti kawalan sebegini, ia juga mudah dikendalikan dan sangat ‘akrab’ dengan meter kluster instrumen digital yang terletak di belakang roda stereng. Malah alat kawalan pada roda stereng juga boleh digunakan bagi menikmati infotainmen. Manakala bagi informasi, navigasi dan fungsi media lain, semuanya ada pada tablet berkenaan.

Volvo Concept Estate juga tampil dengan sentuhan material berkualiti tinggi bagi kekemasan di dalam kabinnya, termasuklah karpet tenunan bulu yang lembut dan pelana kulit pada papan pemuka. Bukan itu sahaja, kekemasan pada tali pinggang keselamatan berwarna jingga pekat dengan hiasan kristal pada tuil gear yang turut diperindahkan dengan kilauan jingga.

Volvo Concept Estate_5

Volvo juga tidak ketinggalan untuk meletakkan bod permainan tradisional masyarakat Sweden ‘Kubb’ pada bahagian lantai di dalam ruang bonetnya.

Berkenaan dengan sudut mekanikalnya, Volvo akan membuat pengumuman khas dalam masa terdekat ini.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *