Honda Insight …sayonara!
Spekulasi yang berlegar-legar di dalam industri automotif global mengenai Honda Insight yang mungkin bakal dihentikan produksinya sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ternyata benar. Ia berikutan jualannya di seluruh dunia yang kurang memberangsangkan menjadi punca Honda mengambil keputusan ini. Malah Amerika Syarikat juga sudah berhenti menerima tempahan bagi Insight sejak November 2013 dan pasaran Eropah pula bermula pada minggu lalu.
Difahamkan, perberhentian produksi bagi Insight efektif hujung bulan ini.
Insight mula menembusi pasaran dunia sejak tahun 1999 dan pernah menjadi pesaing utama bagi Toyota Prius. Walau bagaimana pun, nasib tidak terus menyebelahi Insight kerana jualannya makin merundum dan tidak pernah mencapai sasaran.
Mengikut jualan yang berjaya dicapai oleh Prius sehingga tahun lalu telah mencatatkan sejumlag 3.19 juta unit di seluruh dunia. Berbanding dengan Insight yang hanya berjaya dijual sebanyak 280,629 unit sahaja. Malah ia juga dikatakan sebagai model Honda yang paling teruk jualannya di seluruh dunia.
Walau pun terpaksa membuat keputusan ini, Honda masih menaruh harapan yang besar terhadap model hibridnya yang lain seperti Fit/Jazz hibrid. Tetapi bagaimana pula dengan nasib CR-Z yang turut berkongsi platform dengan Insight? Buat setakat ini produksi CR-Z masih diteruskan dan tiada ura-ura untuk memberhentikan pengeluarannya.