Penutupan sebahagian Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu undang kesesakan teruk di Pulau Pinang

By  |  0 Comments
Sekadar gambar hiasan

Sekadar gambar hiasan

Pengguna jalan raya di Pulau Pinang terutama di sekitar kawasan Bayan Lepas dan Bayan Baru hari ini diuji kesabaran apabila terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk berikutan penutupan sebahagian Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Kesesakan lebih tiga jam pada waktu puncak di sebelah pagi itu menyebabkan orang ramai tiba lewat di pejabat dan sekolah, malah terdapat aduan menyatakan ada yang terlepas penerbangan, laporan Bernama.

Menurut Anggota Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dalam kenyataan yang diedarkan kepada pihak media menerusi WhatsApp, beliau menerima banyak aduan berhubung kesesakan lalu lintas itu terutama daripada pengguna Jambatan Pulau Pinang yang ingin ke tempat kerja di Zon Perindustrian Bebas (FIZ) di Bayan Lepas.

Mulai 15 Ogos lalu, sebahagian Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di antara persimpangan hilir Sungai Keluang 1 dan Lebuhraya Kampung Jawa, ditutup selama lima bulan bagi membina struktur jambatan bertingkat merentasi Sungai Keluang untuk projek Bayan Lepas Expressway (BLE) yang akan menghubungkan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Berikutan penutupan itu, kenderaan yang berulang-alik dari Jambatan Pulau Pinang ke lapangan terbang di Bayan lepas dinasihat menggunakan Jalan Tun Dr Awang, manakala kenderaan dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ke lapangan terbang dan George Town serta sebaliknya, dinasihat menggunakan Jalan Permatang Damar Laut.

Dalam masa yang sama, Ketua Menteri Lim Guan Eng menyifatkan kesesakan lalu lintas yang teruk pagi ini, sebagai satu krisis besar yang dihadapi kerajaan negeri pimpinan DAP itu.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi maklumat terkini kepada orang ramai berhubung aliran lalu lintas di kawasan tersebut.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku dan berharap JKR dapat menyelesaikan masalah itu dalam tempoh seminggu ini.

“Aliran trafik hari ini amat buruk sampai jadi satu krisis untuk negeri Pulau Pinang sampai kereta langsung tidak boleh bergerak dan ia sesuatu yang perlu diperbaiki oleh JKR,” katanya

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *