Pandu Uji : Honda Civic 2.0 Navi versi facelift 2014

By  |  0 Comments

Civic_Ext_04

Keseluruhan : Kehadiran model facelift ini lebih menjurus kepada perubahan gaya secara minimal serta pertambahan beberapa elemen termasuk sistem unit skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci. Padanan enjin dan transmisinya memang seiiring sejalan serta mampu memberikan pengalaman pemanduan yang memuaskan.

Kelebihan : Walau pun hanya suntikan imej yang minimal, namun ia membantu membuatkan wajah Civic facelift ini lebih tampan berbanding model sebelumnya. Ada sedikit gaya sporty dan agresif.

Kelemahan : Bagi sebuah jentera dengan enjin berkapasiti 2.0L, ia dilihat seakan ‘cukup-cukup’ sahaja. Jadi usah mengharapkan ia mampu memberikan ‘makanan’ ekstra untuk pemanduan yang lebih menguja. Penulis turut menguji Civic 1.8L, dirasakan enjinnya lebih cepat memberikan respons dan lebih seronok dikendali.

Honda Civic generasi ke-9 telah pun dilancarkan di Malaysia pada Julai 2012. Sebelum model generasi ke-10 diproduksikan, pasti ada saja model facelift yang diperkenalkan. Ini termasuklah kelahiran Civic 2014 yang diperkenalkan pada November tahun lalu.

Civic merupakan antara model penting keluaran Honda. Mudah meraih sambutan yang menggalakkan di pasaran memandangkan sudah sekian lama ia ‘melakar namanya’ dalam industri automotif atas dasar keupayaan, kredibiliti dan keyakinan terhadapnya. Justeru, tidak hairanlah mengapa model ini mudah mendapat tempat termasuk di pasaran Malaysia.

Jadi sementara menantikan debaran Civic generasi ke-10 yang dijadualkan bakal melakukan penampilan dunia di Detroit, Amerika Syarikat, pada 16 September ini, Infokereta.com sempat memandu uji varian Civic 2014 2.0 Navi.

Menerusi varian Civic 2014 2.0 Navi ini, sudut mekanikalnya tidak mengalami sebarang perubahan. Masih tetap sama dengan model Civic generasi ke-9 iaitu menggunakan penjana kuasa 2.0 liter 16-injap SOHC aspirasi-natural dengan pemasaan injap boleh laras (VVT).

Civic_Ext_28

Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 153 hp pada 6,500 rpm dan tork 190 Nm pada 4,300 rpm. Kuasa dan tork yang dihasilkan ini boleh dikatakan agak berpadanan serta mencukupi untuk enjin berkapasiti ini. Prestasinya menyamai Honda Accord 2.0L yang pernah diuji dua tahun yang lalu.

Malahan Honda yang begitu menitik berat soal prestasi enjin pastinya tidak mahu menghampakan pemandu Civic 2.0L ini. Lantas ia memberikan prestasi enjin yang memuaskan dengan hamburan kuasa yang responsif dan mampu bertindak cemerlang.

Jika mahukan anjakan kuasa yang lebih ‘ummphh’, penulis lebih gemar bermain-main mod manual dengan kawalan pedal pendikit. Ia membantu mempercepatkan lagi anjakan gear secara tidak langsung mendorong enjin supaya lebih responsif.
Enjin ini turut dipadankan dengan transmisi auto lima-kelajuan dan bagi pendapat penulis, ia lebih cemerlang berbanding CVT.

Civic_Ext_40

Daripada sudut pengendaliannya, ia memang tahan lasak. Civic 2.0L ini masih gigih dipacu dalam kelajuan yang tinggi dengan keadaan jalan yang agak mencabar termasuk ketika melalui selekoh tajam dan jalan berliku.

Stereng berkuasa elektronik sangat responsif dengan kerjasama pedal minyak dan pedal brek. Biar pun sterengnya terasa sedikit ringan, namun pengendaliannya di laluan selekoh masih mantap dan meyakinkan. Ini pastinya dengan bantuan sistem suspensi yang menggunakan topang MacPherson di bahagian hadapan dan Multi-link di belakang.

Mengenai penampilan luarannya, ia kelihatan lebih menawan berbanding model sebelumnya. Dengan kehadiran gril hadapan ‘sarang lebah’ baharu dengan elemen krom pada bahagian bawah membuatkan ia lebih bergaya. Turut ditampilkan ialah lampu utama projektor xenon dengan lampu kabus. Selain itu, bahagian tengah corong pengambilan utama turut ditampilkan dengan kekemasan krom.

Model Civic facelift ini juga memiliki warna baharu iaitu Twilight Blue (sama seperti model CR-V), selain Alabaster Silver Metallic, Crystal Black Pearl, Modern Steel Metallic, dan Taffeta White.

Civic_Int_23

Manakala bagi bahagian kabinnya pula, memang tidak banyak perubahan melainkan terdapat kekemasan yang sedikit berbeza termasuklah bayangan berwarna biru pada bahagian instrumen dan juga gegelang di sekeliling corong penghawa dingin pada bahagian pemandu.

Bagi varian 2.0 Navi ini, ia juga telah diberi penambah baikan untuk sistem unit skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci (berbanding hanya 6.1 inci sebelum ini), unit kepala yang turut berfungsi sebagai navigasi, Mirror Link untuk sambungan telefon pintar terus pada skrin, Personal Media Access dan paparan kamera undur.

Ia turut menampilkan sambungan Bluetooth untuk kit bebas tangan, dua port USB dan port HDMI.

Lain-lain elemen masih tidak berubah termasuk tempat duduk balutan kulit berwarna hitam, radio dengan pemain CD/MP3 bersama enam pembesar suara dan zon tunggal penghawa dingin.

Civic 2.0 Navi ini turut dilengkapi dengan kawalan kelajuan pasif, kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, roda stereng dengan butang kawalan audio, serta kamera undur.

Bagi aspek keselamatan, Civic yang turut menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP ini turut dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Kestabilan dan Isofix.

Spesifikasi :
Enjin : 2.0L 16-injap SOHC Aspirasi-Natural dengan VVT
Transmisi : Auto 5-kelajuan
Kuasa maksimum : 153hp@6,500 rpm
Tork maksimum : 190 Nm@4,300 rpm
Kapasiti tangki bahan api : 50 liter
Tayar : 215/45 R17
Harga atas jalan : RM128,340.53 termasuk waranti selama lima tahun/perbatuan tanpa terhad

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *