Pandu Uji : Hyundai Veloster Turbo 1.6L
Keseluruhan : Hyundai Veloster Turbo 1.6L merupakan antara pilihan yang relevan untuk si penggemar kereta sporty coupe dengan harga yang berpadanan. Walau pun hamburan kuasanya hanya bersifat sederhana, namun imej yang dipertaruhkan pasti membuatkan ramai yang tertawan.
Kelebihan : Imejnya yang sporty, nampak garang dan sisi yang penuh impresif merupakan daya penarik utama Veloster Turbo 1.6L ini.
Kelemahan : Terjahan kuasa turbonya agak lambat menyerlah membuatkan pedal pendikit harus diberi lebih tekanan untuk mengerah penjana kuasanya bertindak lebih pantas.
Pertama kali Hyundai-Sime Darby Motors Sdn Bhd (HSDM) membawa masuk varian Veloster adalah pada hujung November 2012. Jentera sporty coupe ini dipadankan dengan enjin Gamma 1.6 liter D-CVVT dengan dua pilihan transmisi iaitu automatik enam-kelajuan dan manual enam-kelajuan.
Pada April yang lalu pula, HSDM melancarkan Veloster Turbo 1.6L yang menampilkan teknologi terkini Hyundai. Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu Veloster Turbo 1.6L dan Veloster Turbo Sport 1.6L.
Tidak lengkap rasanya jika tidak memandu uji jentera ini, apatah lagi ramai pembaca Infokereta.com yang bertanya tentang kelebihan dan kekurangannya. Lantas Veloster Turbo 1.6L dengan warna Sunflower yang sungguh menawan ini dilenjan sepuasnya.
‘Jantung’ yang memberikan nyawa kepada Veloster Turbo 1.6L ini iaitu Gamma 1.6 digabungkan dengan sistem GDI (Gasoline Direct Injection), pemampatan tinggi dan pengecas turbo tatal-berkembar (twin-scroll turbocharger).
Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 186 PS pada 5,500 rpm dan tork setinggi 265 Nm antara 1,500 rpm hingga 4,500 rpm. Sekali gus membuatkan Veloster Turbo 1.6L mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 214 km/j dan pacuan dari 0-100 km/j dalam hanya 8 saat.
Enjin ini turut dipadankan dengan Dual-Clutch Transmission (DCT) tujuh-kelajuan yang dibangunkan oleh Hyundai Motor Company sendiri. Veloster Turbo ini turut ditampilkan dengan pedal penukar gear dan kawalan transmisi gear SHIFTRONIC® yang mampu menala lebih prestasi. Transmisi ini juga telah ditala khusus bagi memberikan tork yang tinggi dan penentu ukuran prestasi.
Walau pun ia memiliki pengecas turbo, namun hamburan kuasanya hanya boleh dirasai sepenuh apabila menghampiri 4,000 rpm. Jika di bawah takat itu, ia terasa sedikit ‘under power’ dan agak linear, malahan terjahan tork juga sedikit kurang. Malah kuasanya juga agak sedikit lambat untuk bertindak balas.
Walau bagaimana pun, jika mahukan kuasa yang lebih optimum dari kelajuan rendah ke kelajuan tinggi, takat 4,000 rpm ke atas perlu dikekalkan.
Jadi untuk merasai hamburan turbo sepenuhnya, pedal pendikit perlu diberi lebih tekanan bagi mengerahkan enjin mencapai rpm yang lebih tinggi. Apabila terjahan kuasa turbonya telah dicapai, jentera lebih ‘sedap’ dipacu dan dikendalikan.
Berkaitan dengan pengendaliannya, ia berada pada tahap sederhana. Pengawalan stereng perlu lebih kemas terutamanya pada kelajuan yang tinggi. Ada satu kelemahan yang agak kurang menyenangkan iaitu bila berada dalam kelajuan yang tinggi, bunyi bising seretan angin dari luar (wind noise) menyerap masuk ke dalam kabin.
Berhubung dengan keselesaan pemanduan, suspensinya terasa agak sedikit keras, sekali gus memberikan rasa yang agak bumpy walau pun tidak begitu ketara. Ini turut dirasai oleh penumpang di hadapan dan belakang.
Tetapi Veloster Turbo 1.6L memang ‘menang’ bila dipandu laju membelah lebuh raya dan syok dilenjan melayan selekoh. Suspensinya yang keras pastinya banyak membantu jentera ini lebih mantap dan stabil. Apatah lagi ia memiliki peredam yang lebih kukuh bagi meningkatkan keseimbangan kawalan kerangka.
Selain itu, mujur juga Veloster Turbo 1.6L ini turut ditampilkan dengan Flex Steer System pada roda stereng yang membolehkan pemandu memilih sama ada mahu menggunakan mod Normal, Comfort atau pun Sport. Malah pilihan mod yang ada ini akan menukar karakter jentera ini secara responsif, sekali gus membolehkan pemandu memilih rentak pemanduan yang diingini.
Bagi aspek keselamatan, Veloster Turbo 1.6L dilengkapi dengan enam beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Kawalan Mendaki (HAC) dan Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM).
Dengan ukuran 4220mm panjang, 1561mm lebar dan 1399mm tinggi, Veloster Turbo 1.6L ini boleh dianggap sebagai sebuah jentera sporty coupe yang sempurna (lupakan soal hamburan kuasa turbonya yang agak kurang menyerlah). Mengapa ia dianggap sebagai jentera sporty coupe yang sempurna? Ini kerana daya tarikan yang ada padanya (dan paling menyerlah) sudah tentulah imej luaran yang dipertaruhkan.
Bahagian hadapannya diserlahkan dengan gril radiator haksagon dengan bampar yang lebih besar. Kekemasan hitam pekat dengan sudut berwarna perak berkilat turut menjadi pilihan bagi kekemasan bahagian ini.
Ditambah pula dengan lampu utama Projektor HID berserta LED, lampu nyalaan siang, dan garisan sisi yang penuh aerodinamik. Padanan rim aloi rekaan baharu bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar 225/40 R18 turut menaikkan lagi semangat sporty bagi imej yang dipertaruhkan.
Menyoroti bahagian belakangnya pula, dual-center mufflers dengan kekemasan krom turut menyerlahkan imej sporty jentera ini. Bampar yang lebih stylish dengan ekzos berkembar, lampu kabus, peresap yang lebih panjang, spoiler yang lebih lebar disambung pada lampu brek LED serta lampu LED melengkapkan lagi imej penuh maskulin dan sporty yang dipertaruhkan.
Sekilas pandang, imej yang ditampilkan ini mampu membuatkan Veloster Turbo 1.6L mudah menjadi perhatian ramai. Malah ia masih masih mengekalkan bentangan unik pintu 1+2, iaitu satu lagi daya tarikan yang ada pada Veloster Turbo 1.6L ini.
Imej sporty dan penuh berkarakter turut diserlahkan pada bahagian kabinnya. Tempat duduk sport baharu material kulit dengan dua tona warna kelabu dan hitam bersama jahitan perkataan “Turbo” turut menambahkan lagi keselesaan optima.
Kelihatan Supervision Gauge Cluster eksklusif yang memberikan paparan informasi yang lebih besar dan jelas terletak di antara takometer dan speedometer.
Selain itu, varian turbo ini turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci standard bersama butang penghidup enjin, tempat duduk belakang boleh lipat 60:40, skrin paparan dengan pad sesentuh TFT bersaiz tujuh-inci, pusat media, sistem bunyi premium dengan enam pembesar suara (termasuk pembesar suara di bahagian tengah dan subwoofer) serta bumbung panoramik yang menggambarkan energetik jentera ini.
Bukan itu sahaja, Veloster Turbo 1.6L turut dilengkapi dengan butang Active Eco, penghawa dingin automatik, bantuan parkir dan juga kamera pandangan belakang.
Diimport terus dari Korea Selatan, Veloster Turbo 1.6L ini berharga RM148,118.55 (Veloster Turbo Sport 1.6L pula RM151,745.87). Kesemua harga atas jalan yang ditawarkan ini adalah termasuk GST dan tanpa insurans.
HSDM turut menawarkan waranti selama lima tahun atau 300,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Malah servis bantuan 24 jam turut ditawarkan bagi semua model baharu dan sedia ada Hyundai.
Spesifikasi :
Enjin : Gamma 1.6 liter Turbo GDI
Transmisi : DCT 7-kelajuan
Kuasa maksimum :186 PS@5,500 rpm
Tork maksimum : 265 Nm@1,500-4,500 rpm
Suspensi : MacPherson Strut (hadapan)/Multi Link (belakang)
Pilihan Warna : Storm Trooper (putih), Young Gun (hitam), Phantom Black, Sunflower (kuning) & Veloster Red
Harga atas jalan (tanpa insurans) : RM148,118.55
1 Comment