Pembukaan sebahagian Lebuhraya Central Spine Road (CSR) jimatkan masa & kos ke Kelantan

By  |  0 Comments

Lebuhraya_Central_Spine_Road

Pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dengan jarak keseluruhan 390 km, yang melibatkan empat jajaran, dari Bentong ke Gua Musang adalah jalan alternatif bagi pengguna jalan raya dari Selatan dan Kuala Lumpur, selain melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, yang ingin ke Kelantan.

Semalam, sebahagian dari lebuhraya berkenaan telah pun dibuka secara rasmi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pembukaan jajaran itu akan mengurangkan jarak perjalanan asal sepanjang 43.7 km kepada 37.4 km sekali gus masa perjalanan dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada hanya 20 minit, walaupun hanya melibatkan pengurangan jarak sejauh enam kilometer.

“Laluan itu melibatkan empat seksyen iaitu Seksyen 3F1 dan Seksyen 3F2 sepanjang 13.2 km, dari Kampung Kubang Rusa ke Felda Chegar Perah di sini, yang mula dibuka pada 10 Jan dan 5 Julai lalu. Manakala laluan kedua melibatkan Seksyen 3G dan Seksyen 3H dari Felda Chegar Perah 2 ke Kampung Kechur sepanjang 24.2 km yang mula rasmi dibuka hari ini,” katanya, memetik laporan Bernama.

Fadillah berkata pembukaan empat jajaran ini juga mampu menjimatkan kos, masa dan tenaga pengguna jalan raya dan merupakan laluan terbaik bagi mereka yang mahu pulang ke Kelantan melalui laluan Kuala Lipis.

“Keutamaan kita adalah untuk mengurangkan kemalangan jalan raya kerana statistik kemalangan di laluan asal antara yang kritikal disebabkan keadaan jalan yang berliku dan berbukit. Jalan baharu ini adalah jalan lurus. Tapi jangan ada yang beranggapan jalan lurus ini seolah-olah beri isyarat mereka boleh memecut. Sebaiknya ikut peraturan yang ditetapkan dan perlu berhati-hati,” katanya.

Laluan itu merupakan 10 peratus daripada jarak keseluruhan projek itu iaitu 390 km, yang mana skop pembinaannya melibatkan pembinaan jalan baharu dan menaik taraf jalan sedia ada kepada empat lorong dua hala mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mengulas mengenai projek pembinaan jajaran tersebut, Fadillah berkata pembinaan projek CSR yang dimulakan mengikut fasa sejak tahun 2008 itu dianggarkan bernilai RM6.6 bilion apabila siap keseluruhannya.

Katanya Projek CSR yang disifatkan sebagai satu daripada projek infrastruktur berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu dibahagikan kepada enam pakej utama dan kementerian itu menyasarkan ia siap sepenuhnya pada RMK-11, bergantung kepada peruntukan yang diterima.

Enam pakej itu ialah Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan sepanjang 51 km; Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Kelantan (63 km); Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang (107 km); Kampung Relong ke Raub, Pahang (56 km); Raub ke Bentong, Pahang (60 km) dan Bentong ke Simpang Pelangai (53 km).

“Atas faktor keselamatan dan untuk mengatasi kesesakan di jalan persekutuan sedia ada dari Gua Musang ke Kampung Relong dan Raub ke Bentong, kementerian memberi keutamaan kepada projek Bentong Bypass yang kini dalam fasa memuktamadkan proses kerja,” katanya.

Mengenai tol pula, Fadillah berkata, “Seperti namanya CSR, laluan ini juga merupakan CSR (tangggungjawab sosial korporat) kerajaaan kepada orang Pahang dan Kelantan.”

Sumber foto : Facebook Central Spine Road

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *