Awas! Hati-hati ketika melalui ‘Blackspot’ ini – Pandu cermat, jiwa selamat

By  |  0 Comments

HondaJazz5

Ops Selamat 2015 yang bertujuan meningkatkan lagi kesedaran keselamatan jalan raya semasa musim perayaan telah pun bermula Jumaat lepas. Ia akan berlangsung selama dua minggu iaitu mulai 10 Julai hingga 24 Julai ini.

Sempena Aidilfitri yang dijangka disambut pada 17 Julai iaitu Jumaat ini, ramai warga kota dijangka memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman mulai malam ini.

Untuk itu, Infokereta.com menghimpunkan sebahagian ‘Blackspot’ atau kawasan kerap berlaku kemalangan mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di beberapa peringkat negeri, mengikut laporan Bernama.

Crash-accident-collision

Di Pahang, sebanyak 30 lokasi ‘Blackspot’ dikenalpasti. Menurut Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani, tujuh dari 30 kawasan tersebut terletak di sepanjang laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Tujuh lokasi berkenaan ialah Kilometer (KM)203-204, KM208-209, KM211.9 di kawasan Kuantan, KM182-183, KM159-162 di kawasan Maran, dan KM905-105 serta KM117-118 di kawasan Temerloh.

Sementara di Terengganu pula, polis memberi tumpuan kepada tiga laluan ‘panas’ dan berisiko yang dikenalpasti kerap berlaku kemalangan di negeri ini sepanjang Ops Selamat 7 ini.

Tiga laluan itu adalah sepanjang Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kuantan, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) dan Jalan Jerangau-Jabor (Kemaman).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata seramai 624 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di beberapa lokasi stategik yang sudah ditetapkan.

Katanya, lokasi tumpuan itu diberi keutamaan untuk mengurangkan kadar kemalangan sepanjang musim perayaan memandangkan terdapat pertambahan pengguna jalan raya terutama dari Kelantan, Pahang, Johor dan Kuala Lumpur yang memilih laluan itu sebagai laluan utama untuk pulang ke kampung halaman.

Manakala di Kedah pula, polis akan memantau 39 lokasi ‘panas’ kerap berlaku kemalangan bagi meminimumkan kadar kemalangan maut di negeri ini.

Menurut Ketua Polis negeri Datuk Zamri Yahya, lokasi ‘panas’ yang akan diberi perhatian lebih 11 kawasan iaitu di Baling, Kota Setar (tiga), Kuala Muda (tiga), Kubang Pasu (tujuh), Kulim (tiga), Langkawi (satu), Padang Terap (tiga), Bandar Baharu (satu), Pendang (empat), Yan (satu) dan Sik dengan satu lokasi.

Dalam masa yang sama, pihaknya akan melakukan “Ops Perangkap Had Laju” dan “Ops Motosikal” untuk mengesan pesalah yang melanggar isyarat lalu lintas.

Terdapat enam lokasi di Pulau Pinang pula yang dikenal pasti sebagai kawasan yang kerap berlaku kemalangan maut dan perlu diberi lebih perhatian oleh pemandu terutama pada musim perayaan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata seramai 232 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang Ops Selamat pada musim perayaan ini dengan memberi lebih tumpuan di enam lokasi itu.

“Bagi daerah Seberang Perai Selatan (SPS), lokasi yang dikenal pasti ialah Jalan Besar Simpang Ampat, Jalan Valdor-Sungai Bakap dan Kilometer 150-168.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) manakala daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Kilometer 132-149 PLUS.

“Dua lagi lokasi ialah di Seberang Perai Utara (SPU) iaitu di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) dan Kilometer 115-131 PLUS,” katanya.

Di Selangor, polis telah mengenal pasti 27 lokasi yang kerap berlaku kemalangan maut yang perlu diberi lebih perhatian oleh para pemandu terutama pada musim perayaan.

Lokasi terbabit melibatkan tiga kawasan di Klang Selatan manakala masing-masing dua di Gombak, Hulu Selangor, Petaling Jaya, Subang Jaya, Sungai Buloh, Sabak Bernam, Klang Utara, Shah Alam, Kuala Langat dan Kuala Selangor serta masing-masing satu di Ampang Jaya, Kajang, Serdang, dan Sepang.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata bersempena sambutan Aidilfitri, pihaknya akan menempatkan 360 pegawai dan anggota untuk bertugas sepanjang Op Selamat berlangsung dengan tumpuan kepada 27 lokasi berkenaan.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *