Range Rover Evoque 2016 tampil dengan enjin baharu & perubahan kosmetik

By  |  1 Comment

Range-Rover-Evoque-2016-18

Selepas mengeluarkan imej misteri model Range Rover Evoque facelift pada 17 Feb lalu, terbaru Land Rover telah bersedia mendedahkan foto-foto rasmi model versi 2016 ini untuk tatapan global.

Sebelum mempertontonkannya secara eksklusif di Geneva Motor Show awal Mac ini, paparan imej yang disebarkan menerusi Internet ini menggambarkan penggayaan yang lebih elegan telah dipertaruhkan. Bukan itu sahaja, Land Rover turut mengesahkan ia telah melakukan perubahan mekanikal pada jentera SUV mewah ini.

Range-Rover-Evoque-2016-14

Melihat pada pandangan hadapan, kelihatan perubahan ketara dengan padanan bampar dan gril yang diberi rekaan semula, corong udara yang lebih besar serta lampu utama adaptif LED. Bukan itu sahaja, ia juga ditampilkan dengan spoiler baharu, rekaan berlainan bagi lampu belakang LED dan rekaan yang lebih segar buat rim aloi.

Menjengah bahagian kabin pula, Evoque 2016 ini turut ditampilkan dengan perumah pintu dan tempat duduk baharu, selain sistem hiburan yang dipertingkatkan dengan paparan skrin sesentuh bersaiz lapan-inci.

Land Rover turut menerapkan sistem All-Terrain Progress Control (ATPC) yang ‘dipinjam’ daripada model Range Rover yang lebih besar untuk membantu Evoque mengekalkan kelajuan ketika melalui permukaan jalan yang kasar.

Bagi perubahan signifikan yang dilakukan terhadap bahagian mekanikalnya, Evoque 2016 ini menerima enjin turbodiesel Ingenium TD4 dengan 20-30 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya, ia turut menawarkan dua kuasa iaitu 150 hp dan 180 hp.

Malah model ini juga ditawarkan dengan enjin Si4 pengecas turbo dengan kuasa 240 Hp yang berupaya membantu Evoque ini dipacu sehingga 100 km/j dalam hanya 7.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 217 km/j.

Bagi aspek keselamatan pula, Evoque 2016 ini dipadankan dengan sistem Lane Keeping Assist dengan menampilkan kamera digital stereo untuk mengesan pertukaran laluan yang tidak diingini dan apabila ia berlaku, sistem ini akan secara automatik mengekalkan kedudukan stereng pada laluan yang tepat.

Malah sistem brek autonomi juga ditampilkan, selain sistem bantuan anggaran pemerhatian bagi mengesan sekiranya pemandu tertidur sewaktu mengendalikan kenderaan. Jika ia terjadi, visual amaran berserta bunyi akan terpasang secara automatik untuk menyedarkan pemandu.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *