BMW Group Malaysia masih No. 1 dalam segmen automotif premium di Malaysia pada 2014

By  |  0 Comments

BMW 01

Semalam BMW Group Malaysia telah mengumumkan rekod prestasi tertingginya dalam sejarah syarikat, sekali gus mengukuhkan lagi posisinya selaku pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia.

Pada tahun 2014, BMW Group Malaysia mencatatkan rekod keseluruhan penghantaran 9,046 unit kenderaan yang merangkumi 7,808 unit BMW, 655 MINI dan 583 BMW Motorrad. Ini merupakan peningkatan sebanyak 13.4% berbanding tempoh sama pada tahun 2013 (7,974 unit).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris berkata, “Kami amat gembira dengan prestasi pada tahun lalu yang membolehkan BMW Group Malaysia sekali lagi muncul sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di negara ini. Sokongan yang berterusan dan kian meningkat daripada para pelanggan BMW serta semua pengedar kami terbukti menjadi satu faktor penting yang menyumbang kepada prestasi jualan mengagumkan untuk tahun 2014. Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih atas pencapaian yang hebat ini.”

Tambah Harris lagi, permintaan kukuh terhadap varian-varian BMW 3 Series, BMW 5 Series, serta pengenalan model-model baharu BMW, MINI dan Motorrad pada tahun 2014 menjadi sebab utama yang memacu pengeluar kenderaan premium ini mencatat rekod prestasi jualan tertinggi di Malaysia.

mini-5-door-launched-ik-2 702

“Ketika BMW 3 Series dan BMW 5 Series kekal menjadi pesaing utama di pasaran dan cukup dihargai oleh para pelanggan, kami juga telah menawarkan lebih banyak pilihan ke dalam segmen kenderaan premium tempatan menerusi pengenalan model-model seperti BMW X4 serba baharu dan MINI baharu. Malah penambahan jumlah pelaburan ke atas kemudahan pemasangan tempatan untuk model BMW X5, MINI Countryman serta motosikal BMW F800GS dan F800R mencatatkan sejarah tersendiri buat BMW Group Malaysia, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di Asia Tenggara. Ia membuktikan lagi komitmen kami terhadap Malaysia,” kata Harris.

Di peringkat global, BMW Group berjaya mengukuhkan posisinya selaku kumpulan pengeluar kenderaan premium terbesar di dunia. Penghantaran kenderaan sebanyak 2,117,965 unit kenderaan di seluruh dunia menyaksikan lonjakan 7.9% berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 1,963,798 unit, satu peningkatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah syarikat tersebut.

Di Asia, BMW Group turut menyaksikan pertumbuhan yang kukuh pada tahun 2014 melalui penghantaran sebanyak 656,395 unit BMW dan MINI, peningkatan 13.8% berbanding tempoh sama pada tahun 2013 iaitu sebanyak 576,616 unit.

Pelan tahun 2015 sudah direncanakan, BMW Group Malaysia akan terus fokus untuk menawarkan para pelanggannya di Malaysia dengan pengalaman pemilikan premium yang sempurna dari sudut pandangan industri. Ia turut merangkumi apa yang terbaik dalam kelasnya, teknologi dan inovasi termaju pada kenderaan keluarannya serta perkhidmatan proaktif di semua peringkat.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *