Hyundai Aslan telah dilancarkan di Korea Selatan

By  |  0 Comments

Hyundai Aslan_7

Hyundai Motor Co. telah pun melancarkan model kompak sedan mewah, Aslan, bagi pasaran negara kelahirannya, Korea Selatan.

Pernah tampil secara perdana di Busan Motor Show pada Mei yang lalu, Aslan boleh diletakkan di pertengahan antara model Gradeur dan Genesis, bagi jenama yang sama.

Selain mengetengahkan rekaan Fluidic Sculpture 2.0 kebangaan Hyundai, model ini turut tampil dengan gril radiator krom yang lebih ranggi dan lampu utama projektor bersama lampu pencahayaan siang LED.

Hyundai juga menjelaskan, model ini menggunakan dua lapisan kaca bagi cermin hadapan dan sisi bagi mengelakkan bunyi bising menyerap masuk ke dalam kabin.

Selain itu, rekaan dalamannya telah diinspirasi berdasarkan model sedan Genesis dan ia turut dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit, kekemasan kayuan pada papan pemuka dan panel pintu serta sistem elektronik termasuk kawalan kelajuan pintar adaptif, sistem amaran pelanggaran hadapan, sistem amaran penukaran haluan dan sistem pengesanan titik buta.

Elemen standard yang turut ditampilkan termasuklah rim aloi bersaiz 18 inci, sembilan beg udara, suspensi adaptif, ASB, EBD, ESP, sistem pemantauan tekanan tayar, kawalan suhu elektronik dan banyak lagi.

Hyundai Aslan_3

Hyundai Aslan tampil dengan dua varian enjin iaitu 3.0 liter V6 yang mampu memberikan kuasa sehingga 270 PS dan tork 310 Nm serta 3.3 liter V6 dengan kuasa maksimum 294 PS dan tork 346 Nm. Kedua-duanya turut dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan bersama pedal penukar gear dan pacuan roda hadapan.

Dijangka mula dijual di Korea Selatan pada penghujung bulan ini dengan harga 39.9 juta won (RM123,470). Hyundai mensasarkan jualan sebanyak 22,000 unit bagi model ini pada tahun hadapan.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *