Audi A3 Sedan muncul dengan dua varian – Berharga antara RM180k-RM241k

By  |  0 Comments

DSC_5250

Walau pun tiada pelancaran secara rasmi, sebaliknya hanya tampil pada beberapa acara, namun Audi A3 Sedan ini telah pun mula berada di pasaran Malaysia. Hadir dengan dua varian iaitu 1.4 TSFI dan 1.8 TFSI quattro, kedua-duanya tampil dengan elemen tersendiri.

Ditawarkan pada harga RM179,900 bagi varian 1.4 TSFI dan 1.8 TFSI quattro pula RM240,888 (kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans), kedua-dua model ini sedang dipertontonkan di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya sehingga 10 Ogos ini.

Varian A3 Sedan 1.4 TSFI boleh dikatakan model Audi yang harganya paling berpatutan dijual di Malaysia. Dijanakan oleh enjin 1.4 liter pengecas turbo, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 122hp dan tork 200Nm pada 1,400 hingga 4,000 rpm.

Ia turut dipadankan dengan transmisi klac-berkembar S Tronic tujuh kelajuan. Jentera ini mampu dipacu daripada titik sifar sehingga 100km/j dalam tempoh hanya 9.3 saat. Manakala kelajuan paling maksimum yang mampu dicatat ialah 205km/h. Audi mendakwa penggunaan bahan api bagi jentera ini ialah lebih kurang 4.9 liter bagi setiap 100km.

DSC_5248

Manakala bagi varian 1.8 TSFI, ia turut dijanakan oleh enjin pengecas turbo yang mampu menjanakan kuasa sehingga 180hp dan tork 280Nm pada tahap 1,350 hingga 4,500rpm. Bersama transmisi klac berkembar S tronic enam kelajuan, jentera ini mampu dipacu daripada titik sifar sehingga 100km dalam hanya 6.5 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan ialah 228km/j. Ia juga memberikan penjimatan bahan api yang efisien iaitu sekitar 6.6 liter untuk setiap 100km.

Jika dilihat daripada paras rupa, kedua-duanya memilik persamaan pada imej luaran. Ia dilengkapi dengan logo quattro, tayar bersaiz 17 inci (tetapi dengan rekaan yang berbeza), lampu utama adaptif Xenon dengan lampu pencahayaan siang LED yang boleh dipertingkatkan dengan lampu LED sepenuhnya pada kos tambahan RM8,000.

DSC_5269

Juga terdapat pilihan untuk menambahkan paras rupa yang lebih menawan dengan pakej S Line iaitu kit badan keseluruhan, rim aloi bersaiz 18 inci, bumbung panoramik, tempat duduk sport Alcantara, dan roda stereng rata yang kesemuanya dengan kos tambahan sebanyak RM19,800 dan hanya eksklusif untuk model 1.8 TFSI sahaja. Tetapi mempunyai pilihan untuk bumbung panoramik yang boleh ditempah secara berasingan dengan kos tambahan sebanyak RM4,500.

Untuk bahagian kabinnya, kedua-dua model tampil dengan zon berkembar kawalan penghawa dingin, lampu dan bilah pengelap cermin automatik, sistem automatik penghidup enjin, kawalan kelajuan dan juga brek parkir elektronik.

DSC_5266

Manakala bagi aspek keselamatan pula, ia dilengkapi dengan tujuh beh udara, ESP dan ISOFIX.

Namun ada juga elemen yang membezakan antara kedua-dua model iaitu varian 1.4 TSFI dilengkapi dengan kekemasan tempat duduk separa fabrik dan kulit, tempat duduk pemandu boleh laras dan roda stereng berjejari empat.

Manakala bagi varian 1.8 TSFI quattro pula dilengkapi dengan tempat duduk sport balutan kulit sepenuhnya, tempat duduk penumpang sebelah pemandu yang juga boleh dilaras secara elektronik, roda stereng berjejari tiga yang tampil sporty dengan pedal penukar gear dan kekemasan aluminium pada kabin.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *