Proton Iriz Active tampil dengan gaya crossover – Model konsep yang bakal diproduksikan

By  |  0 Comments

Iriz_Active_05

Baru beberapa hari Proton memperkenalkan model terbaharunya, Proton Iriz, petang tadi, Pengerusi Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memperkenalkan model konsep hasil jelmaan Iriz di hari terbuka Alami Proton. Ia bukanlah ‘model jelmaan’ sebarangan tetapi diambil daripada konsep Iriz yang ditampilkan dengan gaya crossover.

Iriz_Active_46

Diberi nama Proton Iriz Active, model konsep ini menggunakan pendekatan “kebebasan bergerak”, dikatakan bakal diproduksi dalam masa terdekat ini. Direka dengan menggunakan platform Iriz, Proton mensasarkan model ini untuk diletakkan di bawah segmen SUV-mini.

Model konsep Iriz Active ini tampil dengan kerangka berlapisan penuh dan telah menambah jarak lantai lebih 30mm berbanding dengan model hatchback Iriz. Dengan kombinasi skim “Earth Grey” dan “Orange Zest”, pandangan luaran model ini nampak begitu WOW!

Pada bahagian hadapannya, elemen yang paling menonjol sudah tentu gril berwarna cerah dengan kekemasan Orange Zest bagi menggantikan kekemasan krom. Manakala rel bumbung pula tampil dengan sentuhan perak dan kehadiran C-pillar pula membuatkan model konsep ini seperti tampil dengan rekaan ‘bumbung terapung’ yang tampak lebih futuristik.

Malah rim juga ditampilkan dengan rekaan yang baharu bagi menampakkan model ini kelihatan ‘aktif ketika bergerak’. Untuk model konsep yang dipertontonkan tadi, ia digandingkan dengan tayat Toyo Proxes T1R dengan dimensi 205/45/R17.

Ia juga tampil dengan lampu kabus dan lampu isyarat sisi yang memiliki rekaan baharu. Malah cangkuk tunda juga terdapat di bawah bahagian belakang, sekali gus menambahkan lagi elemen “Aktive” bagi model konsep ini.

Selain itu, elemen lain yang terdapat pada bahagian belakang model ini ialah kamera undur yang terletak di bawah logo Proton. Alasan mengapa kedudukan kamera undur ini berubah ialah untuk menggantikan fungsi cermin pandang belakang dengan monitor LCD pada bahagian dalam model ini.

Malah Proton juga telah menjalinkan usaha sama dengan syarikat teknologi gergasi dari Korea, LG, untuk membangunkan sistem elektronik dan pencahayaan bagi model ini. Antaranya dengan menampilkan sistem pencahayaan baharu, NEXLIDE. Di mana jalur filem electroluminescent digunakan bagi menggantikan lampu pencahayaan siang LED. Malah lampu isyarat LED juga akan diposisikan semula, mungkin bersambung dengan bampar.

Menurut Ketua Jabatan Reka bentuk Proton, Azlan Othman, dengan penambahan sistem baharu ini, Proton dilihat mampu untuk mengetengahkan rekaan lampu yang lebih unik. Malah rekaan dalamannya juga bakal menerima ‘tempias’ perubahan hasil kerjasama dengan LG ini.

SONY DSC

Bagi konsol tengahnya pula, ia ditampilkan dengan sistem hiburan dengan skrin bersaiz 13.3 inci. Sementara itu, barisan meter konvensional pula bakal digantikan dengan unit paparan HD bersaiz 12.3 inci. Pengecas tanpa wayar pada corong tengah pula akan diberi penambah baikan dengan EMI dan NFC bagi membuatkan model ini lebih menarik.

Simbahan warna jingga dan kelabu pada tempat duduk balutan kulit turut memberikan atmosfera tersendiri bagi ruangan dalaman model konsep Iriz Active ini.

Malah satu lagi perkara yang perlu diberi tumpuan untuk model ini ialah dengan adanya sistem ‘ADAS’ iaitu sistem brek kecemasan autonomi yang dibangunkan oleh LG. Ia menggunakan kamera streo yang dipasangkan pada monitor LCD, berfungsi untuk mengimbas keadaan jalan terutamanya bagi mengesan halangan dan pejalan kaki yang mungkin boleh membahayakan pemanduan.

Berkaitan dengan mekanikal, Proton masih tidak memberikan perincian yang lebih lanjut. Namun, terdapat spekulasi mengatakan, mungkin Proton bakal memperkenalkan enjin baharu, yang akan ditampilkan untuk model ini juga.

Nampak gayanya, Proton mahu mengotakan janjinya dengan mengeluarkan model baharu saban tahun bagi ‘mengembalikan’ zaman kegemilangan mereka, sekali gus meraih semula keyakinan orang ramai terhadap kualiti produk yang dihasilkan.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *