Proton Iriz cetus transformasi terbaharu

By  |  2 Comments

LAUNCH

Detik yang dinantikan kini telah tiba. Setelah sekian lama berita termasuk foto-foto spyshot mengenainya bertebaran secara meluas terutamanya di Internet.

Sebelum ini lebih dikenali sebagai Proton Global Small Car (GSC) kemudian bertukar ke Proton Compact Car dan secara rasminya kini menggunakan nama Proton Iriz pula.

Bertempat di kilang Proton Tanjung Malim, Perak, menyaksikan satu lagi sejarah terlakar dengan pelancaran secara rasmi Iriz oleh Pengerusi Proton, YB Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau turut diiringi oleh CEO Proton, Dato’ Abdul Harith Abdullah, Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi Kumpulan DRB-Hicom Dato’ Syed Mohamad Syed Murtaza bersama dengan barisan pengurusan kanan Proton.

Iriz_Ext_03

Iriz tampil dengan rekaan yang menawan, teknologi yang penuh inovatif dan ciri-ciri kejuruteraan yang berkualiti tinggi, memberikan ia keyakinan untuk mendominasi pasaran di bawah segmen-B bagi kenderaan buatan tempatan. Anak bongsu Proton ini didatangkan dengan tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium yang masing-masingnya memiliki karakter tersendiri.

Penggantian “S” ke “Z” membawakan maksud sebagai abjad terakhir dalam alphabet, di mana Proton telah berusaha dari A hingga Z untuk memberikan yang terbaik dalam pembikinan Iriz ini. Apatah lagi ia diperkayakan dengan pelbagai teknologi dan inovasi terkini bagi mengikut standard kualiti pasaran semasa termasuk menjanjikan keseronokan, keselesaan dan tahap keselamatan terbaik dalam pemanduan.

Iriz_Ext_07

Berucap dalam majlis pelancaran, Dato’ Harith berkata, “Proton Iriz dibangunkan dengan menggunakan platform terbaharu sepenuhnya. Ia dibangunkan oleh team Proton sepenuh rakyat Malaysia dan untuk rakyat Malaysia sendiri serta pasaran global. Malah model ini boleh dianggap sebagai simbolik terhadap komitmen padu Proton untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi.”

Menurutnya lagi, Iriz dilengkapi dengan pelbagai elemen keselamatan yang sangat diperlukan masa kini seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, EBD, Kawalan Cengkaman, Bantuan Brek, Hill Hold Assist dan sistem Amaran Tali Pinggang Keselamatan (SBR). Kesemua elemen yang ada ini membuatkan Iriz tampil unik untuk pasaran tempatan seperti mana yang diperoleh di model-model premium kenderaan jenama antarabangsa yang berharga lebih dari RM100,000.

“Harga yang ditawarkan untuk Iriz ialah antara RM42,438 hingga RM62,888 bergantung pada varian yang dipilih. Buat masa ini, kami ingin mengekalkan harga mampu milik dan mempunyai nilai mata wang dengan segala elemen yang ditampilkan,” ujar Harith lagi.

Iriz_Ext_42

Bertuahnya Iriz apabila ia ditampilkan dengan enjin VVT empat-silinder baharu yang dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau transimisi CVT. Bagi enjin berkapasiti 1.3 liter, ia untuk varian Standard dan Executive. Manakala enjin 1.6 liter pula ditampilkan pada varian Executive dan Premium.

Elemen lain yang turut ditampilkan untuk mempertingkatkan lagi aspek keselamatan model ini ialah Impact Sensing Door Unlock, di mana ia boleh mengesan sekiranya berlaku kemalangan dan pintu yang berkunci akan dibuka secara automatik untuk membolehkan pemandu dan penumpang menyelamatkan diri (atau diselamatkan).

Iriz_Ext_06

Bukan itu sahaja, Iriz juga diproduksi dengan Hot Press-Formed (HPF) dan Ultra High-Strength Steel (UHSS) bagi menjamin ketegaran kerangkanya. Ia sangat penting terutamanya jika kenderaan terlibat dengan kemalangan dan ini dapat mengurangkan risiko kecederaan/kematian pada pemandu/penumpang. Ia merupakan negara ke-enam di dunia yang mengimplementasikan teknologi Jerman dan merupakan satu-satunya negara ASEAN yang menerapkan teknologi ini dalam pembuatan kenderaan.

Untuk varian Premium, ia turut dilengkapi dengan kamera undur dan tambahan enam beg udara (varian lain hanya dua beg udara sahaja). Untuk kesemua varian juga dilengkapi dengan ISOFIX.

Ini menunjukkan komitmen yang jitu dan mengutamakan aspek keselamatan tanpa kompromi oleh Proton. Malah Iriz juga telah diberi pengiktirafan lima bintang oleh ASEAN NCAP setelah melalui ujian pelanggaran.
 
Proton Iriz kini sudah boleh didapati di kesemua bilik pameran Proton seluruh negara untuk dilihat, dipandu uji dan ditempah. Ia didatangkan dengan tujuh warna menarik iaitu Fire Red, Atlantic Blue, Genetic Silver, Proton White, Tranquility Black serta dua warna baharu eksklusif buat Iriz – Citrus Green dan Silver Moon Dust.

Menurut Proton, sehingga ke hari ini, sebanyak 17,000 unit tempahan telah diterima sejak ia mula dibuka dua minggu yang lalu. Di mana buat setakat ini, varian Executive mengungguli tempahan. Tempoh penghantaran bagi unit yang telah ditempah adalah antara tiga hingga empat bulan. Namun Proton dijangka memulakan penghantaraan pertamanya pada penghujung Oktober ini.

Sebelum ini InfoKereta.com pernah memaparkan harga tentatif bagi Iriz ini. Namun pada hari ini, kejutan harga telah berlaku di mana untuk varian 1.3 Executive mengalami penurunan harga sebanyak RM1,000 dan 1.6 Executive pula menyusut RM2,000. Manakala bagi varian Standard dan Premium, kedua-duanya tiada perubahan harga.

Pembelian Iriz ini juga didatangkan dengan waranti selama lima tahun atau had perbatuan 150,000km (yang mana tiba terlebih dahulu) dan tiga tahun servis percuma atau 100,000km (yang mana tiba terlebih dahulu).

Berikut merupakan senarai penuh harga bagi Proton Iriz :

HARGA IRIZ

Proton Iriz..BETUL-BETUL ONZ!

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *