Lexus RC 350 Luxury & RC F penuh ledakan adrenalin

By  |  0 Comments

Lexus RC

Lexus Malaysia telah membuka tempahan bagi model baharu Lexus RC Coupe mulai 5 September. Didatangkan dengan dua varian iaitu Lexus 350 Luxury dan RC F, kedua-duanya memiliki gaya yang tampak agresif dan pastinya turut menampilkan prestasi yang memberangsangkan.

Model RC 350 Luxury dijanakan oleh enjin 3.5 liter V6 yang mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 314hp pada 6,400rpm dan tork 378Nm pada 4,800rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dengan kuasa pacuan yang dihantar pada roda belakang. Jentera ini berkemampuan dipacu daripada titik sifar sehingga 100km/j dalam hanya 6.3 saat. Manakala kelajuan paling maksimum yang mampu dicatatkan ialah 230km/j.

RC 350 Luxury ini turut tampil dengan rim aloi bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar 235/45, lampu utama LED, Remote Touch Controller dengan paparan Electronic Multi-Vision bersaiz tujuh inci, navigasi, Bluetooth, Drive Mode Selector (Eco, Normal, Sport) dan Sound Generator.

Bagi ruang dalamannya, ia memilih material kulit dan woodgrain sebagai kekemasan. Ia turut menampilkan roda stereng yang boleh dilaras secara elektronik, pedal penukar gear, unit penghawa dingin zon berkembar yang dilaras secara auto, tempat duduk balutan kulit separa-aniline, tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan yang boleh dilaras dengan lapan cara, dan corong penghawa dingin. Bagi hiburan pula, terdapat sistem bunyi Mark Levinson Premium Surround dengan 14 pembesar suara serta slot DVD.

Lexus RC F

Bagi varian RC F pula, ia dipadankan dengan enjin 5.0 liter V8 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 470hp pada 7,100 rpm dan tork 530Nm antara 4,800 hingga 5,600 rpm dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Model hangat ini mampu mencatat pacuan antara titik sifar sehingga 100km/j dalam hanya masa 4.5 saat dan kelajuan maksimum yang boleh diledakkan ialah 270km/j.

RC F ini juga menerima semua elemen yang turut ada pada RC 350 dengan pertambahan mod Sport+ pada Drive Selector, rear torque vectoring differential, brek Brembo, suspensi Sachs F, roda stereng F, tempat duduk sport F dan lampu kabus pada bahagian hadapan.

Selain itu, ia turut menampilkan sistem bunyi Mark Levinson dengan 17 pembesar suara, tayar hadapan 255/35 R19 dan tayar belakang 275/35 R19. Bagi mendapatkan imej yang lebih mantap, Lexus menawarkan pilihan Pakej Gentian Karbon dengan kekemasan gentian karbon pada bonet, bumbung dan wing belakang yang kesemuanya bernilai RM71,000.

Bagi aspek keselamatan pula, kedua-dua varian dilengkapi dengan lapan beg udara, Vehicle Dynamic Management Integrated (VDIM), VSC, TRC, paparan titik buta dan paparan bantuan parkir undur.

Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan untuk RC 350 Luxury ialah RM526,000 dan bermula RM782,000 bagi RC F.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *