Awas! JPJ bakal lancar Operasi Khas Nombor Pendaftaran, Penggunaan ‘Strobe Light’ mulai 1 Oktober

By  |  1 Comment

Screen Shot 2014-09-07 at 20.36.22

Semalam satu sidang media telah dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) yang berlangsung di Casuarina@Meru, Ipoh, Perak, yang membawakan pengumuman mengenai Operasi Khas Nombor Pendaftaran dan penggunaan ‘strobe light’ pada kenderaan.

Memetik laporan dari BERNAMA, Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Sri Ismail Bin Ahmad, telah mengumumkan bakal melaksanakan Operasi Khas Nombor Pendaftaran dan penggunaan ‘strobe light’ pada kenderaan di seluruh negara secara berperingkat mulai 1 Oktober depan.

Operasi pada peringkat pertama itu akan bermula selama sebulan sementara peringkat kedua akan bermula pada 1 November. Ia akan melibatkan anggota penguatkuasa dari seluruh negara serta mendapat kerjasama pihak polis.

Di mana bagi peringkat pertama, JPJ akan mengeluarkan notis amaran, peringatan dan nasihat kepada pengguna jalan raya serta cara penggunaan nombor plat yang betul.

Katanya sepanjang operasi peringkat pertama, anggotanya akan mengedarkan risalah spesifikasi nombor pendaftaran kenderaan yang telah ditetapkan di bawah kaedah 6 Kaedah-kaedah kenderaan Motor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.

Walau bagaimana pun, pemeriksaan melalui sekatan jalan raya dan rondaan oleh anggota JPJ pada peringkat pertama tidak akan dikenakan saman kepada pengguna jalan raya yang melanggar peraturan.

Bagaimanapun mulai 1 November, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM300. Malah JPJ juga akan meminta pemilik kenderaan melucut ‘strobe light’ dari kenderaan mereka.

Selain itu, JPJ juga telah meningkatkan operasi penguatkuasaan khas bagi kenderaan barangan yang lebih muatan dan membawa barangan yang berbahaya dalam skala besar.

Ismail turut berkata statistik kemalangan jalan raya mencatatkan sebanyak 6,915 kes kematian pada tahun 2013 dan angka tersebut dijangka meningkat kepada 10,716 kes pada 2020 jika penguatkuasaan tidak dilakukan.

Dengan penguatkuasaan itu, JPJ mensasarkan menjelang tahun berkenaan kadar kematian menurun kepada 5,300 kes, katanya.

Berikut merupakan kenyataan yang disiarkan menerusi laman media sosial FB JPJ :

OPERASI KHAS NOMBOR PENDAFTARAN KENDERAAN DAN PENGGUNAAN STROBE LIGHT PADA KENDERAAN

Operasi peringkat pertama ialah Operasi Berbentuk Pendidikan yang akan dilaksanakan bermula pada hari ini sehingga 31 Oktober 2014. Kaedah pelaksanaan operasi bagi peringkat ini adalah seperti:-

• Ibu Pejabat JPJ akan mengeluarkan arahan kepada semua kakitangan JPJ melalui Pengarah Negeri supaya memastikan semua kakitangan mematuhi peraturan berhubung penggunaan nombor pendaftaran dan Strobe light pada kenderaan masing-masing agar menjadi contoh kepada pengguna jalan raya yang lain

• Ibu Pejabat JPJ juga akan mengeluarkan surat makluman dan peringatan kepada semua Kementerian dan Jabatan kerajaan bagi memastikan pematuhan peraturan berhubung penggunaan nombor pendaftaran dan Strobe light pada kenderaan jabatan masing-masing

• JPJ Negeri akan menghantar surat makluman dan peringatan kepada semua Jabatan Kerajaan (Negeri dan Persekutuan) bagi memastikan pematuhan peraturan berhubung penggunaan nombor pendaftaran dan Strobe light pada kenderaan jabatan masing-masing

• Membuat pemeriksaan kenderaan Berbentuk Pendidikan melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) atau rondaan kepada semua pengguna jalan raya.

• Pemeriksaan kenderaan melalui SJR dan rondaan oleh anggota JPJ pada peringkat ini tidak melibatkan tindakan saman kepada mereka yang melanggar peraturan.

• Sekiranya terdapat pengguna jalan raya yang melangggar peraturan ini, satu surat peringatan supaya nombor pendaftaran yang dipamer ditukar kepada nombor pendaftaran yang mengikut peraturan / menanggalkan Strobe light yang dipasang.

• Memaklumkan kepada mereka yang melanggar peraturan ini akan tarikh penguatkuasaan Berbentuk Punishment (Menghukum) yang bakal dilaksanakan bermula pada 1 Oktober 2014.

• Mengedarkan risalah spesifikasi nombor pendaftaran kenderaan sebagaimana ditetapkan di bawah kaedah 6 Kaedah-kaedah kenderaan Motor (Pendaftaran Dan Pelesenan) 1959.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

1 Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *