Nissan Sylphy serba baharu dilancarkan – Berharga RM112k-RM122k

By  |  0 Comments

IMG_8432

Jika negara jiran seperti Thailand telah melancarkan Nissan Sylphy generasi ketiga pada penghujung 2012 dan Filipina pula hanya memperkenalkan model ini pertengahan Mac yang lalu, namun untuk pasaran Malaysia, ia baru saja dilancarkan hari ini. Biar sedikit terlewat, asalkan ia selamat ‘mendarat’ di negara kita.

Nissan Sylphy generasi ketiga ini menawarkan pengguna di Malaysia dengan karekteristik pemanduan mengagumkan, reka bentuk elegan, ruang dalaman yang luas dan senyap. Ia juga dilengkapi dengan teknologi-teknologi terkini untuk prestasi dan penjimatan bahan api yang cemerlang.

Malah ia juga adalah salah satu model global utama Nissan yang dipasarkan di kira-kira 120 buah negara termasuklah Jepun, China, Thailand dan Australia (sebagai Pulsar) serta Amerika Syarikat (dikenali sebagai Sentra).

New_Nissan_Sylphy_1.8_Malaysia_002

Menurut Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, “ETCM berbangga untuk memperkenalkan Nissan Sylphy generasi ketiga serba baharu kepada pengguna di Malaysia. Ia dibina menggunakan platform dan reka bentuk serba baharu yang membuktikan penambahbaikan pada semua aspek.”

Sambungnya lagi, “Menerusi pakej sofistikated yang menggabungkan rekaan premium, keselesaan dan keluasan ruang yang melangkaui kelasnya, ditambah pula dengan ciri-ciri keselamatan yang terbaik dalam segmennya, kami percaya bahawa Sylphy serba baharu akan menawarkan pilihan bernilai tinggi kepada pengguna. Nissan Sylphy serba baharu ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand.”

New_Nissan_Sylphy_1.8_VL_040

Dikuasakan oleh enjin MRA8DE Twin CVTC yang baharu, ia amat efisien, kompak dan ringan. Malah turut dilengkapi teknologi-teknologi baru dan kawalan injap pemasaan berterusan (CVTC) pada bahagian pengambilan dan ekzos. Reka bentuk lejang yang panjang menawarkan penghantaran kuasa tork yang lebih baik bagi meningkatkan aspek pecutan ketika berada pada kelajuan rendah.

Turut dipadankan dengan kotak gear XCVT (Xtronic Continuously Variable Transmission) generasi seterusnya bersama satu gear sub-planetari untuk penukaran gear yang lancar dan kehilangan kuasa dapat diminimumkan.

Rekaan badan baharu yang aerodinamik menawarkan halangan udara yang rendah serta mengoptimumkan laluan angin pada bahagian bawah kenderaan untuk mencapai kadar seretan hanya 0.29. Kehadiran semua teknologi ini telah mendorong Nissan Sylphy Serba Baharu lebih menjimatkan daripada segi penjimatan bahan api.

Bagi rekaan ruang dalaman Nissan Sylphy serba baharu ini, ia telah mengekspresikan rasa yang dinamik dan premium, pada masa sama meningkatkan kefungsiannya. Gril hadapan bersepadu tiga dimensi berwarna krom yang menjadi signatur Nissan diintegrasikan dengan enam lampu utama LED yang menyerlah dan memberikan rekaan menarik kepada sedan ini.

Melihat dari arah sisi, garis karekternya bergerak dari lekuk dapra (fender) hadapan hingga ke lampu belakang yang menampilkan reka bentuk ladam kuda yang besar bersama lampu LED.

Tambahan kepada perubahan signifikan bahagian luarannya, keselesaan ruang dalamannya turut ditingkatkan dengan menambah 30mm untuk ruang bahu dan sebanyak 680mm pada ruang kaki. Nissan Sylphy Serba Baharu juga memiliki kapasiti ruang kargo sehingga 510 liter, menjadikan ia terbaik dalam kelasnya.

Untuk ruang kabin, panel instrumen menampilkan seksyen atas dan tengah yang saling melengkapi, selain penggunaan kemasan pad lembut bagi memberikan rasa yang premium. Permukaan ‘butiran mikro’ mengurangkan silau pada cermin utama. Sekali gus mengurangkan ketidakselesaan dan gangguan kepada pemandu. Kluster Meter Fine Vision dengan Paparan Multi-maklumat (MID) dan indikator mod ECO merupakan satu lagi ciri yang menawarkan pemanduan lebih selesa serta tidak memenatkan.

Kabin Nissan Sylphy Serba Baharu menawarkan pengalaman yang lebih selesa dan senyap menerusi penambahbaikan yang mengurangkan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH). Ketegaran tubuh yang diperkukuhkan, material penebat akustik yang diletak dengan berkesan dan penggunaan suspensi menyerap getaran menawarkan kesenyapan serta pemanduan selesa.

Ciri-ciri lain termasuklah sistem Kawalan Suhu Dua Zon Automatik yang menghasilkan persekitaran selesa untuk semua penumpang. Darjah penglihatan pemandu juga ditingkatkan melalui tingkap yang besar. Manakala bonet yang ‘curam’ membuatkan bucu-bucu kereta dapat dilihat dengan lebih senang dan memudahkannya untuk mengubah haluan.

Bagi aspek keselamatan, Nissan Sylphy serba baharu ini dilengkapi dengan enam beg udara SRS, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) bersama sejumlah sistem kawalan keselamatan seperti ABS, EBD, BA dan TCS (Traction Control System) membantu pemandu mengawal kenderaan serta mengelak daripada bahaya dalam situasi-situasi kecemasan. Ciri-ciri termaju ini meningkatkan kestabilan kenderaan dan menghalangnya daripada tergelincir di atas jalan yang licin.

New_Nissan_Sylphy_1.8_VL_002

Model ini juga hadir dengan sistem brek cakera pada keempat-empat rodanya. Ciri keselamatan lain termasuklah lampu utama jenis Xenon dengan pengarasan automatik dan pembersih (varian 1.8L sahaja), kamera pandang belakang (1.8L sahaja), tali pinggang hadapan dengan pengehad beban dan pra-regangan, binaan badan yang kukuh serta rekaan bahagian hadapan untuk melindungi pejalan kaki.

Membawakan tema ‘Alami Kesempurnaan’ (Embrace Distinction), Nissan Sylphy serba baharu ini melambangkan sikap dan gaya yang mencipta nilai-nilai sesuai dengan identiti peribadi seseorang.

Didatangkan dalam dua varian, 1.8 E dan 1.8 VL. Terdapat lima pilihan warna iaitu merah (Cayenne Red), hitam (Premium Black), emas (Bronze Gold), putih (Diamond White) dan perak (Brilliant Silver). Harga di atas jalan (tidak termasuk insurans) Nissan Sylphy serba baharu ialah RM111,900 untuk 1.8E dan
RM121,900 bagi varian 1.8 VL.

New_Nissan_Sylphy_1.8_E_003

Ia hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000km mana-mana terlebih dahulu. Tempahan dan pandu uji sudah boleh dibuat di mana-mana bilik pameran Nissan di seluruh negara. Sempena pelancaran Nissan Sylphy serba baharu, ETCM menawarkan pemasangan lapisan cermin (tinting) Solar Gard Armorcoat secara percuma kepada 1,000 pelanggan terawal.

Sylphy 1.8VL

Sylphy 1.8E

Sylphy 1.8E & 1.8VL

Foto pelancaran

Foto rasmi

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *