Tun M letak jawatan sebagai penasihat Proton?

By  |  0 Comments

Suprima-S-launch-00510

Laman sesawang investor.com dan The Edge telah menyiarkan kenyataan bahawa difahamkan Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) sudah mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai penasihat kepada Proton Holdings baru-baru ini. Namun setiausaha akhbar beliau telah menafikan perkhabaran ini.

Selepas melepaskan jawatan sebagai penasihat Petronas penghujung tahun yang lalu, nampak gayanya Tun M turut mengambil langkah yang sama terhadap Proton. Dan pasti ramai sedia maklum keadaan yang ‘tidak menentu’ mengenai pihak pengurusan Proton selepas Datuk Lukman Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Timbalan CEO buat kali kedua. Biar pun dikatakan sudah ada penggantinya, namun perkara sebegini sedikit sebanyak mencalarkan reputasi Proton yang dikatakan mempunyai pelbagai masalah dalaman.

Jika benar keputusan Tun M untuk melepaskan jawatan ini, adakah ia mampu memberikan impak negatif terhadap Proton? Persoalan ini sukar untuk dijawab tetapi pasti mengundang pelbagai spekulasi dan telahan memandangkan Tun M dilihat sebagai tulang belakang Proton semenjak ia ditubuhkan pada tahun 1983.

Ternyata kontroversi demi kontroversi yang berlaku menyebabkan kredibiliti Proton mampu tergugat. Biar pun sejak beberapa tahun ini, Proton telah memperkenalkan model baharu seperti Preve, Suprima S dan akan datang ‘Global Small Car’ (GSC), namun masyarakat sememangnya mudah menghukum sesuatu organisasi itu sekiranya timbul kontroversi sedemikian.

Oleh sebab itu, diharap Proton mampu lebih berdikari dan memacu langkah lebih cemerlang bagi menyerlahkan lagi jenama ini di mata masyarakat Malaysia dan dunia.

Sama-samalah kita nantikan pengumuman rasmi dari Tun M atau Proton sendiri mengenai spekulasi yang sedang ligat bertebaran ini.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *