Proton nafi minta dana RM3 bilion untuk produksi model baharu

By  |  0 Comments

Karnival Proton

Semalam akhbar The Star telah melaporkan bahawa Proton telah mengadakan pertemuan dengan MITI dan Petronas bagi memohon dana sebanyak RM3 bilion untuk tujuan meneruskan produksi bagi model baharu. Namun kenyataan tersebut telah disangkal oleh Menteri Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa), seperti mana yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3 malam ini.

Tok Pa menegaskan bahawa laporan yang mengatakan Proton memohon dana sebanyak RM3 bilion pada pihak kerajaan adalah sebagai tidak tepat. Menurut Tok Pa, Proton sebenarnya memohon geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Skim Pra-Pakej Insentif yang diwujudkan oleh kerajaan menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau MIDA.

TokPa

Walau bagaimana pun, menurut Tok Pa lagi, insentif tersebut turut diberikan kepada mana-mana syarikat yang memohon dengan syarat ia bertujuan untuk R&D. Di mana kelulusan bagi syarikat yang layak memohon adalah berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Menurut Tok Pa lagi, biar pun Proton merupakan syarikat pengeluar kenderaan nasional, namun mereka tidak akan mendapat keistimewaan khas termasuklah untuk pembangunan EEV. Malah skim insentif tersebut juga layak dimohon oleh mana-mana pengeluar kenderaan dari luar negara atas tujuan yang sama.

Menerusi laporan yang disiarkan oleh Buletin Utama ini juga telah memetik kenyataan daripada Ketua Sektor Operasi Teknikal Proton, Abdul Rashid Musa yang turut menafikan laporan The Star semalam.

Rashid menyebut, selepas pengambil alihan Proton oleh DRB pada tahun 2011, Proton mengkaji semula permohonan dengan MIDA dan mengesahkan aktiviti R&D yang diambil serta ia telah disiapkan.Dalam aspek ini, Proton telah mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan oleh MIDA misalnya definisi R&D, kelayakan perbelanjaan dan prosedur pengeluaran geran.

Malah Proton juga telah memperuntukan sejumlah kos yang besar di dalam R&D, penghasilan model baharu Preve dan meningkatkan aspek keselamatan di dalam model baharu Proton bagi mendapat pengiktarafan lima bintang daripada ANCAP.

Jadi pada tahun lalu, Proton telah memohon geran di bawah skim insentif tersebut bagi meneruskan R&D dan bukannya kos pengeluaran keseluruhan bagi memproduksi model baharu seperti kenyataan yang disiarkan oleh akhbar berkenaan semalam.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *