Kerajaan diminta mempertimbangkan VEP di sempadan Bukit Kayu Hitam

By  |  0 Comments

Thailand-Sadao-Checkpoint

Cadangan pelaksanaan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam wajar dilihat kembali oleh kerajaan, bagi membantu membendung masalah jenayah rentas sempadan yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Jenayah rentas sempadan terutamanya yang melibatkan penyeludupan manusia, bukan hanya tertumpu kepada laluan-laluan tikus, malahan laluan rasmi, laporan Bernama.

Menurut Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, “Kita tak boleh lupa di sempadan juga ada kawasan bergolak, banyak puak pemisah, ada juga yang ada hubungan dengan pihak tertentu yang telibat dengan keganasan di luar negara, saya kira jadi perkara ini wajar diberi kajian semula”.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya melalui VEP tersebut, rekod keluar masuk kenderaan dan pemantauan tentang kenderaan asing yang masuk ke negara ini dapat diwujudkan, melalui satu pangkalan data yang lebih sistematik.

“Kita tidak mahu negara kita jadi syurga kepada mereka yang hendak lakukan jenayah rentas sempadan, bila buat jenayah lepas itu lari ke tempat kita, kita tak nak mereka guna tempat kita untuk kembangkan aktiviti jenayah mereka,” katanya.

Malah katanya, pangkalan data tersebut juga mungkin boleh membantu menyelesaikan kes-kes jenayah, melalui hubung kait masa kejadian jenayah berlaku dengan waktu keluar masuk kenderaan.

“Data berpusat, kumpul maklumat lengkap untuk bantu pihak berkuasa kalau perlukan satu maklumat keluar masuk sempadan kita,” katanya.

Pada Julai 2014, kerajaan Kedah mencadangkan VEP untuk kenderaan asing berdaftar yang memasuki Malaysia melalui sempadan Bukit Kayu Hitam, sama dengan VEP yang dilaksanakan untuk kenderaan asing memasuki Johor.

Mohamed berkata, sekiranya cadangan VEP tersebut dilaksana, ia perlu mengambil kira siapa pemilik sebenar kenderaan, rekod kenderaan serta butiran perjalanan melibatkan tujuan, tempoh masa dan waktu keluar masuk.

Sementara itu, Exco Pengangkutan negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya kini masih menunggu jawapan dari Kementerian Pengangkutan berhubung cadangan itu.

“Kita faham ia memerlukan persetujuan negara-negara yang terlibat, tapi secara terperinci ia memerlukan keputusan Kementerian Pengangkutan, kami hanya menerima keputusan,” katanya.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *