BMW 2 Series Gran Tourer serba baharu janjikan prestasi terbaik – Harga RM280k

By  |  0 Comments

BMW-2-Series-Gran Tourer 001

Selain BMW 120i M Sport, BMW Malaysia turut melancarkan BMW 2 Series Gran Tourer serba baharu, MPV tujuh tempat duduk.

Mengekalkan rekaan dinamik, prestasi terbaik dan penjimatan bahan api mengagumkan yang menjadi signatur kepada BMW, ia merupakan sebuah MPV yang ideal buat keluarga. Dimensi luaran BMW 2 Series Gran Tourer serba baharu yang kompak dengan panjang 4,556mm, lebar 1,800mm dan setinggi 1,608mm menawarkan ruang dalaman yang sangat fleksibel untuk kegunaan harian. Dengan tapak roda yang dipanjangkan menjadi 2,780mm, kenderaan premium serba baharu BMW ini turut menawarkan ruang kaki dan tempat duduk yang luas.

Dengan tapak roda yang panjang dan garis bumbung lebih tinggi, BMW 2 Series Gran Tourer serba baharu adalah lebih luas berbanding BMW 2 Series Active Tourer serba baharu. Ia 214 lebih panjang, 53mm lebih tinggi dan tapak rodanya 110mm lebih panjang.

BMW-2-Series-Gran Tourer 002

Saiz kabinnya yang luas untuk tujuh orang penumpang itu memberikan lebih versatiliti bagi menjadikannya sebuah kereta keluarga yang ideal dan menyeronokkan. Tempat duduk belakang boleh dilipat dengan konfigurasi 40/60 untuk memberi lebih ruang kaki kepada penumpang atau ruang kargo tambahan.

Keluasan kenderaan ini juga hadir dalam bentuk ruang storan berkapasiti 645 hingga 805 liter. Ia boleh mencapai ruang maksimum seluas 1,905 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat sepenuhnya. Tempat duduk baris kedua pula menawarkan ruang untuk tiga kerusi bayi, sementara dua lagi kerusi bayi boleh dipasang pada tempat duduk baris ketiga.

Di sebalik ruang dalaman yang luas, bahagian hadapan BMW 2 Series Gran Tourer serba baharu tetap tampil sporty dengan cermin utama yang rendah dan bonet tinggi. Ia juga membawa tiga ikon BMW iaitu gril “kidney” berkembar, dua lampu utama berbentuk bulat dan logo jenama. Sementara lampu utama LED dengan gegelung lampu nyalaan siang (DRL) yang menjadi signatur kepada BMW ditawarkan sebagai salah satu ciri naik taraf daripada lampu DRL LED standard sebelum ini.

Di bahagian belakang, ciri-ciri lain termasuklah lampu berbentuk L dengan jalur lampu LED serta “Aeroblades” aerodinamik yang dipasang pada tiang D. Ia membantu mengurangkan pekali seretan dan membuatkannya kelihatan lebih sporty.

Dijanakan oleh enjin berkapasiti 2.0 liter dengan teknologi terbaharu BMW TwinPower Turbo membolehkan memberikan kuasa sehingga 192hp dan tork puncak 280Nm. Dipadankan dengan kotak gear transmisi lapan-kelajuan automatik, pecutan dari 0-100km/j dapat dilakukan dalam masa 7.7 saat sahaja.

BMW 2 Series Gran Tourer serba baharu juga beroperasi dengan lebih efisien dengan pengubah bermangkin (catalytic converter) yang diletak berdekatan dan injap kawalam tekanan boost yang membolehken kenderaan mencapai tahap kecekapan mengagumkan iaitu 6.2/100km dan tahap emisi CO2 144g/km.

Bagi memastikan stereng dan pengendalian BMW 220i Gran Tourer kekal unik dalam segmennya, stereng elektromekanikal yang tepat digunakan untuk model pacuan empat roda BMW. Di sinilah perisian dan perkakasan datang dalam rekaan yang sempurna untuk dipadankan dengan konsep pacuan tersebut.

Dengan bantuan stereng BMW yang tepat, masalah torque steer yang sering menghadkan pemandu daripada menikmati prestasi sporty kenderaan berpacuan roda hadapan telah dihapuskan sepenuhnya.

Demi menawarkan prestasi mengambil selekoh yang lebih lincah, gandar topang gegelung tunggal hadir sebagai komponen yang ringan dan kukuh. Gandar kinematik dan elastokinematik yang dikaliberasi dengan sempurna pula berfungsi memberikan pengendalian lebih tepat di selekoh. Ciri ini bukan sahaja meningkatkan prestasi ketika mengambil selekoh, malah kawalan menukar arah dan kejituan stereng.

Sistem Performance Control yang mengawal karekteristik stereng pula memastikan jentera ini lebih lincah dan stabil apabila menukar haluan. Ini dilakukan dengan cara mengawal kuasa enjin dan mengenakan brek pada roda hadapan.

Antara ciri standard lain yang dipasang pada semua model ialah stereng elektromekanikal dan sistem-sistem kawalan chasis seperti Kawalan Kestabilan Kawalan (DSC) serta Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC).

BMW 220i Gran Tourer serba baharu turut menerima manfaat ciri-ciri BMW EfficientDynamics seperti mode ECO PRO, fungsi Auto Start-Stop, Brake Energy Regeneration, stereng elektrik dan sistem auxiliari.

Manakala penambahbaikan aspek aerodinamik seperti kawalan corong udara, sirip udara pada roda hadapan dan spoiler bumbung yang diintegrasikan pada bahagian belakang mampu mengurangkan tahap pekali seretan kenderaan ini.

BMW-2-Series-Gran Tourer 003

Ia juga hadir bersama rangkaian ciri bantuan pemandu dan sistem ketersambungan yang komprehensif. Sebagai satu ciri standard pada sistem infotainmen, BMW 220i Gran Tourer serba baharu dilengkapi sistem operasi iDrive yang merangkumi iDrive Controller, paparan warna bersaiz 6.5-inci dan sistem navigasi.

Aplikasi-aplikasi BMW, ketersambungan Bluetooth untuk telefon pintar dan Radio BMW Professional merupakan ciri tambahan yang boleh dinikmati bersama sistem bunyi yang dipadankan bersama empat unit pembesar suara.

Ambien kabin BMW 220i Gran Tourer serba baharu yang terang dan luas diserlahkan lagi dengan lampu LED. Pada waktu malam, lampu LED itu akan mengiluminasi panel instrumen dan pintu dalam pelbagai warna yang boleh diubah. Upholsteri kulit yang tersendiri pula didatangkan dalam Dakota Black (hitam) dan Dakota Oyster (kelabu).

BMW 220i Gran Tourer serba baharu hadir dalam warna seperti Alpine White, Black Sapphire, Mineral Grey dan Glacier Silver. Sementara warna Imperial Blue dan Platinum Silver eksklusif untuk varian Luxury Line.

Harga atas jalan (tanpa insurans) anggaran bagi BMW 220i Gran Tourer ini ialah RM279, 800 seunit yang turut didatangkan waranti perbatuan tanpa had selama lima tahun dan Program Servis Berjadual secara percuma BMW Malaysia.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *