Peugeot 508 baharu dilancarkan – 3 varian dengan harga jangkaan bermula RM175k

By  |  0 Comments

Peugeot-508-launch-IK

Mengotakan janjinya untuk memperkenalkan model baharu, Peugeot 508, pagi ini bertempat di bilik pameran Peugeot Glenmarie, ia telah pun selamat dilancarkan.

Membawakan DNA baharu termasuk segi penggayaan, ciri-ciri yang lebih moden dan prestasi yang lebih dinamik, Peugeot 508 baharu ini dilancarkan dengan tiga varian iaitu 508 THP, 508 SW THP dan 508 GT.

Pug508_SW_THP_27

“Buat setakat ini, 508 telah menjana 16% keseluruhan jualan bagi tahun ini, iaitu kedua tertinggi selepas 208. Dengan kehadiran 508 baharu ini, ia dilihat mampu memberikan persaingan yang lebih kompetitif di dalam segmen-D. Ia tampil dengan penggayaan yang lebih canggih, teknologi lebih inovatif, kecekapan yang lebih ketara, keupayaan pemanduan yang lebih dinamik dan keselamatan yang dipertingkatkan,” ujar Dato’ Samson Anand George, CEO Nasim Sdn Bhd.

Memperkukuhkan lagi legasinya dengan gaya yang lebih kontemporari, reka bentuk luarannya lebih tersusun dengan lampu LED adaptif dengan bentuk baharu ditampilkan, malah gayanya turut menyerlah dengan kehadiran gril trapezoidal krom yang lebih nipis, disambungkan pada logo singa (sebelum ini ia terletak pada bahagian hujung bonet) dan corong udara juga berbentuk baharu. Ia disambungkan pada lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus LED turut menyerlahkan lagi gayanya.

Manakala bampar pada bahagian belakang turut direka semula dan bersaiz sedikit besar, umpama semangat baharu yang ingin ditonjolkan. Lampu LED dengan rekaan yang telah diperkemaskinikan dan paip ekzosnya juga kelihatan tersembunyi dek kehadiran bar krom yang turut menjadi bingkai pada reflektor.

Namun ia masih mengekalkan saiz rim iaitu 18-inci yang sebelum ini ada pada varian premium. Namun bagi varian GT, ia dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar 235/40 R19.

Menjengah bahagian kabinnya, tidak banyak perubahan besar yang ditampilkan. Jika model sebelum ini turut ditampilkan dengan kawalan umpama iDrive untuk paparan di bahagian tengah, namun kini ia telah digantikan dengan alat kawalan biasa.

Selain itu, ia turut ditampilkan dengan skrin paparan sesentuh bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi sebagai alat kawalan termasuk bagi audio. Ia turut berfungsi sebagai pemapar navigasi, sambungan telefon, konfigurasi kenderaan, multimedia, kamera undur, bantuan pemanduan dan sambungan digital termasuk Bluetooth, USB, pemain CD/MP3.

Pug508_SW_THP_33

Elemen standard yang turut dikekalkan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengilap cermin auto, tempat duduk balutan kulit upholstery, pelarasan automatik tempat duduk hadapan, empat-zon kawalan suhu automatik, bantuan parkir hadapan dan belakang, lapan pelarasan tempat duduk hadapan dengan sokongan bahagian belakang badan, sistem bunyi JLB dengan 10-pembesar suara dan tirai suria manual.

Bagi aspek keselamatan, ia tetap sama seperti model dahulu iaitu enam beg udara, ABD dengan EBD, bantuan brek (BA), EBD, kawalan kestabilan dinamik (DSC), bantuan mula mendaki, Sistem Informasi Titik Buta (BLISS) dan dua set ISOFIX. Peugeot 508 baharu ini turut menerima penarafan lima-bintang daripada EUCO NCAP.

Elemen tambahan buat varian SW THP, ia turut didatangkan dengan bumbung berkaca panoramik dengan sistem kawalan elektrik, pembuka elektronik bonet belakang dan one-touch rotary control.

Manakala varian GT pula didatangkan dengan balutan kulit upholstery Nappa dan fungsi memori dan mengurut untuk tempat duduk pemandu.

Bagi ruang kargonya, varian THP dan GT mampu memuatkan kapasiti sehingga 545 liter dan 1244 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan. Manakala varian SW pula dengan 660 liter dan mencecah 1365 liter apabila tempat duduk belakang dibaringkan.

Peugeot 508 THP dan SW THP dijanakan oleh enjin 1.6 liter THP pengecas turbo dengan Suntikan Terus Bahan Api empat-silinder sebaris DOHC VVT yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 163 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 240 Nm antara 1,400 hingga 4,250 rpm.

Jentera ini mampu dipacu dari 0-100km/j dalam hanya 9.2 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 220 km/j. Penggunaan bahan apinya tercatat pada 7.1 liter per 100 km.

Manakala varian 508 GT pula dipadankan oleh enjin 2.2 liter empat-silinder turbodiesel HDI. Enjin ini berkeupayaan menghasilkan kuasa sehingga 204 hp dan tork setinggi 450 Nm.

Ia boleh mencecah kelajuan maksimum sehingga 235 km/j dan dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.4 saat. Manakala penggunaan bahan apinya dengan anggaran 5.7 liter per 100 km.

Ketiga-tiga varian ini juga dilengkapi dengan kotak gear automotif enam-kelajuan yang turut menampilkan Tiptronic dan mod Sport.

Peugeot 508 ini didatangkan dengan lima pilihan warna yang menarik iaitu Pearl White, Bourrasque Blue, Pine Brown, Artense Grey dan Harla Grey.

Harga atas jalan yang dijangkakan ialah RM175,000 untuk varian THP, RM185,000 bagi SW THP dan GT pula ialah RM205,000.

Pembelian setiap model 508 baharu ini turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad dan juga Servis Bantuan 24-Jam Peugeot, akses percuma ke Peugeot Lounge di Lapangan Terbang Subang dan keahlian Peugeot Privilege.

Peugeot 508 THP

Peugeot 508 SW

Peugeot 508 GT

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *