Ops Warta bermula hari ini & tiada kompromi bagi pesalah trafik – PDRM

By  |  0 Comments

PDRM_2

Setelah memberikan masa untuk menyelesaikan saman tertunggak, pihak polis tidak akan berkompromi untuk menahan mana-mana pesalah trafik yang masih gagal untuk menjelaskan saman masing-masing apabila Ops Warta bermula hari ini.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata mereka yang ditahan akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan, memandangkan mereka telah diberi masa untuk menyelesaikan saman yang dikeluarkan, laporan Bernama.

Menurut Mohd Fuad, sehingga semalam hanya 35,339 daripada 1.59 juta saman berstatus waran tangkap yang dikeluarkan susulan kegagalan pengguna jalan raya membayar saman dan menghadiri perbicaraan di mahkamah, telah diselesaikan.

Bagi tempoh sama, sebanyak 232,312 pelbagai saman juga dijelaskan oleh pesalah trafik.

“Waran tangkap itu merupakan saman yang berbentuk fizikal seperti kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, tidak membawa lesen memandu, memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat merah.

“Selalunya saman begini, sudah ditetapkan tempoh pembayaran yang perlu diselesaikan oleh pesalah trafik, namun jika gagal membayar selepas tempoh itu, barulah tindakan mahkamah akan diambil,” katanya.

SpeedTrap2

Di mana hanya setelah pesalah trafik itu gagal hadir perbicaraan di mahkamah, waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka.

Walau bagaimana pun, pesalah trafik masih boleh menyelesaikan saman mereka selagi masih belum ditangkap meskipun Ops Warta telah bermula.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mengemaskini rekod pembayaran saman waran tangkap setiap hari bagi mengelakkan mereka menahan pesalah trafik yang telah melunaskan samannya sebelum sesuatu operasi oleh polis.

Bagi saman waran tangkap yang telah diselesaikan, saman itu akan dibawa ke mahkamah untuk ‘dimatikan’, katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fuad berkata tiada had tempoh ditetapkan bagi pelaksanaan Ops Warta kali ini dan menegaskan ia akan diteruskan sehingga polis ‘berpuas hati’ bahawa sejumlah 1.59 juta saman itu telah diselesaikan.

Angka 1.59 juta itu merupakan baki daripada 1.8 juta saman yang diumumkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Ops Selamat 5 yang dilancarkan semasa Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *