PLUS beri rebat sehingga 30% kepada semua pengguna kenderaan kelas 1 sempena CNY

By  |  0 Comments

TOL PLUS

Plus Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak 1.5 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada setiap Hari Puncak sepanjang cuti musim Tahun Baharu Cina (CNY) ini.

Sehubungan dengan itu, PLUS telah mengatur pelbagai strategi untuk menghadapi pertambahan trafik tersebut dan secara tidak langsung, membantu orang menikmati perjalanan yang selesa pada musim perayaan yang akan datang.

Untuk mengagihkan trafik, PLUS telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu orang ramai merancang perjalanan mereka. Jadual yang meliputi perjalanan orang ramai pada Hari-Hari Puncak iaitu pada 17, 18, 21 dan 22 Februari tersebut menggariskan waktu-waktu cadangan untuk orang ramai ke destinasi-destinasi tertentu untuk memasuki lebuh raya.

“Pada kali ini, PLUS akan turut memberikan rebat tol sebanyak 20 peratus kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang mematuhi TTA untuk perjalanan jarak jauh (melebihi 100 kilometer) pada Hari-Hari Puncak serta membayar tol secara elektronik (menerusi kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG),” jelas Noorizah.

Selain itu, bagi menggalakkan orang ramai bergerak untuk perjalanan jauh pada Hari-Hari Bukan Puncak, PLUS akan turut memberikan rebat sebanyak 30 peratus kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik bagi perjalanan melebihi 100 kilometer pada Hari Bukan Puncak iaitu pada 16 dan 23 Februari.

Klang_Valley_BI_Rebate

“Kami juga membuka laluan Lorong Keempat di lokasi-lokasi kritikal iaitu di laluan Shah Alam-Jalan Duta-Restoran Jejantas Sungai Buloh serta laluan Nilai Utara-Seremban untuk melancarkan lagi pergerakan orang ramai di kawasan terbabit,” tambah Noorizah.

Bagi meningkatkan keselesaan orang ramai pada musim perayaan yang akan datang, PLUS akan turut menempatkan kira-kira 3,000 kakitangannya di plaza-plaza tol. Pada masa yang sama, PLUS akan membuka kira-kira 1,200 kaunter tol di lebuh raya.

“PLUS juga menyediakan lorong mendaki tambahan di laluan Slim River-Sungkai di samping telah menyiapkan kerja-kerja menaiktaraf Persimpangan Bertingkat Kuala Kangsar. PLUS turut menyediakan lampu-lampu jalan yang baru di laluan Simpang Pulai-Gua Tempurung dan Kuala Kangsar-Terowong Menora,” jelas Noorizah.

Bagi meningkatkan keselesaan di kawasan-kawasan rehat, PLUS turut membuka kawasan meletak kenderaan tambahan di 21 kawasan rehat dan hentian sebelah terpilih, kemudahan tandas bergerak di 20 lokasi terpilih dan lain-lain lagi.

“Di samping itu, kami akan turut menempatkan 1,500 kakitangan penyelenggaraan di kawasan-kawasan rehat, menambah jumlah pasukan dan rondaan PLUSRonda, pasukan bengkel bergerak ‘Workshop on Wheels’ (WOW) serta bekerjasama dengan agensi-agensi kecemasan untuk perkhidmatan bantuan kecemasan,” kata Noorizah.

Menurut Noorizah, PLUS juga memberi fokus terhadap aspek-aspek pengurusan trafik di lebuh raya.

ASXdrive21

“Justeru itu, semua kerja-kerja pembinaan (kecuali kerja-kerja kecemasan) di lebuh raya akan dihentikan di antara 13 hingga 22 Februari bagi membolehkan orang ramai menikmati perjalanan yang lebih lancar. Pada masa yang sama, Kementerian Pengangkutan juga telah mengeluarkan arahan supaya kenderaan berat tidak memasuki lebuh raya pada 17, 18, 22 dan 23 Februari ini,” tambah beliau.

Selain itu, PLUS juga akan turut mendapatkan perkhidmatan pasukan Rela untuk menguruskan trafik di kawasan-kawasan rehat.

Noorizah berkata, “PLUS akan membuka laluan kontra di beberapa laluan yang kritikal untuk menguruskan trafik di laluan-laluan tersebut. Walau bagaimanapun, pengaktifan laluan kontra tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak Polis.”

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, perkhidmatan Twitter PLUSTrafik, PLUS Mobile Apps, hebahan stesen-stesen radio utama negara serta papantanda elektronik di lokasi-lokasi strategik di sepanjang lebuh raya.

Sumber : Laman web rasmi PLUS

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *