GALERI : Perodua Myvi 2015 VS Proton Iriz – Mana satu yang menjadi pilihan anda?

By  |  0 Comments

2015_Perodua_Myvi_facelift_vs_Proton_Iriz_ 002

Sebelum ini, InfoKereta.com pernah memberikan perbandingan antara Proton Iriz dan Perodua Myvi model terdahulu untuk tatapan anda.

Bukan sengaja membanding-bandingkan kedua-dua model ini, tetapi sekadar memberikan variasi pilihan buat anda yang mungkin tercari-cari kenderaan baharu untuk dimiliki. Nah! Kali ini, InfoKereta.com ingin memberikan pilihan terbaharu buat anda, iaitu masih Proton Iriz 1.6 Premium 2014 dengan Perodua Myvi 1.5 Advance 2015 yang baru dilancarkan pada Khamis lalu.

Perodua Myvi 2015 ini menawarkan enam varian yang berharga atas jalan (termasuk insurans) antara RM41,500 dan RM58,500, manakala warna metalik ada pertambahan RM400. Di mana ia satu dan empat peratus lebih murah berbanding model sebelumnya.

Bagi lapan varian Proton Iriz pula, ia berharga antara RM42,438 dan RM62,438, serta ekstra RM450 bagi warna metalik.

Kedua-duanya turut menawarkan waranti selama lima tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

2015_Perodua_Myvi_facelift_vs_Proton_Iriz_ 008

Sama seperti Iriz, Myvi juga memiliki dua variasi enjin 1.3 dan dua lagi enjin 1.5. Manakala Iriz memilih untuk menampilkan variasi enjin yang lebih besar iaitu 1.6 (enjin 1.5 ternyata bukan pilihan Proton untuk ‘anak bongsu’ mereka ini).

Malah Iriz turut menampilkan pilihan transmisi manual atau CVT untuk setiap variannya. Tetapi bagi Myvi, varian 1.3 Premium X dan 1.5 Advance hanya memiliki transmisi auto sahaja.

Itu bagi sudut mekanikal, bagaimana pula dengan imej luaran dan dalaman yang ditonjolkan?

Melihat imej yang dipersembahkan oleh Myvi, ternyata ia membawakan perubahan yang agak besar terutamanya dengan padanan gril yang lebih sporty, malah ia adalah standard untuk varian SE dan Advance.

Tapi penampilan lampu LED baharu yang ditampilkan pada model SE dan Advance bagi Myvi tidak mampu menandingi lampu pencahayaan siang LED yang ternyata lebih menyerlah pada Iriz.

2015_Perodua_Myvi_facelift_vs_Proton_Iriz_ 005

Walau bagaimana pun, Myvi muncul dengan satu bonus tambahan apabila menampilkan pengesan parkir sudut hadapan untuk semua variannya (kecuali Standard G) dan Myvi Advance memiliki kelebihan dengan adanya kamera undur yang turut ditampilkan pada Iriz Executive dan Premium.

Selain itu, Myvi turut menampilkan elemen yang lebih praktikal termasuklah pemegang tisu pada bahagian belakang tempat duduk penumpang hadapan, penyangkut anti-kecurian, pemegang cawan boleh laras dan juga ruang penyimpanan barang pada bahagian panel sisi pemandu.

Bagi Iriz pula, kesemua variannya (kecuali 1.3 Standard) menampilkan tiga USB port (dua daripadanya sebagai pengecas) dan bagi 1.6 Premium pula mempunyai elemen tambahan iaitu kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

Berkenaan dengan aspek keselamatan pula, dengan penambah baikan struktur kenderaan, Myvi baharu telah menerima penarafan empat-bintang daripada ASEAN NCAP, termasuklah dengan adanya dua beg udara tetapi masih tiada kawalan kestabilan. Bahkan varian Standard G juga tidak dilengkapi dengan ABS.

Manakala Iriz pula telah menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP, ditampilkan dengan kawalan kestabilan dan bantuan mula mendaki. Malah varian 1.6 Premium juga menampilkan enam beg udara dan peringatan pemasangan tali pinggang keselamatan untuk semua tempat duduk.

Untuk melihat gambaran yang lebih jelas mengenai Perodua Myvi 2015 dan Proton Iriz 2014 ini, jom lihat satu persatu foto pada galeri di bawah.

Perodua Myvi 1.5 Advance 2015

Proton Iriz 1.6 Premium 2014

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *