Nissan panggil semula Serena, X-Trail & Juke ekoran masalah sistem bahan api

By  |  0 Comments

Nissan Serena

Nissan telah bertindak memanggil semula (recalled) sebanyak 247,266 unit Serena termasuk model S-Hybrid, X-Trail dan Juke di Jepun ekoran terdapat masalah pada sistem penghantaran bahan api.

Isu pertama melibatkan pengesan tekanan bahan api pada rel bahan api bagi enjin MR20DD 2.0 dan MR16DDT 1.6 liter turbo, yang mungkin tidak dipasang sempurna. Di mana pengesan berkenaan mungkin akan longgar apabila enjin bergetar, yang mungkin boleh menyebabkan ia mengalami kebocoran minyak pada bahagian pengesan tersebut.

Ia melibatkan 212,579 unit Serena dan Serena S-Hybrid buatan antara 15 November 2010 dan 21 Oktober 2014, 10,508 unit T32 X-Trail buatan antara 22 November 20113 dan 27 Februari 2014 dan juga 4,990 unit Juke 1.6 DIG-T buatan antara 28 November 2011 dan 17 Mac 2014.

Malah 41,940 unit model Serena C26 buatan antara 15 November 2010 dan 21 Oktober 2014 turut terlibat dengan program panggilan semula ini. Ia melibatkan masalah kerosakan pam minyak bertekanan tinggi. Di mana disebabkan kerosakan tersebut, kelembapan di dalam paip bahan api itu boleh membeku ketika berada di kawasan iklim sejuk, yang memungkinkan penapis bahan api akan tersumbat dengan ais.

Dalam situasi ini, jumlah bahan api yang disuntik akan berkurangan dan membuatkan putaran enjin menjadi tidak stabil yang boleh memudaratkan enjin ketika pemanduan.

Pusat servis Nissan di Jepun akan mengatasi masalah ini dan menukar komponen terbabit bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini, sekali gus membolehkan kenderaan digunakan dengan lebih selamat.

Menurut sumber dari Edaran Tan Chong Motor (ETCM) pula telah mengesahkan model Serena S-Hybrid yang dijual di Malaysia turut terlibat dengan masalah ini. Namun sehingga kini InfoKereta.com masih menantikan kenyataan rasmi daripada ETCM sendiri berhubung dengan masalah ini dan akan dilaporkan serta-merta apabila mendapat sebarang maklumat kelak.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *