Volkswagen Golf R Variant diperkenalkan di LA Auto Show

By  |  0 Comments

VW Golf R Varian_3

Mengambil tempat di pentas Los Angeles Auto Show yang sedang berlangsung, Volkswagen turut memperkenalkan model Golf R Variant yang secara asasnya merupakan versi estate bagi Golf R. Ini merupakan julung kalinya dalam sejarah Volkswagen yang bakal memproduksikan model station wagon bagi Golf.

Melihat visual Golf R Variant ini, ia kelihatan agak berbeza dengan model wagon Golf. Pada bahagian belakangnya, kelihatan bampar R rekaan baharu dengan peresap berwarna hitam berkilat, ekzos krom, plat nombor bercahaya dan lampu belakang LED.

VW Golf R Varian_2

Manakala bagi bahagian hadapannya juga ditampilkan dengan bampar R rekaan baharu dengan corong udara yang besar, gril radiator yang memiliki gaya tersendiri dengan logo R serta lampu utama Bi-Xenon yang disambungkan dengan lampu pencahayaan siang.

Pada bahagian kabinnya, Golf R Variant ini dilengkapi dengan tempat duduk sport balutan campuran fabrik dan Alcantara bersama jahitan berwarna kelabu kristal serta sistem infotainmen dengan paparan pada konsol tengah. Sebagai pilihan, Volkswagen turut menawarkan pakej tempat duduk balutan kulit Nappa Carbon, termasuklah kombinasi kulit untuk beberapa permukaan di dalam bahagian kabin.

VW Golf R Varian_7

Golf R Variant ini dijanakan oleh enjin 2.0 TSI unit petrol yang berkeupayaan menghamburkan kuasa sehingga 300 PS dan tork 380 Nm. Ia juga dipadankan dengan transmisi klac-berkembar enam-kelajuan yang bergabung dengan sistem pacuan semua-roda 4Motion. Gabungan enjin dan transmisi ini membolehkan ia dipacu daripada 0-100 km/j dalam hanya 5.1 saat sahaja. Manakala kelajuan maksimum yang boleh dicatatkan ialah 250 km/j.

Jentera ini juga dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api yang efisien dengan 7.0 liter untuk setiap 100 km mengikut New European Driving Cycle (NEDC) serte emisi CO2 hanya 163 g/km.

Golf R Variant juga dilengkapi dengan elemen mekanikal standard seperti model Golf R, termasuklah sistem kawalan kestabilan ESC Sport dan Pemilihan Profil Pemanduan yang didatangkan dengan mod Eco, Normal, Individual dan Race.

Model ini dijangka mula dipasarkan di Eropah pada musim bunga tahun 2015, dengan penghantaran pertamanya pada musim panas tahun yang sama.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *