Mitsubishi ASX Designer Edition terima sentuhan pereka terkenal Rizalman

By  |  0 Comments

DSC_8964

Lewat petang ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), telah memperkenalkan Mitsubishi ASX Designer Edition yang hanya hadir dengan 180 unit sahaja.

Mitsubishi ASX Designer Edition ini dihasilkan bagi memenuhi permintaan individu yang mahukan sesuatu yang eksklusif. Memilih untuk bekerjasama dengan pereka terkenal, Rizalman Ibrahim, Mitsubishi ASX Designer Edition tampil dengan gaya yang penuh elegan dan tersendiri.

Hanya bagi varian 4WD dan berwarna Titatnium Grey, Mitsubishi ASX Designer Edition ini juga dipadankan dengan rim aloi bersaiz 17 inci bagi menampakkan ciri-ciri yang penuh agresif. Di samping itu, imej sporty lebih terserlah menerusi jaluran berwarna matte grey pada kerangkanya daripada bahagian bonet sehingga ke pintu belakang. Malah ia turut menonjolkan lagi sisi penuh bergaya bagi ASX ini.

Selain itu, antena dari jenis bee-sting telah digantikan dengan antena sirip jerung untuk menampilkan imej yang lebih kemas, lebih banyak garisan aerodinamik pada bahagian bumbung, penampilan spoiler belakang yang lebih besar yang disambung pada lampu brek ketiga, serta kekemasa krom gelap pada bahagian ekzos.

Bagi rekaan dalaman pula, sedikit makeover telah dilakukan dengan menampilkan warna kombinasi baharu bagi tempat duduk balutan kulit. Warna kuning dan kelabu menjadi pilihan bagi memberikan sentuhan tersendiri buat ASX ini. Manakala bayangan berwarna kuning turut menambahkan lagi elemen kontras yang mampu memberikan keceriaan pada ruang dalaman.

Bukan itu sahaja, Mitsubishi ASX Designer Edition ini juga menampilkan tombol gear balutan kulit berwarna kelabu dan kuning secara eksklusif. Ia sangat secocok dengan penampilan warna yang sama bagi tempat duduk balutan kulit tersebut.

Mitsubishi ASX Designer Edition juga menampilkan ciri-ciri yang lebih ekslusif dengan penggunaan material kulit pada panel pintu dan perehat tangan bersama kekemasan kilauan pada panel pintu dan perehat tangan. Karpet lantai juga ada tertera logo Designer Edition.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tetsuya Osa, “Model kompak SUV ASX ini telah banyak menambat hati rakyat Malaysia sejak ia dilancarkan pada Februari tahun ini. Maka, kami ingin menawarkan sesuatu yang lebih istimewa dan unik untuk para pelanngan kami. Justeru, pemilihan untuk bekerjasama dengan pereka fesyen terkemuka Malaysia, Rizalman Ibrahim, bagi mencipta imej yang unik bagi edisi terhad ASX ini dilihat bertepatan. Ia menampilkan sentuhan yang lebih estetik dan dan eksklusif.”

“Saya merasakan untuk menghasilkan sebuah SUV yang bergaya perlu dengan saiz yang tepat. Warna pembayang kelabu yang digunakan bagi model edisi terhad ini mewakili kekuatan dan kemantapan ASX. Malah ia juga sangat sesuai untuk apa jua jenis jalan termasuk off-road. Kami memperkenalkan warna kuning sebagai elemen yang kontras dan menceriakan, terutamanya pada bahagian dalaman,” ujar Rizalman Ibrahim yang berpengalaman sebagai pereka fesyen sejak tahun 1994.

DSC_8970

Model ASX Designer Edition ini dijuan pada harga RM131,801.50 (harga atas jalan tanpa insurans). Elemen standard yang ada pada varian ini termasuklah bumbung panoramik dengan pencahayaan LED, pedal penukar gear, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin serta lapisan cermin keselamatan. Bagi Designer Edition, terdapat pertambahan elemen seperti unit Navigasi Multimedia dengan skrin paparan sesentuh bersaiz lapan inci.

ASX merupakan kenderaan pertama Mitsubishi yang dipasang secara CKD di Malaysia. Ia dijanakan oleh enjin MIVEC 2.0 liter dengan kuasa maksimum 150 PS dan tork 197 NM. Selain varian 4WD, ASX turut mempunyai pilihan model 2WD dengan enjin yang sama.

Aspek keselamatan yang ditampilkan termasuklah tiga beg udara, ABS dan EBD. Manakala sistem keselamatan tambahan buat varian 4WD ialah Sistem Kawalan Semua Roda Mitsubishi, Kawalan Cengkaman, Kawalan Kestabilan Aktif (ASC) dan Hill Start Assist (HSA).

Untuk ASX 4WD, ia berharga RM128,879.50, manakala varian 2WD pula RM114,743.50 (kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans). Ia tampil dengan pilihan warna seperti Black Mica, Titanium Grey, Cool Silver dan Solid White. Pembelian ASX turut didatangkan dengan waranti lima tahun tanpa perbatuan terhad dan dua tahun penyelenggaraan percuma.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *