Proton & Honda masih bincang teroka peluang kerjasama

By  |  0 Comments

TokPa

Laporan BERNAMA menyiarkan, PROTON Holdings Bhd (Proton Holdings) dan Honda Motor Co, Ltd (Honda Motor) kini mengadakan beberapa siri perbincangan bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang peningkatan teknologi, pengenalan barisan produk baharu, perkongsian platform dan kemudahan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerjasama itu turut menandakan potensi kerjasama strategik jangka panjang, yang melibatkan lebih ramai jurutera Proton dan pembekal automatif tempatan serta merangkumi kerjasama teknikal yang lebih menyeluruh, bermatlamatkan kepuasan pelanggan.

“Selaras dengan hasrat Proton untuk menghasilkan model-model baharu yang berkualiti tinggi dan berteknologi terkini, siri perbincangan itu antara lain akan menyentuh program perkongsian model, yang merupakan kaedah yang dilaksanakan dalam industri automatif pada masa ini.

“Kaedah pembangunan model baharu ini dijangka dapat membantu Proton untuk menjimatkan pelaburan dan tempoh pembangunnya bagi sesebuah model baharu,” katanya ketika menjawab soalan Dr Che Rosli Che Mat (BN-Hulu Langat).

Che Rosli bertanyakan sama ada Proton akan bekerjasama dengan Honda sebagai rakan kongsi dalam mengeluarkan kereta model baharu memandangkan Proton Perdana merupakan 100 peratus Honda Accord.

Mustapa berkata Proton telah memulakan pengeluaran model Proton Perdana pada Januari 1995 dan menghentikannya pada 2010, antara lain disebabkan penggunaan teknologi lama yang sudah melebihi 30 tahun, tidak memenuhi ciri-ciri keselamatan terkini, dan kesukaran untuk mendapatkan bekalan alat ganti kerana Jepun telah lama menghentikan pengeluaran model ini.

proton-perdana-accord-2

“Untuk memenuhi pasaran segmen D, Proton kini memperkenal model Proton Perdana baharu. Bagi fasa pertama (Disember 2013-2015), model Perdana ini diperkenalkan untuk kegunaan Kerajaan sahaja,” katanya.

Bagi pasaran awam pula, Mustapa berkata model Perdana akan diperkenal pada 2016.

Beliau berkata perjanjian kerjasama antara Proton dan Honda dimeterai pada 29 Okt 2012, disusuli Perjanjian Khusus berkaitan model gantian Proton Perdana.

“Berdasarkan perjanjian ini, aktiviti-aktiviti pembangunan Proton Perdana baharu adalah berasaskan model Honda Accord,” katanya.

Sehingga kini, Proton telah mengeluarkan 1,000 unit Proton Perdana bagi varian 2000cc dan 700 unit bagi varian 2400 cc. Varian 2400cc adalah untuk kegunaan Menteri, Kerajaan tempatan dan pegawai JUSA A ke atas.

Menjawab soalan tambahan Che Rosli sama ada Proton boleh mengekalkan harga rendah dan berpatutan, Mustapa berkata kerajaan tidak campur tangan dalam urusan harga memandangkan Proton merupakan syarikat automatif swasta yang dimiliki oleh DRB-HICOM.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian akan sentiasa memantau walaupun Proton mempunyai hak mutlak untuk menentukan harga pasaran.

Kepada soalan tambahan Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan), Mustapa berkata Malaysia mempunyai jenama kereta buatan sendiri iaitu Proton Iriz, dengan enjin dicipta sendiri oleh rakyat Malaysia.

“Proton mengambil pendekatan bekerjasama dengan Honda kerana ini merupakan kaedah perniagaan yang murah. Sekiranya Proton ingin mereka bentuk atau membangun kereta sendiri mulai peringkat awal hingga akhir, ia akan melibatkan tidak kurang US$500 juta hingga US$2 bilion.

“Ini akan mengambil masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi. Jadi, adalah lebih murah untuk mengadaptasi teknologi dan kemudahan syarikat automatif antarabangsa seperti Honda,” kata Mustapa.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *