Volkswagen Golf GTI ibarat ledakan balistik

By  |  0 Comments

VW Golf GTI

Paling laju. Paling berkuasa. Paling menjimatkan bahan api. Itulah kenyataan dari Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia (VGM) sendiri iaitu Dr. Zeno Kerschbaumer mengenai keistimewaan yang ditampilkan oleh Volkswagen (VW) Golf GTI generasi ketujuh ini. Dilancarkan pada pertengahan Ogos 2013, Golf GTI ini turut dikatakan mampu membuka lembaran baharu di dalam industri automotif bagi segmen jentera hot hatch. Di mana ia dikatakan telah membawakan ikon dalam kehidupan sejak ia diperkenalkan.

Mengikut track record, sejak pembikinan Golf GTI yang pertama pada tahun 1976 telah melakar sejarah yang tersendiri kerana ia merupakan hot hatch yang memiliki karakteristik luar biasa dan tampil berbeza berbanding pesaingnya. Malah, disebabkan warisannya yang agak kuat inilah mendorong model generasi ketujuh ini meneruskan legasi kegemilangannya di peringkat global. Sejauh manakah ketepatan dakwaan itu? Pandu uji ini akan menyingkap apa yang syok sangat mengenai jentera hot hatch ini.

Pertama, mesti ingin tahu kecekapan prestasi yang berjaya dilampiaskan oleh hot hatch ni bukan? Enjin TSI 2.0 liter pengecas turbo empat silinder dengan teknologi BlueMotion membolehkan ia mampu menghasilkan ledakan maksima yang sangat menguja. Maka terhasillah kuasa puncak 162kW pada 4500 hingga 6,200rpm dengan tujahan tork 350Nm (lebih 70Nm berbanding model terdahulu) pada 1,500 ke 4,400rpm.

VW Golf GTI

Adakah ia tidak mencukupi? Oh! Sangat mencukupi untuk jentera prestasi ini. Malah jentera cilik ini juga mampu memecut sehingga 244 kilometer sejam (km/j) dengan catatan masa 6.5 saat daripada sifar ke 100km/j. Itu yang tertulis di dalam lebaran spesifikasi teknikalnya. Lantas membuatkan kaki ini ‘gatal’ menekan lebih pedal pendikit bagi memerah lonjakan kuasa semaksimum yang mungkin. Hampir-hampir mencapai matlamat cuma corak keadaan jalan yang kurang mengizinkan, maka kelajuan terpaksa dihadkan demi faktor keselamatan.

Enjin berkuasa pasti kurang ‘hensem’ kalau tidak diregukan dengan kotak gear yang sepadan. Seperti mana model VW yang lain, jentera ini turut dipadankan dengan kotak gear DSG enam kelajuan, namun mempunyai pilihan gear manual yang kenikmatan pemanduannya lebih umpph berbanding automatik.

Golf GTI ini turut dilengkapi dengan empat mod pemanduan iaitu Comfort, Normal, Sport dan Eco, di mana setiap satunya memiliki ‘rasa’ yang sedikit berbeza. Penulis tidak melepaskan peluang mencuba kesemua mod tersebut dan ternyata ia sangat memberikan kepuasan mengikut corak pemanduan dan juga keadaan jalan.

Namun ketika mencuba mod Sport, terasa seperti mengendalikan sebuah jentera lumba. Terasa lonjakan kuasanya meledakkan lagi adrenalin penulis, serta-merta kaki menekan lebih pedal pendikit untuk mendapatkan kelajuan yang diingini. Setiap kali menggunakan mod ini, penulis memilih untuk memacunya bersama gear manual. Paling bikin teruja apabila gear ditukar, bunyi seakan-akan letupan tercetus daripada peredam ekzos berkembar. Walau pun ketika menggunakan mod Sport ini, sistem suspensi dan stereng terasa sedikit keras serta berat, namun kepuasan tetap bersarang di hati kerana ternyata ia memberikan pengendalian yang lebih menyeronokkan.

Jika ingin memandu secara relaks, pilih saja mod Comfort, Normal mahu pun Eco. Terutamanya jika memandu di celah kesesakan lalu lintas, tidak perlu stres untuk mendapatkan rentak pemanduan yang bersesuaian kerana mod sebegini mampu membantu.

Walau pun ia boleh diangkat sebagai sebuah jentera prestasi, namun penggunaan bahan apinya memang efisien. Di mana ia juga telah dipertingkatkan penjimatan bahan apinya sebanyak 14 peratus dengan hanya penggunaan 6.49 liter bagi setiap 100 km.

Golf GTI ini juga tampil dengan sistem enjin start/stop di mana apabila jentera berhenti di persimpangan lampu isyarat atau tersekat di kesesakan lalu lintas, enjin akan melahu (idling) seketika tanpa mengganggu fungsi penghawa dingin dan sistem audio. Ia turut membantu penjimatan bahan api sekali gus mengurangkan pelepasan emisi CO2. Apabila kaki menekan sedikit pedal pendikit, enjin kembali dihidupkan. Namun bagi Golf GTI ini, kesan sentakan ketika enjin kembali berfungsi sangat minima, membuatkan kadangkala tidak sedar ia sedang melahu ketika berhenti. Itu antara kelebihannya.

Tidak hanya melenjannya di lebuh raya dan kawasan bandar, mengujinya di jalan berliku serta berbukit juga memberikan kepuasan tanpa batasan. Mengikut VGM, Golf GTI ini diproduksi atas platform Modular Transverse Matrix (MQB) di mana ia telah kehilangan berat sebanyak 42kg berbanding generasi terdahulu. Malah MQB turut membantu daripada segi penjimatan bahan api. Walau pun berkerangka kecil dan ringan, ia tidak mengenepikan soal ketegaran dan kekukuhan jentera ini, tetap kekal stabil biarpun dipacu laju.

Tambahan pula adanya teknologi terbaharu seperti Advanced Electronic Differential Lock XDS+, pengendalian menjadi bertambah baik. Di mana kuasa tork diagih pada tayar bagi memberikan cengkaman yang lebih optimum ketika melalui selekoh. Tidak perlu bercerita mengenai sistem suspensi dan brek yang digunakan kerana ia memang terbaik.

Daripada rekaan luaran, Golf GTI ini tidak banyak bezanya dengan Golf TSI generasi ketujuh. Ia masih mengekalkan sentuhan konvensional seperti mana generasi terdahulu tetapi diberi penambah baikan agar imejnya kelihatan lebih segar. Bampar depan dan belakang tampil sedikit lebar. Lampu utama Bi-Xenon yang turut ditampilkan dengan lampu pencahayaan siang (DRL) LED pula kelihatan agak garang dengan gril bampar hadapan yang lebih macho. Spoiler GTI yang dipasang di bahagian belakang dan padanan rim aloi bersaiz 18 inci dengan rekaan Austin turut menyerlahkan lagi imej sporty jentera ini.

VW Golf GTI

Memasuki ruang kabinnya, imej sporty memang merajai segenap ruang. Cukup tertarik dengan kekemasan yang dibentangkan pada papan pemuka dan konsol tengah, bukan sahaja berlatarkan dekorasi ‘Checkered Black’, malah susun atur segala jenis butang kawalan juga terletak elok. Meter kluster juga menyerlahkan lagi paras rupa jentera ini, dengan paparan warna eksklusif termasuklah dihiasi rekaan grafik yang unik. Stereng separa bulat dengan beberapa butang kawalan serta pedal penukar gear juga tampak unik, apatah lagi ia dibaluti dengan material kulit berkualiti tinggi dan sangat selesa digenggam.

VW Golf GTI

Bukan itu sahaja, tempat duduk juga turut dibaluti material fabrik “Clark” dengan jahitan tepi benang merah. Malah kerusi bucket sangat selesa seperti ‘memeluk’ badan pemandu, membuatkan perjalanan yang jauh seakan tidak terasa. Jika tidak mahu kerusi material kulit berwarna hitam ini, VGM turut menawarkan varian lain iaitu kerusi yang dibaluti material kain bercorak ‘Tartan’ seperti mana rekaan klasik yang diterapkan pada model Polo dan Golf terdahulu.

Bagi menambahkan lagi imej sporty, Golf GTI ini turut dihiasi jaluran cahaya berwarna merah yang melintangi bahagian pintu dan juga pada pemegang pintu yang diperbuat daripada keluli tahan karat. Bagi tujuan hiburan pula, Golf GTI turut dilengkapi dengan skrin radio sentuh berwarna ‘Composition Media’ bersaiz 5.8 inci yang mempunyai sambungan USB, AUX-In, Bluetooth dan slot kad SD bersama lapan pembesar suara.

Bagi mengurangkan efek silau terutamanya ketika memandu pada waktu malam, cermin pandang belakang jentera ini juga menampilkan anti-silau. Ia sangat penting kepada pemandu bagi mengelakkan pandangan menjadi silau dek pancaran lampu kenderaan di belakang. Itu antara salah satu elemen keselamatan yang turut diterapkan, selain daripada ABS, ESC, ISOFIX, Hill Hold Control dan beg udara.

Secara konklusi, ternyata Golf GTI merupakan jentera hot hatch terbaik di dalam kelasnya. Ia bukan sahaja seronok dilenjan di jalan raya, malah sudah tentu mampu memberikan persembahan terbaik di litar lumba. Dengan harga atas jalan RM217,888, pastinya ia sangat berbaloi dengan prestasi yang penuh dinamik yang diterjemahkan oleh Golf GTI ini.

VW Golf GTI

Selain daripada itu, pakej Tech Pack bernilai lebih RM10,000 turut ditawarkan dengan elemen tambahan seperti kerusi daripada material kulit “Vieanna” dengan 12 pelarasan elektronik bagi tempat duduk pemandu dan sistem Kawalan Dinamik Casis (DCC) dengan Pemilihan Profil Pemanduan. Malah pemilik juga boleh melaburkan lagi RM3,000 jika ingin memadankan rim sport ‘Santiago’ bersaiz 19 inci dengan padanan tayar 225/35 R19.

Spesifikasi :
Enjin : TSI 2.0L pengecas turbo, pancitan terus bahan api, 4-silinder dengan teknologi BlueMotion
Transimisi : DSG 6-kelajuan
Kuasa maksimum : 162kW @ 4,500-6,200rpm
Tork maksimum : 350Nm @ 1,500-4,400rpm
Kapasiti tangki bahan api : 50 liter

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *