Proton harus cari jalan keluar daripada terus bergantung kepada kerajaan – Timbalan MITI

By  |  0 Comments

Proton Suprima S

Isu Proton kian hangat biar pun selepas Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengambil alih tampuk kepimpinan syarikat pengeluar kenderaan nasional itu sepenuhnya.

Semalam menerusi laporan yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia, Tun Mahathir telah bercerita tentang strategi dan misinya untuk mengubah haluan Proton. Satu daripada hasrat beliau adalah untuk memperbetulkan kesalahan-kesalahan yang lama ini berlaku dan juga untuk mengubah strategi dan polisi Proton.

Malah beliau juga berharap Proton dapat mengeluarkan kereta yang mempunyai kualiti hampir sama dengan kereta-kereta import lain dan kerana itu harganya akan meningkatlah.

Namun melalui artikel tersebut juga, Tun Mahathir menyuarakan kekesalannya terhadap isu penjualan Permit Kenderaan Import (AP). Di mana ada pihak yang mendapat AP ini telah menjualnya kepada individu lain untuk mendapat keuntungan yang lebih mudah dan besar.

Bukan itu sahaja, Tun Mahathir turut menyangkal dakwaan yang Proton menggunakan duit rakyat untuk terus bernafas. Tetapi mengakui Proton mendapat pengecualian cukai dan duti eksais kerana membuat kenderaan ini dalam negara. Malahan syarikat lain pun dapat kemudahan sama dan bukan Proton sahaja.

Hari ini BERNAMA telah memetik kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang berpendapat pasaran kereta Proton hanya akan berlegar dalam pasaran tempatan jika syarikat itu terus bergantung kepada perlindungan kerajaan untuk meneruskan operasinya

Beliau berpendapat, Proton perlu mencari jalan untuk menembusi pasaran antarabangsa setanding dengan syarikat pengeluar kereta Korea Selatan dan Jepun.

Pada masa sama, rakyat Malaysia perlu mencontohi semangat jati diri dan disiplin masyarakat negara terbabit yang sentiasa menyokong industri kereta mereka.

Ir. Hamim juga berpendapat, rakyat kedua-dua buah negara tidak seperti sebahagian daripada rakyat negara kita yang merendah-rendahkan mutu kereta nasional kita, termasuk membesar-besarkan isu kelemahan kecil pada bahagian cermin pintu.

Katanya lagi, perbelanjaan untuk menghasilkan kereta prototaip yang dilengkapi peralatan robotik dan perisian canggih menelan RM1.5 juta sebelum kereta sebenar dikeluarkan. Itu tidak termasuk kos pembinaan kilang pengeluaran kereta yang memerlukan modal lebih RM100 juta.

Nampak gayanya kenyataan yang disuarakan oleh Timbalan Menteri MITI ini boleh dianggap sebagai salah satu cabaran buat Proton untuk terus mencari dan melaksanakan strategi agar jenama ini tidak berterusan dihentam, bukan setakat oleh sebahagian rakyat Malaysia tetapi juga pandangan mata dunia.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *