Galeri : Nissan Sylphy 2014 tampil dengan suntikan drastik

By  |  0 Comments

Nissan_Sylphy_baru_vs_lama_003

26 April ini, Edaran Tan Chong Motors (ETCM) bakal melancarkan model serba baharu bagi Nissan Sylphy. Dengan pelbagai pembaharuan dan suntikan yang lebih segar, Sylphy ini bakal dilihat sebagai penanda aras bagi model generasi baharu keluaran Nissan.

InfoKereta telah pun diberi peluang secara eksklusif oleh ETCM untuk memandu uji model ini dua minggu yang lalu. Dan artikel mengenainya telah pun disiarkan pada Jumaat lepas (sila rujuk di sini).

Selain memilik prestasi dan pengendalian yang agak berbeza berbanding dengan model Sylphy 2012, pastinya anda tertanya-tanya apakah kelainan yang cuba ditonjolkan oleh Nissan bagi model 2014 ini.

Nah! Sekali lagi eksklusif dari InfoKereta… galeri Nissan Sylphy 2014 VS Sylphy 2012.

Nissan_Sylphy_baru_vs_lama_005

Sila perhatikan bahagian hadapan Sylphy serba baharu, ia dilengkapi dengan jeriji tiga dimensi yang dipadankan dengan lampu hadapan halogen yang tahap suluhannya boleh dikawal secara manual bagi varian 1.8E. Manakala bagi varian 1.8XL pula, ia tampil dengan lampu utama projektor bi-xenon kawalan suluhan automatik. Malah varian ini juga dipadankan dengan LED Accent Lights serta lampu kabus hadapan.

Manakala bagi model terdahulu, jeriji krom dengan lampu utama projektor bi-xenon bersama Active Front-Lighting System (AFS) menjadi pilihan. Sistem lampu ini boleh dikawal secara manual dengan menawarkan suluhan jauh dan kecerahan yang lebih optimum.

Nissan_Sylphy_baru_vs_lama_015

Pada bahagian belakang Sylphy 2014, penampilan lampu belakang LED berbentuk tapak kuda menjadi daya tarikan yang membuatkan model ini kelihatan lebih garang.

Cermin sisi bagi Sylphy 2012 boleh dilipat dengan hanya menekan satu butang bagi memudahkan lagi pemandu. Bagi model 1.8E baharu, cermin sisinya hanya boleh dilipat secara manual. Tetapi sistem berkuasa pula ditampilkan bagi model 1.8VL yang turut hadir dengan sambungan Intelligent Key (I-Key).

Sylphy 2.0 XV versi 2012 dipadankan dengan rim aloi tujuh jejari bersaiz 16 inci.

Bagi Sylphy 1.8E, ia juga menerima padanan rim aloi dengan saiz yang sama. Cuma untuk varian 1.8VL pula ditampilkan dengan rim aloi bersaiz 17 inci dengan gaya yang lebih sporty.

Bagaimana pula dengan penampilan kabin kedua-dua versi 2012 dan serba baharu ini?

Untuk Sylphy 2012, ruang dalamanya dilatari warna hitam yang dipadankan dengan kekemasan kayuan. Ia turut hadir dengan reka bentuk meter bulat berwarna perak. Malah pada papan pemukanya juga ditampilkan dengan skrin paparan Pelbagai-Fungsi (MID). Ia juga dipadankan dengan sistem audio dengan input MP3 dan Aux.

Tampil berbeza dengan model Sylphy 2014 ini di mana Nissan telah mengurangkan penggunaan plastik pada bahagian dalamannya. Malah paras rupa yang polos juga dielakkan bagi memberikan gaya yang lebih elegan. Sylphy serba baharu ini banyak menggunakan kekemasan yang lebih lembut dengan material berkualiti tinggi. Pada papan pemukanya juga dipadankan dengan meter kluster Fine Version dengan indikator mod ECO dan Drive Computer. Ia juga menampilkan skrin paparan Pelbagai-Fungsi (MID).

Roda stereng berkuasa juga ditampilkan dengan butang kawalan bagi MID, kawalan audio, kawalan kelajuan dan Bluetooth.

Sylphy 2014 turut menawarkan ruang kaki yang lebih luas iaitu 680mm dan menambahkan ruang bahu sehinga 30mm.

Sistem penghawa dingin dengan paparan suhu pula menjadi pilihan Sylphy 2012 yang mempunyai pelarasan automatik untuk mengekalkan suhu yang diingini di dalam kabin.

Bagi Sylphy serba baharu, sistem penghawa dingin zon berkembar memberikan keselesaan yang lebih jitu bagi kedua-dua varian. Malah untuk varian 1.8VL, corong penghawa dingin pada tempat duduk belakang juga ditampilkan.

Tempat duduk bagi Sylphy 2012 dibaluti dengan fabrik Masumi. Penggunaan fabrik masih dipraktikkan bagi model Sylphy 1.8E namun padanan tempat duduk balutan kulit menjadi pilihan bagi varian 1.8VL.

Ruang kargo bagi Sylphy 2014 ini berkeluasan 510 liter berbanding hanya 504 liter bagi model sebelum ini.

Berkenaan dengan bahagian mekanikalnya, Sylphy 2012 dijanakan oleh enjin aluminium sepenuhnya MR20DE 2.0 liter empat silinder DOHC 16 injap bersama teknologi Drive-by-Wire. Ia turut dibantu oleh sistem suntikan terus bahan api elektronik dan Continuously Variable Valve Timing Control (CVTC). Ia menawarkan kuasa 133 PS dan tork 191 Nm.

Malah turut dipadankan dengan transmisi Xtronic Continuosly Variable Transmission (X-CVT) generasi ketiga buatan Nissan yang membantu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien dan pecutan lebih berkuasa.

Namun bagi Sylphy 2014, kapasiti enjinnya dikurangkan tetapi menggunakan enjin baharu MRA8DE 1.8 liter DOHC dengan Twin CVTC 16 injap. Walau bagaimana pun, ia masih mampu menghamburkan kuasa yang memuaskan iaitu 131 PS pada 6,000 rpm dan tork 174 Nm pada 3,600 rpm.

Enjin ini turut dipadankan dengan kotak gear Xtronic CVT baharu yang turut membantu memberikan penjimatan bahan api yang efisien dengan kuasa pacuan yang lebih memuaskan.

Untuk aspek keselamatan pula, Sylphy 2012 dilengkapi dengan dua beg udara SRS di bahagian hadapan, tali pinggang keledar pra-regangan, ciri Active Head Restraints pada tempat duduk hadapan serta binaan kerangka Zone Body yang mempunyai zon remuk pada bahagian hadapan dan belakang.

Namun bagi Sylphy serba baharu ini pula, Nissan telah mempertingkatkan lagi aspek keselamatannya dengan menawarkan enam beg Udara SRS, sistem kawalan dinamik kenderaan (VDC), sistem kawalan cengkaman (Traction Control), ABS, EBD, BA, kamera undur (untuk varian 1.8VL sahaja) dan tali pinggang keledar tiga-poin dengan pra-regangan dan pengehad bebanan.

Jika Sylpyh 2012 dijual pada harga atas jalan RM114,910.60 bagi varian 2.0XL dan RM124, 910.60 untuk model 2.0XV. Bagi model serba baharu ini, ia dijangka berharga RM115,300 (varian 1.8E) dan RM125,500 (varian 1.8VL).


2014 B17 Nissan Sylphy

2012-2013 G11 Nissan Sylphy

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *