Mazda MX-5 Skyactiv baharu bersedia mengaum di Malaysia – Harga RM226k

By  |  0 Comments

Mazda_MX_5 001

Model roadster yang penuh legenda dan diminati ramai, Mazda MX-5 Skyactiv baharu telah pun dilancarkan petang ini oleh Bermaz Motor Sdn Bhd.

Ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter Skyactiv-G empat-cilinder sebaris DOHC 16V dengan kuasa maksimum 158 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 200 Nm pada 4,000 rpm. Bagi menambahkan lagi kekuasaannya, enjin itu turut dipadankan dengan transmisi Skyactiv-Drive automatik enam-kelajuan.

Mazda_MX_5 016

Konsep bagi imej model ini masih menerapkan rekaan Kodo : Soul of Motion seperti mana barisan model baharu Mazda yang lain. Malah kelahiran MX-5 baharu ini boleh dianggap sebagai ikonik bagi jentera setarafnya. Bukan itu sahaja, penghasilan MX-5 baharu ini turut dianggap sebagai kesinambungan legasi bagi Mazda di dalam menghasilkan model roadster yang amat digemari.

Selain memberikan pemanduan dan pengendalian yang lebih menguja, ia turut disajikan dengan imej yang lebih memukau. Pada bahagian hadapannya, ia menampilkan lampu utama dengan bentuk badam dan gril besar di bahagian bawahnya.

Malah garisan yang memiliki karakter tersendiri melintang di antara pemegang pintu hingga ke gerbang tayar belakang, sebelum tersambung pada lampu belakang. Manakala plat nombor pula diletakkan pada bampar bawah yang pertama kali diterapkan untuk model MX-5.

Ditambah pula dengan padanan rim rekaan baharu bersaiz 17-inci yang dibaluti tayar 205/45 R17 serta lampu belakang kombinasi berbentuk-U yang membuatkan imej MX-5 baharu ini lebih menyerlah.

Mazda_MX_5 018

Menjengah bahagian bahagian kabinnya, ia hanya tampil dengan rekaan serba ringkas dan tidak sarat. Hanya dengan tempat duduk separuh lekuk (bucket seats) material kulit upholstery berwarna hitam, Ia juga dihadirkan dengan roda stereng tiga-jejari, pedal penukar gear, tuil gear yang pendek, butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik, cermin pandang belakang anti-silau, sistem kunci pintar dan juga brek tangan manual.

Bahagian kokpitnya juga kelihatan ringkas dengan kehadiran papan pemuka yang minimalis dengan tiga butang kawalan bagi penghawa dingin dan pusat corong udara mendatar.

Selain itu, ia turut menampilkan sistem hiburan MZD Connect. Malah skrin sesentuh LCD bersaiz tujuh-inci turut disertakan dan bagi hiburan yang jitu, Mazda turut menampilkan sembilan pembesar suara jenama Bose untuk MX-5 baharu ini.

Kereta sport dua tempat duduk ini memiliki ukuran 3,915mm panjang, 1,735mm lebar dan 1,230mm tinggi, malah diproduksi lebih ringan iaitu hanya 940kg bagi mengekalkan ketegarannya. Ia juga dikatakan sebagai MX-5 yang paling rendah, paling ringan dan paling pendek yang pernah dihasilkan.

Walau bagaimana pun, ia masih kekal mantap serta bertambah berkuasa dan dalam masa yang sama turut memberikan penjimatan bahan api yang efisien.

Mazda_MX_5 017

MX-5 baharu ini juga menggunakan rekaan bentangan pacuan roda belakang dengan menambahkan kemantapan kerangkanya bagi memberikan lebih jaminan keselamatan jika terlibat dengan kemalangan. Padanan sistem suspensi Double-Wishbone untuk bahagian belakang dan Multi-link di belakang turut memberikan kestabilan optimum buat jentera ini.

Bagi aspek keselamatan, jentera ini turut dilengkapi dengan empat beg udara, ABS, EBD, BA, DCS dan TCS. Selain itu, elemen lain yang turut disertakan bagi memudahkan pengendaliannya ialah i-Stop (Idling Start-Stop), i-LOOP, Sistem Pencahayaan Hadapan Adaptif (AFS), Bantuan Mula Mendaki, Sistem Kawalan Lampu Tinggi (HBC), Sistem Amaran Penukaran Lorong dan Butang Kawalan Arahan.

MX-5 baharu yang diimport sepenuhnya dari Jepun ini ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Soul Red Metallic, Crystal White Pearl, Meteor Grey dan Jet Black.

Harga atas jalan bagi jentera ini ialah RM226,376.35 (termasuk GST & insurans) untuk Semenanjung Malaysia dan RM227,155.79 bagi Sabah/Sarawak. Ia turut didatangkan dengan waranti selama tiga tahun dan penyelenggaran berskala percuma tiga tahun.

Dalam sidang media yang berlangsung selepas majlis pelancaran, Bermaz turut mengesahkan bakal membawa masuk varian manual tidak lama lagi memandangkan terdapat permintaan terhadapnya. Infokereta.com akan membawakan maklumat mengenainya kelak.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *