Jualan kenderaan hibrid menjunam sehingga 44.5% bagi separuh pertama 2015 berbanding tahun lalu – MAA

By  |  0 Comments

Camry_Hybrid_Ext_04

Semasa mengumumkan prestasi jumlah jualan industri (TIV) kenderaan untuk separuh pertama 2015 semalam, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut memberitahu jualan kenderaan hibrid menjunam sehingga 44.5% pada bulan Januari hingga Jun 2015 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2014.

Jenama seperti Audi, BMW dan Honda mengalami penurunan mendadak di mana Audi mencatatkan rekod jualan ‘0’ pada tahun ini berbanding 90 unit pada tahun lalu. Manakala BMW turut mengalami nasib yang sama iaitu tiada jualan langsung bagi kenderaan hibrid bagi tempoh yang sama, berbanding satu unit pada tahun lalu.

Manakala Honda turut mengalami nasib yang sama iaitu hanya berjaya menjual dua unit berbanding 4,235 unit pada 2014. Hanya tujuh unit berjaya dicatatkan oleh Lexus berbanding 100 unit pada tahun sebelumnya.

MAA_1

Menurut Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad, penurunan jualan bagi kenderaan hibrid ini didorong oleh faktor penghapusan cukai insentif bagi kenderaan hibrid CBU. Buat masa ini, hanya kenderaan CKD hibrid sahaja berpeluang menikmati cukai insentif oleh kerajaan.

Namun bagi dua jenama gergasi dari Jepun iaitu Nissan dan Toyota telah berjaya mencatat jualan yang memberangsangkan bagi segmen kenderaan hibrid bagi separuh pertama 2015 ini. Di mana Toyota berjaya merekodkan jualan sebanyak 1,996 unit berbanding hanya 502 unit sahaja bagi tahun lalu. Manakala Nissan pula dengan rekod jualan sebanyak 1,328 unit berbanding 1,079 unit tahun lalu.

Kedua-dua jenama berkenaan memiliki kenderaan hibrid model pemasangan tempatan (CKD) iaitu Nissan Serena S-Hybrid dan juga Toyota Camry Hybrid.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *