Ford 1.0L EcoBoost menangi Anugerah Enjin Terbaik Antarabangsa kali ke-8

By  |  0 Comments

FiestaEcoboost_29

Kehebatan enjin Ford 1.0L EcoBoost tidak dapat dinafikan lagi kerana kecekapan penggunaan bahan api dan prestasinya yang mengagumkan. Baru-baru ini, enjin Ford 1.0L EcoBoost telah memenangi anugerah kelapan dalam tempoh empat tahun untuk Anugerah Enjin Terbaik Antarabangsa 2015 (2015 International Engine of the Year Awards).

Untuk empat tahun berturut-turut, enjin 1.0-liter EcoBoost Ford dinamakan sebagai “Enjin Terbaik Bawah 1.0-liter”. Ia dipilih sebagai pemenang dalam kelasnya berdasarkan kepada pemanduan, prestasi, penjimatan, kehalusan dan teknologi oleh panel juri yang terdiri daripada 87 wartawan pemotoran dari 35 buah negara.

Tahun lalu, enjin 1.0-liter EcoBoost menjadi enjin pertama yang dipilih sebagai Enjin Terbaik Antarabangsa secara keseluruhan sebanyak tiga kali berturut-turut. Pada tahun 2012, ia dipilih sebagai “Enjin Baharu Terbaik”.

“Enjin 1.0 liter EcoBoost Ford telah mengubah landskap enjin petrol bersaz kecil. Kami bangga kerana ia kekal terbaik dalam kelasnya, biarpun jumlah pesaingnya semakin bertambah,” kata Naib Presiden Pembangunan Produk Ford of Europe, Joe Bakaj.

Ford kini bekerjasama dengan kumpulan jurutera di Schaeffler Group untuk menguji dua roda tenaga jisim baharu yang membolehkan silinder dinyahaktifkan pada julat beban dan pecutan enjin yang lebih luas. Inovasi itu mampu membantu meminimumkan bunyi bising dan kekasaran (NVH).

Ujian di atas jalan menggunakan sebuah prototaip di Pusat Penyelidikan dan Inovasi Eropah di Aachen, Jerman menunjukkan peningkatan penjimatan bahan api sehingga 6 peratus.

FiestaEcoboost_62

Di peringkat global, rangkaian enjin EcoBoost yang berkuasa tetapi menjimatkan itu terdiri daripada enjin empat silinder 1.5 liter, 1.6 liter, 2.0 liter dan 2.3 liter. Sementara enjin 2.7 liter dan 3.5 liter V6 pula dibangunkan untuk supercar Ford GT serba baharu yang bakal menyaksikan Ford kembali bersaing dalam perlumbaan Le Mans pada tahun 2016.

Di Malaysia, enjin EcoBoost boleh didapat pada beberapa model. Ini termasuklah Fiesta dengan enjin 1.0-liter EcoBoost, Fiesta ST dan Kuga yang dilengkapi enjin 1.6 liter EcoBoost. Manakala model Focus ST, Mondeo dan S-Max pula menggunakan enjin 2.0 liter EcoBoost.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *