Ford Fiesta ST bikin hati teruja & semangat kian membara

By  |  0 Comments

FiestaST_Ext_03

Ford Fiesta Ecoboost yang dipandu uji pada Julai tahun lalu memang cukup menambat hati. Prestasinya sentiasa memuncak, seiring dengan ledakan adrenalin yang berjaya dicetuskan. Dan apabila berpeluang memandu uji Fiesta ST beberapa minggu yang lalu, keterujaan berganda cukup dirasai.

Ternyata nilai ST atau Sport Technology yang diterapkan pada model ini seakan memberikan hamburan kuasa yang melimpah ruah memacu jentera hatchback ini ligat di jalan raya. Kalau tak perasan logo ST pada gril hadapan dan juga bahagian belakang, pasti ramai yang menyangkakan ia hanyalah model Fiesta biasa.

FiestaST_Ext_32

Asakan enjin 1.6L GTDI 4-silinder EcoBoost yang memiliki kombinasi pengecas turbo ini membuatkan Fiesta ST mampu meledakkan kuasa sehingga 182 PS pada 5,700 rpm dan tork sehingga 240 Nm pada 1,600 hingga 5,000 rpm.

Enjin unik dan ringan yang diperbuat daripada aluminium sepenuhnya ini bukan sahaja menawarkan pengedalian lebih baik, malah menjanjikan prestasi dan penjimatan bahan api. Malah menurut Ford, Fiesta ST ini mampu memberikan penjimatan bahan api antara 5.9 liter bagi setiap 100 km.

FiestaST_Ext_39

Terjahan kuasanya tidak tertangguh-tangguh biarpun hanya sedikit pijakan pada pedal pendikit. Pantas ‘menyerang’ dan membelah haluan dengan deruman enjin yang mengasyikkan.

Ia turut dipadankan dengan transmisi manual B6 enam-kelajuan yang cukup resposif dan mudah dikawal. Ditambah pula dengan ‘permainan’ gear manual, pemanduan kian ralit tanpa mengurangkan konsentrasi.

Melalui lebuh raya mahu pun jalan biasa terutamanya yang lurus dan berselekoh cukup mengujakan. Fiesta ST ini kian garang dan agresif dengan tujahan enjin yang cukup padu. Tidak padan dengan saiznya yang comel molek ini, namun terjahan kuasanya memang cukup maskulin.

FiestaST_Ext_38

Bayangkan, dengan hanya 6.9 saat, Fiesta ST ini mampu dipacu dari 0-100km/j tanpa teragak-agak sebelum mencapai kelajuan maksimum sehingga 224 km/j. Ternyata gabungan sistem pancitan bahan api terus bertekanan tinggi, pengecas turbo dan Twin-independent Variable Cam Timing (Ti-VCT) begitu membantu Fiesta ST ini lebih kencang ‘berlari’.

Menurut Ford, sistem Ti-VCT membolehkan aci sesondol (camshafts) untuk menggerakkan injap pengambilan dan ekzos di dalam kitaran pembakaran pada masa yang berbeza. Ia dilakukan berdasarkan kepada kelajuan enjin dan beban. Hasilnya, enjin dapat memberikan lebih kuasa ketika memecut dan kecekapan yang terbaik ketika berada dalam kondisi kurang beban seperti melahu atau bergerak di atas lebuh raya.

Keterujaan dan keseronokan berganda apabila Fiesta ST ini ditampilkan dengan tiga pilihan mod program kestabilan elektronik Ford (ESC) iaitu Standard, Sport atau Off (untuk pemanduan di trek perlumbaan). Di mana setiap mod ini mampu memenuhi apa jua keperluan yang berbeza, bergantung kepada kondisi jalan dan corak pemanduan yang diingini.

FiestaST_Ext_42

Di mana mod Standard sesuai untuk apa jua kondisi atau permukaan jalan. Ia ditala khas untuk menawarkan pemanduan yang selesa. Pada masa yang sama memberikan lebih keyakinan untuk memandu dengan selamat di atas mana-mana permukaan jalan.

Manakala mod Sport pula melibatkan kawalan cengkaman yang minimum, demi menawarkan prestasi pemanduan yang lebih agresif dan bersemangat.

Apabila ESC dinyahaktifkan, sistem Kawalan Penvektoran Tork tetap beroperasi dan memberikan kawalan penuh ke atas chasis. Ini bukan sahaja memaksimumkan karekter pemanduan sporty yang ada pada Fiesta ST, malah membolehkan pemandu mengawal sepenuhnya jentera tanpa bantuan ESC yang berfungsi mengawal aspek cengkaman.

Biar pun kecil, namun kestabilannya masih cukup dirasai. Malah ketika merentasi selekoh atau laluan berliku, jentera ini mudah untuk ‘dijinakkan’. Suspensi, kawalan penvektoran tork, cakera brek hadapan & belakang hanya standard ST , namun tetap membantu pengendalian yang lebih mantap buat jentera ini.

Olengan badannya juga agak minima walau pun melalui permukaan jalan yang beralun mahu pun tidak rata.

Selain ketangkasan enjinnya, ada satu lagi perkara yang membuatkan penulis cukup teruja ‘berdampingan’ dengan Fiesta ST ini selama beberapa hari ialah bunyi yang dihasilkan oleh enjin ini amat mengujakan.

Di mana ia menampilkan Symposer Bunyi yang menawarkan kualiti bunyi, maklum balas dan menapis bunyi bising daripada masuk ke dalam kabin kereta. Modul symposer disambungkan kepada saluran kemasukan udara serta mengasingkan tekanan tinggi dan rendah.

Ketika kebanyakan sistem kemasukan pengecas turbo konvensional tidak meningkatkan induksi bunyi enjin, Ford pula membenarkan bunyi enjin yang lancar dan enak didengar memasuki kabin kenderaan. Ini nyata meningkatkan lagi pengalaman pemanduan dan membuatkan anda rasa seperti berada dalam sebuah jentera lumba yang sebenar.

Mungkin ayat tersebut agak skema dan sukar untuk difahami, pendek kata, bunyi yang dihasilkan oleh enjin ini cukup meledakkan adrenalin. Secara tidak langsung, semangat mengendalikan jentera ini membuak-buak tanpa batasan.

Ford memang cukup menitik beratkan soal keselamatan, maka elemen ini amat penting untuk diterapkan pada jenteranya iaitu ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Mula Mendaki (HSA) serta tujuh beg udara.

Melihat akan rupanya, ia tidak banyak berbeza dengan varian Fiesta biasa. Bagi Fiesta ST ini, ia ditampilkan dengan kit badan serba sporty serta rim aloi bersaiz 17-inci yang membantu menyerlahkan lagi penampilannya.

Malah rekaan hadapan yang penuh dinamik menambahkan lagi karakter model ini termasuklah lampu utama projektor halogen automatik dan lampu pencahayaan siang. Pada bahagian belakangnya juga ditampilkan spoiler belakang dan paip ekzos berkembar krom.

FiestaST_Ext_15

Menjengah bahagian kabinnya, biasan sporty masih merajai segenap ruang. Ia dipadankan dengan tempat duduk Recaro untuk bahagian hadapan dan tempat duduk fabrik gabungan warna kelabu dan hitam untuk belakang, sistem audio Ford SYNC dengan enam pembesar suara bersama pelbagai fungsi paparan, roda stereng dengan logo ST, tombol gear lengkap dengan jahitan merah, dan butang penghidup enjin.

Manakala ruang dalamannya pula tidaklah begitu luas bagi tempat duduk penumpang belakang dan hanya boleh memuatkan dua penumpang dewasa (atau tiga penumpang kanak-kanak) dengan ruang kaki dan kepala yang sederhana. Biasalah kereta tiga-pintu sebegini, sememangnya hanya bersesuaian dengan tiga-empat penumpang sahaja (untuk tempat duduk hadapan/belakang).

Jika memilih pek ST Convenience Pack, elemen tambahan yang ditawarkan ialah sistem kemasukan tanpa kunci dan pelarasan cermin sisi secara automatik.

Dengan harga atas jalan yang ditawarkan iaitu RM149,888 (berserta insurans) seunit, Fiesta St ini turut didatangkan dengan waranti tiga tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

Konklusi daripada Infokereta.com, jika anda tercari-cari hatchback yang kecil molek sebegini, mempunyai terjahan kuasa yang menguja, penjimatan bahan api yang cukup efisien dan harga yang boleh dikatakan berpatutan, pastinya Fiesta ST ini pilihan yang terbaik.

Spesifikasi :
Enjin : 1.6L GTDI 4-silinder EcoBoost
Transmisi : Manual 6-kelajuan
Kuasa maksimum : 182 PS @ 5,700 rpm
Tork maksimum : 240 Nm @ 1,600-5,000 rpm
Kapasiti tangki bahan api : 48 liter
Pilihan Warna : Molten Orange, Spirit Blue & Panther Black

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *