SPAD sita kereta sapu & teksi haram dalam Ops Revus

By  |  0 Comments

SPAD1

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) semakin serius bagi membanteras aktiviti kereta sapu dan teksi haram dalam Operasi Revus.

Semalam, SPAD telah menyita enam buah kenderaan persendirian yang digunakan sebagai ‘kereta sapu’ dan sebuah teksi tanpa permit dalam Ops Revus yang dijalankan di sekitar ibu kota, laporan NST.

Menurut Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD, Mejar (B) Jeneral Datuk Che Hasni Che Ahmad, keenam-enam kenderaan tersebut didapati menyalahi undang-undang kerana beroperasi tanpa lesen yang sah. Ia terdiri daripada dua unit Nissan Almera, Toyota Vios (1) , Naza Citra (1), Perodua Viva (1) dan Toyota Avanza (1). Di mana pemilik kenderaan tersebut dikatakan mewakili syarikat teksi melalui perkhidmatan dalam talian seperti Uber, Blackline dan GrabCar.

“Oleh kerana mereka tidak memiliki lesen yang sah maka kesemua kenderaan itu disita dan kes tersebut akan dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk didakwa di bawah Seksyen 16, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman denda kurang daripada RM10,000 atau setahun penjara untuk pemilik persendirian manakala untuk syarikat pula, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000,” katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan aduan orang ramai, SPAD berjaya menyita sebanyak 82 buah kenderaan persendirian. Daripada hasil siasatan yang dijalankan, SPAD turut mengenal pasti sebanyak 59 buah ‘kereta sapu’ masih berdegil memberikan perkhidmatan tanpa lesen yang sah dan berdasarkan pemantauan SPAD juga, mereka masih aktif beroperasi.

Sambungnya lagi, “Kalau mereka hendak bawa teksi kenapa tidak pohon sahaja dengan SPAD secara sah dan ia hendaklah mengikut kelas-kelas lesen yang telah diberikan serta mengikut syarat lesen yang ditetapkan oleh SPAD. Tetapi oleh kerana mereka menjalankan kegiatan ini tanpa lesen maka kami juga akan mohon supaya mahkamah melucutkan hak pemilik kenderaan tersebut jika mereka didapati bersalah.”

Che Hasni berkata, para pengguna dinasihatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan tersebut kerana ia akan membahayakan keselamatan diri dan juga barangan milik mereka.

Jelasnya, apabila kenderaan tersebut tidak mempunyai permit yang sah, mereka tidak mempunyai insurans sebagai kenderaan perdagangan.

“Ini boleh membahayakan penumpang sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini, seperti kejadian jenayah atau kemalangan jalan raya. Oleh kerana mereka tidak mempunyai lesen sah, tindakan mereka itu sama dengan teksi sapu yang bergerak secara haram dan SPAD akan meneruskan operasi seperti ini bagi mengingatkan mereka di luar sana bahawa aktiviti seperti ini adalah salah,” katanya.

Sumber foto : Facebook SPAD

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *