Kia Rio baharu tampil lebih menarik – Harga RM79k

By  |  0 Comments

Kia-Rio-1

Kia menerusi NAZA KIA MALAYSIA telah melancarkan model baharu bagi Rio. Model kompak lima-pintu ini dijangka menjadi peneraju pasaran segmen-B dan sesuai untuk pengguna generasi muda yang gemarkan gaya dan dalam masa yang sama, inginkan kenderaan yang mampu memberikan penjimatan api yang lebih efisien serta memiliki aspek keselamatan yang diyakini.

“Rio baharu ini direka untuk mencetuskan revolusi bagi kereta kompak yang menjadi pemacu pertumbuhan jualan Kia. Model baharu ini juga menonjolkan kehebatan dan personaliti tersendiri yang berlainan, menampilkan model Segmen–B terkini di antara barisan model-model KIA yang mengutamakan reka bentuk menyerlah serta moden,” kata Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar, Ketua Pegawai Operasi Naza Kia Malaysia.

Naza Kia Malaysia mensasarkan peningkatan jumlah jualan sebanyak 11,000 unit bagi model ini,

Model Rio ini diperbaharui dengan rekaan yang lebih lebar, menampakkan ciri-ciri yang lebih kukuh. Pengubahsuaian gril yang luas bagi kemasukan udara dan matte silver bars pada bingkai lampu kabus hadapan menampakkan ciri bentuk yang lebih tegap.

Begitu juga reka bentuk bahagian belakang, ia lebih elegan dengan reflektor yang diubahsuai. Rekaan terbaharu rim aloi 17-inci menampakkan imej lebih bergaya dan dinamik.

Identiti KIA yang mengetengahkan Tiger Nose dengan gril radiator berkembar bercirikan kekisi geometrik menjadi profil utama di samping menonjolkan lampu nyalaan siang LED bagi ciri keselamatan jarak optimum.

Bagi cermin sisi automatik yang berbentuk aerodinamik dengan LED dan di bahagian belakangnya pula, dilengkapi dengan lampu kombinasi LED yang memukau mampu meningkatkan pencahayaan yang jelas dan cerah untuk Rio baharu ini. Lampu kabus hadapan jenis projektor baharu direndahkan supaya cahaya dapat menembusi kabus secara maksimum. 

Kia-Rio-2

Bagi melengkapkan lagi gaya luaran yang menyerlah, kualiti rekaan dalaman juga dipertingkatkan. Rekaan dalaman yang memberikan cita rasa mewah dengan kemasan hitam yang berkilat pada centre fascia dan konsol gear. Konsep ini menjurus kepada falsafah korporat rekaan dalaman KIA dengan karakter panel instrumen mendatar yang lebih sempurna dan pengendalian mudah.

Sistem audio juga direka lebih ringkas dan tidak terlalu rumit untuk digunakan. Bahagian dalaman Rio baharu ini turut menampakkan ciri-ciri stereng teleskopik dengan kawalan audio bebas tangan, butang penghidup enjin dan system audio dengan enam pembesar suara.

Selain dari Bluetooth, Auxiliary dan penyambungan USB, sistem audio juga didatangkan dengan memori 860MB bagi menyimpan muzik MP3 dan senarai nombor telefon.

Ciri-ciri premium yang lain termasuklah bumbung matahari dan sistem pengawasan kluster berkomputer, sistem penghawa dingin automatik dengan kluster ionizer serta sistem penyahkabus dan pengesan hujan yang berfungsi secara automatik apabila mengesan hujan pada cermin hadapan.

Rio baharu dikuasakan dengan enjin KIA Gamma 1.4 MPI DOHC CVVT yang menghasilkan 109 PS dan tork setinggi 137 Nm, serta dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan bersama penukaran gear secara manual.

Bagi ciri-ciri keselamatan terbaik, Rio baharu ini turut dilengkapi denganPengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), ABS, EDB, Sistem Bantuan Brek (BAS), Alat Pengesan Ruang Parkir Belakang, Sistem Bantuan Kawalan Mula Mendaki (HAC) dan ISOFIX.

Rio baharu ini didatangkan dalam empat warna iaitu Deep Blue, Signal Red, Clear White dan Bright Silver. Ditawarkan dengan satu varian sahaja, Rio baharu ini berharga RM79,080 dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan. Di mana harganya kekal seperti mana model terdahulu termasuk setelah GST dan dengan insurans.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *