Renault Fluence… kuasa tersembunyi di sebalik wajah

By  |  0 Comments

Fluence_Ext_20

Selepas mengambil Renault Fluence ini dari bilik pamerannya di PJ, penulis terrus berdesup berjumpa dengan seorang kenalan. Ayat pertama yang dilemparkan olehnya setelah penulis keluar dari perut Fluence ialah “Kereta ni macam lebih sesuai untuk orang yang berusia sekitar 40an ke atas. Prestasinya mesti ala kadar bukan?”

Penulis cuma tersenyum. Enggan mengulas panjang terlebih dahulu kerana tika itu belum sampai setengah jam bersama Fluence ini. Belum melenjannya sepuas yang mungkin, lebih-lebih lagi bila terpaksa melalui kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan, jadi pemanduan hanya sekadar ‘biasa-biasa’ sahaja.

Namun bagi penulis, tidak adil sekiranya menilai prestasi sesebuah kenderaan itu berdasarkan paras rupanya. Jadi, untuk membongkarkan apakah kelebihan yang ada pada jentera yang berasal dari Perancis ini.

Untuk pasaran Malaysia, model Fluence ini adalah hasil pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Tan Chong Motor Assemblies Segambut.

Fluence_Ext_01

Selama beberapa hari memandu uji Fluence ini, senang cerita…penulis memang cukup berpuas hati dengan prestasi yang dihasilkan. Ternyata ia berpadanan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder yang mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 143 hp pada 6,000 rpm dan tork 195 Nm pada 3,700 rpm.

Kotak gear X-Tronic CVT yang dipadankan juga cukup responsif. Malah ketika pertukaran antara gear ke gear juga tidak terasa. Penulis juga tidak melepaskan peluang menggunakan mod manual. Walau pun hanya menggunakan anjakan tombol gear seperti biasa, tanpa pedal penukar gear (paddle shifter), ia tidak menghalang rasa ‘enjoy’ untuk menggunakan mod manual. Apatah lagi jika ingin memandu sedikit agresif, penggunaan mod manual memang mampu menzahirkan kepuasan.

Tetapi bagi penulis, sama ada gear automatik mahu pun mod manual, kedua-duanya mampu merangsang pelbagai corak pemanduan. Sama ada secara santai mahu pun lebih agresif. Ternyata Fluence mampu melahirkan pelbagai karakter yang tersendiri mengikut kehendak pemanduan tanpa sekatan!

Fluence_Ext_40

Mengenai prestasinya, Fluence memang pantas dan cekap menghamburkan kuasa seperti mana yang dikehendaki. Ia tidak teragak-agak untuk bertindak pantas malah cukup responsif. Walau pun ketika melalui jalan berbukit, kerahan tenaganya tidak perlu dipaksa kerana ia dapat bertindak sewajarnya.

Fluence mampu dipecut secara maksimum sehingga 195 km/j. Manakala catatan masa daripada titik sifar sehingga 100 km/j hanya 10.1 saat.

Mengendalikan Fluence juga mudah dan menyenangkan. Ia bukanlah sebuah kenderaan sedan yang ‘mengada-ngada’, sebaliknya lebih bersikap ‘friendly’ dan mengikut kehendak pemanduan.

Kestabilan dan kemantapan jentera ini juga cukup terserlah. Sistem suspensi hasil padanan topang MacPherson dengan wishbone rendah serta gandar Torsion Beam memang mampu menghasilkan kestabilan yang diyakini.

Fluence_Ext_32

Penulis sempat melenjan Fluence ini melalui jalan berselekoh di Bukit Larut, Sepang menuju ke Lukut, Negeri Sembilan. Olengan badannya juga agak minima, memberikan keselesaan ketika berada di dalam ‘perut’ Fluence. Malah, jika melalui permukaan yang tidak rata atau pun beralun, keselesaannya masih dapat dirasai. Tidak terasa bumpy, begitu juga dengan penumpang yang duduk di bahagian tempat duduk belakang.

Variable Electric Power-assisted steering cukup menyenangkan. Stereng tidak terasa ringan mahu pun berat, cukup bersederhana dan mudah untuk dikawal.

Kerangkanya berukuran 4,618 mm bagi panjang, lebar pula 1,813 mm dan memiliki ketinggian 1,485mm dengan jarak roda 2,702 mm sangat bersesuaian dengan model ini.

Fluence_Ext_14

Bagi aspek keselamatan, Fluence dilengkapi dengan ABS, EBD, enam beg udara, Program Kestabilan Elektronik (ESP), Anti-Skid Regulator (ASR), sistem Isofix, sistem anti-kecurian dengan immobilizer dan kawalan kelajuan (cruise control).

Mempertaruhkan imej luaran yang menawan, bahagian hadapan Flunce tampak agak matang. Padanan lampu utama projektor dengan rekaan gril radiator yang agak pendek dan bampar hadapan memberikan imej yang ringkas.

Begitu juga dengan imej pada bahagian sisi dan belakang, ia juga lebih ringkas dan tidak ada sebarang rekaan yang sarat. Pemilihan rim aloi bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar 205/55 tidak banyak menyerlahkan gaya Fluence ini.

Masuk ke dalam kabinnya, suasana elegan menyerlah. Namun Renault masih memilih gaya yang serba ringkas untuk bahagian dalamannya termasuklah pada paparan pemukanya. Antara elemen yang terdapat pada kabin Fluence ialah tempat duduk balutan kulit, penghawa dingin zon berkembar dan corong penghawa dingin bagi tempat duduk penumpang belakang.

Fluence_Int_28

Selain itu, ia juga menampilkan skrin sesentuh bersaiz tujuh inci dengan Renault R-Link, navigasi, pengecaman suara, Bluetooth, MP3, CD, USB dan paparan kamera undur.

Malah bagi hiburan yang lebih memuaskan, sistem bunyi 3D Arkamys berserta enam pembesar suara turut ditampilkan.

Dengan harga atas jalan (tanpa insurans) RM115,000, Fluence ternyata memiliki karakter yang tersendiri tetapi tersembunyi di sebalik wajahnya. Biar pun paras rupaya kelihatan ringkas dan bersederhana, namun ternyata Fluence mampu mempersembahkan mutu pemanduan dan pengendalian dinamik.

Bagi pembelian Fluence ini, ia juga didatangkan dengan waranti standard selama lima tahun tanpa pembatuan terhad dan penyelenggaraan percuma selama dua tahun atau 40,000 km (mana yang hadir terlebih dahulu).

Spesifikasi :
Enjin: 2.0 liter 4-silinder sebaris, DOHC, 16V, CVTC
Transmisi: CVT
Kuasa maksimum: 143hp@6,000rpm
Tork maksimum: 195Nm@6,000rpm
Kapasiti tangki bahan api : 60 liter
Warna pilihan : Ultra Silver, Black Metallic, Mars Grey & White Pearl

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *