Chevrolet Malibu LTZ gabungan gaya & kuasa impresif

By  |  0 Comments

Malibu_Ext_27

Sejak awal Januari yang lalu, desas-desus mengenai Chevrolet Malibu LTZ bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia bertebaran. Setelah sembilan bulan bermain teka-teki, hari ini NAZA Quest Sdn Bhd yang bertanggungjawab memasarkan jenama ini di Malaysia, telah bersedia untuk melancarkan model sedan eksekutif ini.

Dijanakan oleh enjin 2.4 liter Ecotec DCVCP (Dual Continuous Variable Cam Phasing) yang mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 165hp pada 5,800rpm dan tork 225Nm pada 4,600rpm. Dengan terjahan kuasa yang agak mengagumkan ini menjadikan Malibu sebagai salah sebuah yang berkuasa di dalam kelasnya.

Malibu_Ext_18

Enjin Ecotec ini turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan bersama mod manual bagi memberikan penukaran gear yang lebih lancar. Malah ia juga dikhabarkan mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien tanpa menganggu keupayaan pemanduan.

Diibaratkan sebagai sedan sport yang sejati, Malibu direka dengan standard Eropah bagi pemanduan berdinamik yang optimum. Penggunaan casis yang tegang dan mantap dengan kombinasi suspensi yang terdiri daripada topang MacPherson bagi bahagian hadapan dan multi-link untuk belakang, pastinya memberikan pengendalian yang lebih responsif. Tambahan pula ia turut ditampilkan dengan sesendal hidraulik bagi mengekalkan pemanduan yang lebih lancar dan senyap.

Malibu_Ext_16

Chevrolet Malibu LTZ bersaiz 4,865mm panjang dan 1,855mm lebar. Walau pun ia kelihatan sedikit lebar, namun garisan lekuknya membuatkan sedan ini nampak maskulin dan elegan. Bukan itu sahaja, ia turut menyumbang pada ciri-ciri aerodinamik yang lebih padu. Malah Malibu juga agak ketara menerima ‘tempias’ imej yang dipamerkan oleh model Chevrolet Camaro terutamanya pada pandangan hadapan.

Untuk bahagian hadapannya, ia dipadankan dengan lampu utama HID dan gril berwarna hitam dengan lingkaran krom. Bahagian belakangnya juga kelihatan elegan dengan penampilan lampu belakang LED. Menambahkan imej sporty dengan pemilihan rim aloi bersaiz 18 inci yang dibaluti dengan tayar 245/45R 18.

Mengangkat tema rekaan yang moden untuk bahagian kabinnya, Malibu ini tampil dengan kokpit berkembar serba baharu dengan penampilan material yang lebih premium. Pada bahagian tengah papan pemukanya, ia menempatkan skrin sesentuh bersaiz tujuh inci yang berfungsi sebagai sistem hiburan MyLink serta sebagai paparan kamera undur. Bagi hiburan yang lebih memuaskan, enam pembesar suara turut diletakkan di segenap bahagian kabin.

Malibu_Int_19

Ia juga dilengkapi dengan kawalan penghawa dingin automatik zon tunggal, kawalan kelajuan, paparan informasi pemanduan, butang penghidup enjin, tombol gear dan roda stereng balutan kulit, tempat duduk balutan kulit serta tempat duduk pemandu dan penumpang di sebelah yang boleh dilaras secara elektronik dengan lapan cara

Malibu LTZ yang bersaiz 2,737mm bagi jarak roda turut menyediakan ruang dalaman yang cukup selesa termasuk ruang kaki. Tidak lengkap dengan itu, ruang kargonya yang mencapai 462 liter turut menjadikan Malibu sebagai jentera sedan yang lebih praktikal berbanding dengan kebanyakan model lain di bawah segmen-D.

Lain-lain elemen penuh inovatif yang turut ditampilkan pada Malibu LTZ ini ialah Kawalan Menghidup Enjin dengan sistem Butang Penghidup Kemasukan Pasif (PEPS), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), pembersih lampu utama bertekanan tinggi, brek parkir yang dioperasikan oleh kuasa elektrik dan sistem lampu utama auto bersama pelarasan auto, pengesan terowong dan banyak lagi.

Tidak lengkap dengan itu, aspek keselamatan juga amat dititikberatkan. Malibu LTZ ini turut didatangkan dengan beg udara berkembar untuk bahagian hadapan dan dua beg udara sisi dengan 65% struktur keluli bertahanan tinggi, secara tidak langsung melayakkan model ini menerima pengiktirafan lima bintang daripada NCAP bagi Pematuhan Pelindungan Pejalan Kaki buat pasaran global.

Selain itu, ia turut ditampilkan dengan beberapa lagi elemen keselamatan standard termasuklah ABS, Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik StabiliTrak dengan Bantuan Brek dan EBD.

Dengan harga yang ditawarkan iaitu RM155,444 (tidak termasuk insurans), ia turut didatangkan dengan pakej waranti dari kilang pembuatan iaitu selama lima tahun atau 200,000km (yang mana tiba terlebih dahulu). Ia turut didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu Moulin Rouge Red Metallic, Carbon Flash Metallic, Olympic White dan Switchblade Silver.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *