Kadar pembiayaan kenderaan bermotor meningkat?

By  |  0 Comments

ProtonCarnival04

Dua hari lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan telah memberi “arahan” kepada semua institusi pembankan bagi kenaikan kadar pembiayaan kenderaan bermotor.

Namun beberapa akhbar tempatan telah mengeluarkan kenyataan yang berbeza, antaranya memetik laporan yang disiarkan oleh The Edge Malaysia, kadar pembiayaan kenderaan nasional dan bukan nasional telah dinaikkan antara 40 mata asas. Ia berikutan kenyataan yang diperakui oleh pihak bank sendiri kepada akhbar berkenaan bahawa ia merupakan “arahan” dari BNM sendiri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BNM, institusi kewangan yang menentukan kadar pembiayaan mengikut beberapa faktor tertentu termasuklah penilaian terhadap kedudukan kredit peminjam, kadar pembiayaan pasaran dan pertimbangan yang kompetitif.

Sementara itu, akhbar The Star turut melaporkan, kadar pembiayaan yang turun dan naik ini mampu memberikan impak terhadap pertumbuhan pinjaman dalam tempoh waktu yang pendek. Namun pertumbuhan ini dijangka kembali normal pada tempoh waktu yang panjang.

Beberapa maklumat yang diperoleh Paultan.org turut mengesahkan Sime Darby Auto Connexion telah mendedahkan kadar pembiayaan bagi model baharu Ford telah meningkat 2.8 peratus berbanding 2.4 hingga 2.5 peratus pada Januari. Menurut wakil eksekutif jualan, kebarangkalian kadar itu mampu mencapai sehingga 3.5 peratus.

Malah kadar pembiayaan bagi kenderaan terpakai juga lebih tinggi sebanyak 1.5 peratus berbanding dengan pinjaman bagi kenderaan baharu.

Suzuki Mega Roadshow_3

Manakala menurut pengedar Honda ketika dihubungi, turut mengakui peningkatan kadar pembiayaan ini. Di mana ia meningkat sehingga 2.7 peratus berbanding 2.4 peratus pada Disember 2013.

Menurut pengedar kenderaan rekon, CA AutoWorld pula, ia telah meningkat antara 0.3 hingga 0.5 peratus semenjak beberapa hari lalu. Namun kadar tersebut bergantung pada jumlah pinjaman.

Namun sebuah lagi pengedar, KengHim Automobile, pula mengatakan kadar pembiayaan bagi kenderaan terpakai masih belum mengalami sebarang perubahan. Iaitu masih kekal antara 3.3 hingga 4.5 peratus, bergantung pada jenis dan usia kenderaan terbabit. Namun turut menjangka ia bakal mengalami peningkatan tidak lama lagi. Syarikat terbabit turut berkata, kadar tersebut juga bergantung pada jumlah pinjaman.

Adakah peningkatan kadar pembiayaan kenderaan bermotor ini bakal memberikan kesan langsung terhadap kewangan bakal peminjam? Mungkin ya. Atau mungkin juga tidak. Sebagai contoh, pengiraannya sebegini. Meminjam sebanyak RM50 ribu dengan pembiayaan semula selama tujuh tahun yang melibatkan kadar 2.3 peratus hanyalah RM691 sebulan. Untuk nilai pinjaman yang sama tetapi kadar pembiayaan sebanyak 2.7 peratus pula berjumlah RM708 sebulan. Ia hanya melibatkan RM17 lebihan sebulan.

Tetapi jika melibatkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi, maka pembiayaan yang perlu dibayar kembali pastinya lebih besar bukan?

Jadi, apa pendapat anda mengenai perkara ini? Adakah ia bakal mengganggu gugat perancangan anda untuk membeli kenderaan baharu atau pun terpakai?

Kongsikan pendapat anda bersama InfoKereta.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *