KLIA & KLIA2 jadi lapangan terbang pertama guna EV di ASEAN

By  |  0 Comments

Tesla-Model-S-Malaysia-1

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bakal menjadi lapangan terbang antarabangsa pertama yang menggunakan kenderaan elektrik (EV) di rantau ASEAN apabila Projek Lapangan Terbang Neutral Karbon dilaksanakan tahun depan, laporan Bernama.

Menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, ia adalah di bawah cadangan yang dibentangkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada mesyuarat kedua Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MTHPI), di mana kenderaan sedia ada MAHB di KLIA dan klia2 akan digantikan dengan EV.

Sistem hibrid solar Photo Voltaik dan set jana kuasa di Lapangan Terbang Mulu, Sarawak juga akan dilaksanakan di bawah projek itu, katanya.

“Kita amat menyokong pelaksanaan ini dan bersedia memberi kerjasama penuh terutamanya dalam penyediaan infrastruktur bagi stesen pengecas kenderaan elektrik di KLIA dan KLIA2,” katanya.

Ongkili berkata mesyuarat itu juga mempertimbangkan cadangan Malaysia Green Technology Corporation (Greentech Malaysia) membawa masuk pengeluar EV premium Tesla Motors ke Malaysia dalam usaha mempromosikan penggunaan kenderaan cekap tenaga dan kenderaan elektrik bagi mengurangkan penggunaan bahan api fosil.

“Usaha yang dicadangkan ini boleh menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan teknologi kenderaan elektrik serta sebagai pusat servis utama kenderaan elektrik di rantau ASEAN,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini, Greentech Malaysia juga telah membawa masuk dua kereta Tesla Model S untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan.

Bagaimanapun, katanya perbincangan lanjut antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan KeTTHA dengan Tesla Motors akan diadakan bagi memastikan komitmen pelaburan syarikat itu.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *