Ford Ranger baharu lebih berkuasa, mantap & pintar

By  |  0 Comments

Ford Motor Company dan pengedarnya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) telah pun melancarkan Ranger baharu yang lebih lasak, pintar dan efisien di Malaysia. Trak pikap itu berada di semua bilik pameran Ford di seluruh negara mulai 9 Oktober 2015.

Rangkaian teknologi baharu Ranger disempurnakan lagi dengan bahagian luarannya yang bergaya, berfungsi dan pintar. Di samping kemampuan mengharung air, menunda dan mengangkut beban yang terbaik dalam kelasnya.

“Berpegang kepada warisan ‘Built Ford Tough’ kami, Ranger baharu merupakan satu-satunya trak pikap yang menampilkan pelbagai teknologi pintar dan keselamatan baharu,” ujar Pengarah Urusan Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik Ford Motor Company, David Westerman.

Dengan kemampuan mengharung air sehingga kedalaman 800mm dan jarak kelegaan tanah 230mm yang mendahului kelasnya, Ranger baharu ialah sebuah trak pikap yang paling lasak di Malaysia. Ia memiliki sudut mendekat 28 darjah dan sudut pelepasan 25 darjah, membolehkan ia enempuh apa jua laluan paling ekstrem dengan mudah.

Transfer case kukuh yang dikawal secara elektronik membolehkan pemandu Ranger varian 4×4 menukar daripada pacuan 4×2 kepada 4×4 ketika kenderaan masih bergerak dengan hanya memutar satu tombol pada konsol tengah.

Untuk mendapatkan kuasa tork pada kelajuan rendah atau brek tambahan ketika menuruni bukit, pemandu boleh menggunakan gear 4×4 jarak pendek.

Manakala ciri differential lock elektronic pada roda belakang membantu meningkatkan cengkaman apabila berdepan situasi sukar. Kekuatan di laluan off-road ini dipadankan dengan keupayaan menunda sehingga 3,500kg serta kapasiti mengangkut beban yang luar biasa mencecah 1,200kg.

Pengalaman pemanduannya dipertingkatkan lagi menerusi sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPAS). Ia menawarkan rasa stereng yang tepat, semula jadi dan meyakinkan. Dengan EPAS, stereng berasa ringan dan mudah dikendalikan ketika mengubah haluan pada kelajuan rendah seperti memasuki ruang parkir.

Stereng akan menjadi lebih tepat apabila dipandu pada kelajuan tinggi. Bantuan ini akan diberi apabila diperlukan berdasarkan kepada kelajuan, sudut stereng, kuasa ketika membelok, memecut dan nyahpecutan.

Ranger_Wildtrak_Ext_21

Untuk kuasa dan tork maksimum bagi tujuan menunda, Ford menawarkan enjin diesel generasi terkini 3.2 liter Duratorq lima-silinder TDCi. Antara penambahbaikan yang diterima oleh enjin ini adalah sistem kitaran semula gas ekzos. Ia membantu meningkatkan penjimatan bahan api sehingga 12 peratus, pada masa yang sama mampu menjana kuasa mencecah 200PS dan tork setinggi 470Nm.

Selain itu, enjin diesel 2.2 liter Duratorq empat-silinder TDCi generasi terkini Ford turut ditawarkan. Ia mampu menghasilkan kuasa 160PS tork 385Nm iaitu lebih peningkatan dari segi kuasa dan tork berbanding enjin 2.2 liter pada Ranger sekarang.

Ranger baharu ini juga dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik enam kelajuan. Kesemua empat enjin yang ada menawarkan pelanggan Ranger kombinasi terbaik dari segi kuasa dan kecekapan dalam apa jua keadaan.

Dilengkapi dengan rangkaian teknologi pintar, ciri-ciri Ranger yang intuitif membuatkan apa jua tugas menjadi semakin mudah. Varian berprestasi tinggi WildTrak menampilkan sistem ketersambungan di dalam kereta generasi terkini Ford, SYNC 2 yang terdiri daripada satu skrin sentuh berwarna bersaiz lapan-inci untuk mengawal telefon, hiburan dan suhu dengan menggunakan sistem arahan suara yang mudah.

Dengan teknologi bebas tangan termaju Ford, para pemandu boleh mematuhi peraturan jalan raya dan kekal berhubung. Varian XLT yang popular juga dilengkapi ciri SYNC bersama paparan bersaiz 4.2-inci.

Satu lagi ciri yang pertama dalam segmennya dan dipasang pada Ranger baharu ialah sistem MyKey Ford yang eksklusif. Sistem ini membolehkan pelbagai ciri diprogramkan. Misalnya menetapkan had kelajuan maksimum, amaran memakai tali pinggang keledar dan volum maksimum untuk sistem audio.

Ia turut menampilkan ciri Front & Rear Park Assist serta kamera mengundur yang memberikan pandangan lebih jelas. Ia pastinya sangat berguna terutama ketika hendak masuk ke ruang parkir dan menarik trailer.

Kerangka Ranger yang telah diperkukuhkan disokong dengan perlindungan daripada beg udara hadapan untuk pemandu dan penumpang pada semua varian. Sementara varian WildTrak pula dipasang dengan enam beg udara termasuklah beg udara sisi dan curtain.

Ranger juga dilengkapi Forward Alert, satu sistem bantuan pemandu pintar yang memberikan mereka amaran visual dan bunyi sekiranya ia berada terlalu hampir dengan kenderaan di hadapannya.

Sebagai tambahan, varian WildTrak dipasang dengan Adaptive Cruise Control, ciri yang menggunakan alat pengesan radar untuk mengesan trafik di hadapan dan mengubah suai kelajuan kawalan jelajah secara automatik bagi mengekalkan jarak yang selamat.

Ciri ini dilengkapkan lagi dengan sistem Lane Keeping Aid yang menggunakan kamera pada cermin pandang belakang. Ia akan membaca tanda jalan dan mengesan jika pemandu keluar daripada garisan secara tidak sengaja.

Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX hadir sebagai ciri standard. Sekali gus menjadikan Ranger satu-satunya trak pikap di Malaysia yang menawarkan dua ciri keselamatan penting ini pada semua variannya.

Satu lagi teknologi pintar yang ada pada semua varian ialah Bantuan Mula Mendaki (HSA) yang memastikan Ranger tidak bergerak selama tiga saat apabila pemandu mengalihkan kaki mereka daripada pedal brek. Ciri Adaptive Load Control dan Emergency Brake Assist pula memaksimumkan kawalan ketika membawa beban yang berat.

Penampilan Ranger baharu yang moden dan berani membuatkan ia kelihatan begitu berkuasa di atas jalan raya, seterusnya menyerlahkan keupayaannya. Rekaan hud yang lebih maskular bergabung dengan gril berbentuk trapezoidal yang nampak begitu mantap.

Manakala lampu utama jenis projektor membolehkan trak pikap ini dapat dikenali secara serta-merta menerusi rupanya yang garang dan teknikal.

Ia turut menampilkan enam pilihan warna iaitu Pride Orange, Cool White, Metropolitan Grey, Aluminium Metallic, Black Mica and Aurora Blue.

Harga atas jalan bagi Ranger XL ialah bermula RM91,588, manakala Ranger XLT pula dari RM101,388 dan 3.2L Ranger WildTrak berharga RM132,188.

Ford Ranger Wildtrak

Ford Ranger XLT

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *