Audi S1 & S1 Sportback 2014…nantikan kemunculannya!

By  |  0 Comments

18037984002068589308

Audi telah mengumumkan bahawa model terkininya iaitu Audi S1 dan S1 Sportback telah pun bersedia ditayangkan dan mungkin dibawa masuk ke pasaran global pada musim bunga yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi. Memilih untuk ditayangkan di Geneva Motor Show 2014 yang bakal berlangsung awal Mac depan, ia merupakan jentera paling kecil (atau paling comel) di dalam keluarga Audi.

Audi S1 dan S1 Sportback diproduksikan sebagai sebuah jentera yang kuat, berkeupayaan tinggi dan pantas umpama balistik tetapi tetap diterapkan dengan gaya yang ranggi dan fashionable. Namanya adalah ilham daripada lagenda Sport Quattro S1 1984 yang pernah memenangi Kejohanan Rali Dunia pada tahun 1985.

1225376109642883978

Walau pun ia hanya jentera hatchback bersaiz kecil, namun keupayaan dan kehebatannya usah dipertikaikan. Audi menerapkan pelbagai teknologi dan elemen terbaik untuk memastikan jentera ini mantap, bukan sahaja daripada segi pengendalian, pastinya prestasi yang menjadi keutamaan. Malah, Audi turut mengesahkan bahawa S1 ini memiliki kepantasan yang lebih luar biasa berbanding dengan generasi pertama Audi S3.

Dilengkapi dengan enjin 2.0 liter TFSI turbo empat silinder, ia mampu memuntahkan kuasa maksimum sehingga 231hp dan puncak tork 370Nm. Dengan sistem pacuan empat roda Quattro, jentera ini boleh mencecah kelajuan maksimum sehingga 250km/j.

Mengikut rekod, S1 mampu melengkapkan kelajuan daripada sifar sehingga 100km/j hanya dalam 5.8 saat! Manakala S1 Sportback pula kurang 0.1 saat lebih perlahan kerana bahagian belakangnya sedikit berat berbanding dengan S1.

Tidak lengkap dengan itu, penampilannya pasti mampu menambat perhatian mata yang memandang. Bentuk kerangka yang nampak agresif, rekaan luarannya turut dilengkapi dengan beefier bumper, rear wing, paip ekzos berkembar dan rim aloi bersaiz 17 inci yang membaluti tayar 215/40 R17 (tetapi mempunyai opsyen untuk menukarnya pada rim aloi 18 inci).

Selain itu, kombinasi lampu utama Xenon dan lampu belakang LED turut menyerlahkan lagi imej S1. Cakera brek hadapan dengan kaliper berwarna merah turut dihiasi dengan logo S1.

11020343261053988786

Rekaan di dalam kabin juga menyerlah dengan warna tema hitam dan kelabu gelap untuk kekemasan pada instrumen, pedal dan juga tempat duduk Sport.

Informasi selanjutnya mengenai jentera hatchback ini, nantikan kemunculannya di mata dunia bulan hadapan!

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *