45 ribu kenderaan asing didaftarkan pada hari pertama tempoh percubaan VEP

By  |  0 Comments

Linkedua-Expressway

Hari pertama tempoh percubaan pelaksanaan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) ke atas kenderaan asing dari Singapura hanya menyaksikan sebanyak 45,000 kenderaan berkenaan didaftarkan, laporan Bernama.

Walau bagaimana pun, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohammad mengakui sistem pendaftaran VEP masih memerlukan penambahbaikan terutama melibatkan pendaftaran kenderaan asing.

“Buat masa ini, hanya 45,000 kenderaan asing sahaja yang telah berdaftar berbanding 500,000 kenderaan yang kita jangkakan. Saya rasa tempoh dua minggu sejak 15 Ogos lalu tidak membolehkan kesemua kenderaan masuk dapat didaftarkan melalui atas talian ataupun kaunter,” katanya.

Oleh yang demikian, tempoh pendaftaran bagi VEP ini telah dilanjutkan sehingga 1 Oktober bagi membolehkan segala proses perlu seperti kaedah penyerahan kad pengenalan gelombang radio (RFID) dapat dibuat dengan sempurna dan kelulusan antara kedua negara dapat diperolehi.

Beliau berkata sebanyak 200,000 hingga 230,000 kenderaan pelbagai jenis melalui dua pintu masuk dalam tempoh seminggu.

Antara cadangan kerajaan negeri bagi memudahkan VEP dapat dilaksanakan dengan lancar termasuk menyediakan lokasi mudah untuk pengambilan RFID seperti di kawasan rehat dan rawat Pandan dan Tanjung Kupang.

Pendaftaran atas talian (online) bermula 15 Ogos dan pemilik kenderaan perlu membayar RM10 bagi yuran jalan raya, yang sah digunakan selama lima tahun, sebelum pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan RFID.

Setelah berdaftar, kenderaan akan dibenarkan melalui pusat masuk ke Johor secara percuma selama sebulan – dari 1 September hingga 30 September – dan akan hanya dikenakan bayaran RM20 bagi VEP bagi setiap kemasukan mulai 1 Oktober.

VEP dikenakan ke atas kenderaan persendirian penumpang, termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan serba guna sukan (SUV).

Kenderaan kerajaan, motosikal, bas awam dan teksi dikecualikan daripada bayaran tetapi masih perlu berdaftar dengan JPJ.

Sumber foto : http://en.m.wikipedia.org/wiki/File:Linkedua-Expressway.JPG

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *