Kecuaian punca utama kemalangan di LPT2 sejak 2011

By  |  0 Comments

LPT2_2

Pada 23 Jun lalu, LLM dalam kenyataannya ada menyebut faktor manusia sebagai punca utama penyumbang kemalangan yang berlaku di lebuhraya berkenaan.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Ismail Md Salleh, faktor manusia seperti memandu dalam keadaan mengantuk, memandu melebihi had laju terutama pada waktu hujan, cuai serta gagal mematuhi arahan keselamatan adalah punca utama kemalangan di LPT2.

Hari ini Bernama melaporkan, sebanyak 1,657 kes kemalangan dicatatkan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) yang menghubungkan Jabor, Kemaman ke Gemuruh, Kuala Terengganu yang mula beroperasi sejak Ogos 2011.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman, daripada jumlah itu sebanyak 50 kes kemalangan maut direkodkan melibatkan 58 kematian.

Katanya dalam laluan sejauh 184 kilometer itu, daerah Hulu Terengganu mencatat jumlah terbanyak kemalangan iaitu 31 kes diikuti Dungun (12 kes) dan Kemaman (tujuh kes).

“Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sejumlah 385 kes kemalangan telah dilaporkan dan 16 kes daripadanya merupakan kemalangan maut,” katanya.

Menurutnya, sikap pengguna LPT 2 yang memandu laju dengan purata kelajuan melebihi had laju ditetapkan selain kenderaan terbabas menjadi punca utama kemalangan di lebuh raya itu sehingga meragut banyak nyawa.

Crash-accident-collision

Rosli berkata faktor mengantuk dan langgar belakang merupakan punca kedua tertinggi iaitu sebanyak 38 kes disusuli langgar lembu (34 kes), tayar pancit atau tayar pecah serta binatang liar masing-masing 20 kes.

“Hasil kajian kami mendapati kebanyakan kes kemalangan di LPT2 berpunca sikap pemandu yang memandu laju serta kenderaan terbabas. Ini menunjukkan kecuaian manusia, bukannya disebabkan keadaan jalan beralun dan mendap yang dikatakan menjadi penyebab,” katanya.

Tambahnya lagi, kemalangan juga kerap berlaku di lokasi antara KM250 ke KM270 iaitu di Jabor dan Cheneh selain di KM370 hingga KM390 di Ajil dan Bukit Besi serta di kawasan Ajil dan Bukit Besi yang berlaku enam kes kemalangan maut.

Menurutnya, kebanyakan kemalangan berlaku di jalan lurus serta sewaktu cuaca panas dan orang ramai khususnya pengguna lebuh raya berkenaan dinasihatkan supaya berhati-hati terutama menjelang musim perayaan tidak lama lagi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dengan LLM, JKR, JPJ, JKJR dan setakat ini pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan pihak berkenaan bagi menjamin keselamatan pengguna LPT2.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *