Harga jualan Peugeot 508 baharu diumumkan – Antara RM174k hingga RM202k

By  |  0 Comments

Setelah melancarkannya pada 28 Mei yang lalu, hari ini Nasim Sdn Bhd telah mengumumkan harga jualan bagi barisan Peugeot 508 baharu ini.

Bagi Peugeot 508 THP, ia berharga RM173,888, 508SW THP pula ialah RM183,888 dan RM201,88888 bagi 508 GT. Ketiga-tiganya adalah harga atas jalan termasuk insurans.

Peugeot 508 THP dan SW THP dijanakan oleh enjin 1.6 liter THP pengecas turbo dengan Suntikan Terus Bahan Api empat-silinder sebaris DOHC VVT yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 163 hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 240 Nm antara 1,400 hingga 4,250 rpm.

Peugeot_508_facelift_Malaysia_ 034

Jentera ini mampu dipacu dari 0-100km/j dalam hanya 9.2 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 220 km/j. Penggunaan bahan apinya tercatat pada 7.1 liter per 100 km.

Manakala varian 508 GT pula dipadankan oleh enjin 2.2 liter empat-silinder turbodiesel HDI. Enjin ini berkeupayaan menghasilkan kuasa sehingga 204 hp dan tork setinggi 450 Nm.

Ia boleh mencecah kelajuan maksimum sehingga 235 km/j dan dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.4 saat. Manakala penggunaan bahan apinya dengan anggaran 5.7 liter per 100 km.

Ketiga-tiga varian ini juga dilengkapi dengan kotak gear automotif enam-kelajuan yang turut menampilkan Tiptronic dan mod Sport.

Ia tampil dengan reka bentuk luarannya yang lebih tersusun termasuk kehadiran lampu LED adaptif dengan bentuk baharu ditampilkan, malah gayanya turut menyerlah dengan kehadiran gril trapezoidal krom yang lebih nipis, disambungkan pada logo singa (sebelum ini ia terletak pada bahagian hujung bonet) dan corong udara juga berbentuk baharu. Bagi menyerlahkan lagi gayanya, ia turut disambungkan pada lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus LED.

Bukan itu sahaja, rekaan yang penuh keterampilan turut disambung pada bahagian belakang. Ia juga cukup menyerlah dengan bampar yang direka semula dan lebih besar, lampu LED yang telah diperkemaskinikan dan paip ekzosnya juga kelihatan tersembunyi dek kehadiran bar krom yang turut menjadi bingkai pada reflektor.

Namun ia masih mengekalkan saiz rim iaitu 18-inci yang sebelum ini ada pada varian premium. Bagi varian GT, ia dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar 235/40 R19.

Peugeot_508_facelift_Malaysia_ 038

Walau tidak banyak perubahan pada bahagian kabin, ada sedikit elemen pembaharuan dilakukan termasuklah alat kawalan biasa dipilih bagi menggantikan kawalan umpama iDrive untuk paparan di bahagian tengah pada model sebelumnya.

Selain itu, elemen lain yang turut ditampilkan ialah skrin paparan sesentuh bersaiz tujuh-inci yang turut berfungsi sebagai alat kawalan termasuk bagi audio. Ia turut berfungsi sebagai pemapar navigasi, sambungan telefon, konfigurasi kenderaan, multimedia, kamera undur, bantuan pemanduan dan sambungan digital termasuk Bluetooth, USB, pemain CD/MP3.

Elemen standard yang turut dikekalkan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengilap cermin auto, tempat duduk balutan kulit upholstery, pelarasan automatik tempat duduk hadapan, empat-zon kawalan suhu automatik, bantuan parkir hadapan dan belakang, lapan pelarasan tempat duduk hadapan dengan sokongan bahagian belakang badan, sistem bunyi JLB dengan 10-pembesar suara dan tirai suria manual.

Bagi varian SW THP, ia turut didatangkan dengan bumbung berkaca panoramik dengan sistem kawalan elektrik, pembuka elektronik bonet belakang dan one-touch rotary control.

Manakala varian GT pula didatangkan dengan balutan kulit upholstery Nappa dan fungsi memori dan mengurut untuk tempat duduk pemandu.

Bagi ruang kargonya, varian THP dan GT mampu memuatkan kapasiti sehingga 545 liter dan 1244 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan. Manakala varian SW pula dengan 660 liter dan mencecah 1365 liter apabila tempat duduk belakang dibaringkan.

Namun tiada perubahan bagi aspek keselamatan dan ia tetap sama seperti model dahulu iaitu enam beg udara, ABD dengan EBD, bantuan brek (BA), EBD, kawalan kestabilan dinamik (DSC), bantuan mula mendaki, Sistem Informasi Titik Buta (BLISS) dan dua set ISOFIX. Walau bagaimana pun, Peugeot 508 baharu ini turut menerima penarafan lima-bintang daripada EUCO NCAP.

Peugeot 508 ini didatangkan dengan lima pilihan warna yang menarik iaitu Pearl White, Bourrasque Blue, Pine Brown, Artense Grey dan Harla Grey.

Pembelian setiap model 508 baharu ini turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa perbatuan terhad dan juga Servis Bantuan 24-Jam Peugeot, akses percuma ke Peugeot Lounge di Lapangan Terbang Subang dan keahlian Peugeot Privilege.

Sila baca ulasan pandu uji Peogeot 508 THP baharu di SINI.

Peugeot 508 THP

Peugeot 508 SW

Peugeot 508 GT

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *