Hyundai Genesis 3.8L V6 serba baharu dilancarkan – Harga RM389k

By  |  0 Comments

IMG_8916

Bertempat di Pusat 3S Hyundai di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah melancarkan model Genesis serba baharu.

Dilihat sebagai model sedan premium, Genesis baharu ini tampil dengan kekemasan yang lebih ketara dan memiliki pelbagai elemen yang lebih menarik.

“Genesis mengetengahkan keupayaan Hyundai di dalam teknologi inovatif, keselesaan kemewahan, dan gaya yang lebih premium, selaras dengan janji jenama kami di dalam memberikan nilai yang di luar jangkauan. Malah kami yakin pelancaran Genesis ini dapat meningkatkan lagi nilai bagi jenama kami,” ujar Lau Yit Mun, Pengarah Urusan HSDM.

Genesis_Ext_02

Refleksi sepenuhnya sebagai “Modern Premium” yang merupakan arah penjenamaan baharu Hyundai, bahagian luaran dan dalaman Genesis direka dengan penuh imej estetik korporat. Ia turut menambahkan lagi kekuatan dan prestasi, di samping menyalurkan lebih keselesaan yang optimum buat penumpang, di samping memiliki aspek keselamatan yang lebih meluas.

Bagi memposisikannya dalam sedan mewah yang terbaik dalam kelasnya, Genesis serba baharu ini telah menempuhi pelbagai ujian pemanduan dan prestasi di beberapa lokasi terkemuka di seluruh dunia termasuk di Litar Nurburgring, Jerman, dan Yeongnam, Korea. Malah untuk ujian cuaca panas ekstrem, Genesis telah diuji di Death Valley, Colorado dan Tasik Argeplog, Sweden bagi ujian cuaca paling sejuk.

Genesis_Ext_17

Genesis baharu ini juga telah memecah rekod sejarah ujian ANCAP dengan mencatatkan markah tertinggi iaitu 36.88 daripada 37, sekali gus melayakkannya menerima penarafan lima bintang. Ia juga merupakan rekod tertinggi yang pernah dicapai sejak 21 tahun penubuhan ANCAP.

Ia turut dilengkapi dengan elemen keselamatan termasuk Kawalan Kestabilan Elektronik (ESP) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), ABS, Sistem Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki (HAC), Pengesan Titik Buta, tali pinggang pra-keselamatan (PSB) dan sembilan beg udara.

Rekaan dalaman dan luaran juga amat dititikberatkan, Genesis baharu ini memiliki gaya penuh sofistikated dan elegan, ia juga dipadankan dengan lampu utama Bi-Xenon, gril radiator berwarna hitam dengan lapisan krom, lampu kabus LED, lampu belakang kombinasi LED, pemegang pintu krom, bonet belakang pintar, cermin kalis bunyi, bumbung panoramik, rim aloi bersaiz 18-inci dengan kekemasan perak dan Electro-Chromic Mirror.

Menjengah ruang kabinnya, imej kemewahan melatari segenap ruang. Ruang dalaman yang seluas dengan tempat duduk kelas pertama antara daya penarik yang diketengahkan. Dengan tempat duduk balutan kulit premium, tempat duduk pemandu yang boleh dilaras secara elektronik dengan lapan cara pelarasan dan fungsi memori, paparan kluster Supervision TFT-LCD bersaiz tujuh-inci, jam analog, sistem audio Lexicon Discrete Logic 7 Surround dengan paparan TFT bersaiz lapan-inci serta 14 pembesar suara dengan sambungan iPOD, USB, Bluetooth dan kawalan audio pada roda stereng.

Genesis_Int_35

Selain itu, Genesis baharu ini turut dilengkapi dengan kunci pintar dan butang penghidup enjin, Kawalan Kelajuan Pintar, penghawa dingin automatik dengan ioniser kluster, bantuan parkir dan kamera belakang.

Berukuran 4,990 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,480 mm tinggi dan jarak roda 3,010 mm, selain ruang dalaman yang luas, Genesis baharu ini memiliki ruang kargo seluas 433 liter.

Genesis_Ext_10

Dijanakan oleh enjin 3.8 liter V6 GDI, ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 315 PS pada 6,000 rpm dan tork setinggi 397 Nm pada 5,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Prestasi sehebat ini membuatkan Genesis baharu mampu dipacu dari 0-100km/j dalam hanya 6.5 saat.

Genesis baharu ditawarkan dengan warna elegan iaitu Marble White, Platinum Silver dan Onyx Black. Malah ia turut memiliki dua pilihan warna bagi kekemasan dalaman iaitu dua-tona beige dan satu-tona hitam.

Dengan harga atas jalan RM388,921.52 (termasuk GST, cukai jalan & tanpa insurans), pembelian Genesis ini turut ditawarkan dengan lapan tahun waranti atau 300,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) bagi penjana kuasa (enjin dan kotak gear) di mana waranti ini hanya diaplikasikan buat model Genesis dan Sonata YF.

Malah pemilik Genesis baharu (hanya pemilik pertama sahaja) ini juga ditawarkan dengan lima tahun servis percuma atau 100,000 km termasuk bagi kos buruh, alat ganti dan minyak enjin.

Bukan itu sahaja, kad keahlian percuma The Leader selama dua tahun turut ditawarkan untuk semua pemilik Genesis baharu bagi menikmati menikmati kemudahan VIP termasuk Plaza Premium Lounge di beberapa lapangan terbang utama di Malaysia termasuk KLIA, KLIA2 dan Subang Skypark. Selain itu, servis bantuan 24-jam juga turut ditawarkan seperti mana semua model Hyundai yang lain.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *