Pembinaan MRT tiada kaitan dengan jalan mendap di Lebuhraya Sultan Iskandar

By  |  0 Comments

kl-city-jam

Ekoran berlakunya keretakan jalan dan mendapan tanah di laluan Lebuhraya Sultan Iskandar (sebelum ini dikenali sebagai Lebuhraya Mahameru) menuju Muzium Negara sehingga menyebabkan laluan itu yang menghala ke selatan ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan mulai 8 malam tadi, MRT Corp dalam siaran akhbarnya menyebut, kejadian tersebut tiada kaitan dengan pembinaan MRT Sungai Buloh-Laluan Kajang.

Ia adalah hasil siasatan yang dijalankan oleh pihaknya dengan kontraktor terlibat. Menurut MRT Corp lagi, selain projek MRT ini, terdapat projek-projek pembinaan infrastruktur di sekitar persimpangan Lebuhraya Sultan Iskandar-Jalan Duta.

Keretakan dan mendapan yang dilaporkan di tempat kejadian kira-kira 3 meter x 4.6 meter di laluan paling kiri jalan itu semakin teruk akibat hujan lebat yang berlaku pada petang semalam dan ia berisiko kepada pengguna jalan raya.

Polis Trafik Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata lencongan jalan terpaksa dilakukan berikutan kejadian itu, namun kerja-kerja membaik pulih sedang giat dijalankan.

Menurut kenyataan itu pengguna Jalan Tun Razak (arah timur) menuju arah selatan disaran agar menggunakan Jalan Kuching/Jalan Kinabalu/Jalan Damansara; Jalan Parlimen/Jalan Kinabalu dan Jalan Tun Razak (selatan).

Bagi mereka yang menuju Jalan Bangsar dari Jalan Tun Razak, mereka boleh menggunakan Jalan Kuching/Jalan Kinabalu/Jalan Damansara; Jalan Kuching/Bulatan Segambut/Jalan Tuanku Abdul Halim (Duta) atau Jalan Semantan.

Manakala pengguna disaran menggunakan Jalan Kuching atau Bulatan Segambut jika mahu menuju arah Tol Duta (utara).

Bagi laluan ke selatan dari arah Jalan Parlimen, pengguna boleh menggunakan Persiaran Tuanku Jaafar (Carcosa)/Jalan Damansara atau Jalan Kinabalu/Jalan Maharajalela.

Menurut pihak bomba dan penyelamat, laluan itu akan dibuka semula apabila ia tidak lagi membahayakan pengguna.

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *