Proton Exora 2015 kini sudah ada di bilik pameran – Harga RM81,888 bagi varian tertinggi Super Premium

By  |  0 Comments

2015_Proton_Exora_SP_ 002

Nampak gayanya Proton tidak mahu duduk diam untuk memperkenalkan model facelift bagi barisan modelnya yang sedia ada. Terbaharu, giliran Exora pula untuk menambahkan varian yang ada di pasaran dengan kemunculan secara tiba-tiba model facelift yang mula berada di bilik pameran hari ini.

Memperkenalkan beberapa varian termasuk varian spesifikasi tertinggi, Super Premium (yang menggantikan varian Prime) dan juga Executive, model Exora facelift kali ini turut menerima beberapa perubahan gaya luaran dan dalaman. Antaranya lampu utama yang tampil dengan lapisan warna gangsa bagi varian Super Premium. Bukan itu sahaja, kedua-dua varian juga kini menampilkan lampu pencahayaan siang LED bagi menggantikan lampu kabus.

Kesemua varian Exora baharu ini juga turut dipasang cermin tingkap berkuasa bagi bahagian hadapan dan belakang, kamera undur dan cermin pandang belakang dengan imej ketika mengundur. Tambahan untuk varian Premium dan Super Premium yang turut ditampilkan dengan auto cruise, butang audio pada roda stereng dan pemain DVD.

Selain itu, varian Super Premium turut menambah cermin sisi berwarna kelabu, sementara yang lain menggunakan warna yang sama dengan kerangka. Bukan itu sahaja, model facelift Exora ini turut menerima padanan rim aloi bersaiz 16-inci 10-jejari, dan elemen tambahan buat Super Premium yang menerima rim dengan kekemasan dua tona, berbanding warna perak bagi lain-lain varian.

Pada bahagian belakang, lampu kombinasi ‘smoked’ turut ditampilkan termasuk lampu kabus, bagi Premium dan Super Premium. Pada bahagian enjinnya, tiada perubahan mekanikal. Cuma jika anda membuka hud bahagian tersebut, penutup enjin tertera perkataan ‘Turbo’, menggantikan perkataan ‘CFE’ pada model sebelumnya.

Pada kabin pula, varian Super Premium menerima kekemasan karbon ‘tiruan’ pada bahagian konsol tengah. Kluster instrumen juga telah dipadankan dengan Optitron, dan kekemasan bagi tempat duduk juga tampil dengan rekaan baharu.

Elemen tambahan buat varian Premium dan Super Premium apabila aspek keselamatannya telah dipertingkatkan dengan adanya Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan memiliki empat beg udara.

Seperti mana yang sedia maklum, tiada perubahan mekanikal bagi model facelift Exora ini dan ia masih dijanakan oleh enjin yang sama iaitu 1.6 CPS dan 1.6 turbo CFE, yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Kesemua varian Exora facelift ini sudha boleh dipandu uji dan ditempah di semua bilik pameran Proton. Namun unit pandu uji bagi varian Super Premium hanya boleh didapati di bilik pameran Proton yang terpilih sahaja. Setiap pembeliannya turut didatangkan dengan waranti tiga tahun atau 100,000 km (mana-mana yang tiba terlebih dahulu).

Sebanyak tujuh warna pilihan telah ditawarkan untuk Exora baharu ini iaitu Solid White, Elegant Brown, Cocoa Grey, Genetic Silver dan Tranquility Black. Serta turut menampilkan dua warna baharu iaitu Luxury Blue dan Indiana Grey.

Menurut Proton, harga bagi varian Exora ini juga telah diturunkan berbanding model sebelum ini. Harga atas jalannya adalah seperti berikut :

Super Premium : RM81,888 (Harga dahulu RM85,988)
Premium : RM75,888 (Harga dahulu RM80, 598)
Exec CVT : RM66,888 (Harga dahulu RM69,888)
Standard AT : RM59,888 (Harga dahulu RM62,988)
Standard MT : RM56,888 (Harga dahulu RM59,988)

Proton Exora SP

Proton Exora Exec

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *